22 November 2024, 14:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan mereka berdoa dengan berkata, ‘Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah

daripada isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyejuk mata hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang yang bertakwa.’”

(Surah al-Furqan 25:74)

Kanak-kanak merupakan anugerah Allah SWT yang dilahirkan dalam keadaan fitrah dan suci tanpa dosa, ibarat sehelai kain putih yang bersih. Kanak-kanak seharusnya dilihat dengan pandangan kasih sayang. Mereka selayaknya diasuh menjadi insan berguna, dididik dengan agama, diajarkan ilmu dan kemahiran, dipupuk semangat juang dan disemaikan nilai murni agar menjadi hamba yang bertakwa, iaitu insan yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Peribahasa Melayu menyebut “melentur buluh biarlah ketika rebungnya”. Hal ini menggambarkan peranan dan tanggungjawab ibu bapa atau penjaga yang diamanahkan untuk membentuk kelakuan anak-anak ketika usia masih kecil. Mereka merupakan permata negara, sumber berharga dan khazanah bernilai yang diharapkan untuk menerajui kepimpinan negara pada masa hadapan.

Ilmuwan Islam mentakrifkan kanak-kanak sebagai individu yang belum berkemampuan mengurus diri sendiri dan memerlukan pergantungan daripada penjaganya. Mereka tidak lagi dianggap sebagai kanak-kanak apabila mencapai umur baligh (antara usia lima belas hingga lapan belas tahun), iaitu usia apabila mereka mampu berdikari. Berdasarkan Akta Kanak-Kanak 2001, kanak-kanak ditakrifkan sebagai seseorang di bawah umur 18 tahun.

Doa yang terkandung dalam ayat 74 Surah al-Furqan tersebut disifatkan oleh ilmuwan tafsir sebagai doa yang dipohon kepada Allah SWT untuk direzekikan anak, isteri dan keturunan yang teguh dalam iman, beramal soleh, diberi ilmu pengetahuan serta dilengkapi akhlak murni agar mereka berupaya menyebarkan kebaikan kepada manusia.

Islam amat menitikberatkan kepentingan hak kanak-kanak dan melarang dilakukan apa-apa jua bentuk pengabaian, keganasan dan kezaliman terhadap mereka. Rasulullah SAW mengajar umat Baginda untuk mencurahkan kasih sayang terhadap kanak-kanak berpandukan hadis yang berikut:

Maksudnya: “Bukan daripada (kalangan) kami orang yang tidak menunjukkan belas kasihan terhadap (anak-anak) kecil kami dan tidak tahu (menunaikan) hak orang tua kami.”

(Hadis riwayat Ahmad)

Hak kanak-kanak yang perlu disempurnakan merangkumi keperluan asasi seperti pakaian, makan minum, tempat tinggal, perlindungan dan keselamatan; juga menjaga aib dan rahsia mereka; serta memberikan perhatian dan belaian kasih sayang kepada mereka. Kisah yang berlaku pada zaman Sayidina Umar al-Khattab r.a. wajar dijadikan iktibar. Ketika datang seorang bapa mengadu kepada Sayidina Umar tentang penderhakaan anaknya, lantas Sayidina Umar memanggil anak tersebut dan anak itu bertanyakan tentang tanggungjawab seorang bapa terhadap anaknya. Sayidina Umar menjelaskan bahawa si ayah perlu mencari isteri yang baik untuk menjadi ibu kepada anaknya, memberikan nama yang baik kepada anaknya dan hendaklah diajar membaca al-Quran.” Lantas si anak menjawab bahawa semua itu tidak dilaksanakan oleh ayahnya, lalu Sayidina Umar dengan tegas menyatakan kepada si bapa bahawa “Engkau telah derhaka kepadanya sebelum dia derhaka kepadamu dan engkau telah memperlakukan buruk kepadanya sebelum dia memperlakukan buruk terhadapmu.”

Perkembangan kanak-kanak bergantung pada apa-apa yang mereka alami dalam persekitaran hidup mereka. Kanak-kanak mampu mencipta kejayaan sekalipun pada usia yang muda jika diberikan didikan yang baik, asuhan kasih sayang dan pendedahan yang bermanfaat. Sebagai contoh, baru-baru ini dilaporkan adik Izz Imil Shahrom yang baru berusia 12 tahun telah diterima mendaftar sebagai mahasiswa di institusi pengajian tinggi, iaitu Universiti Malaya. Begitu juga kejayaan adik Maryam Muzamir yang berusia 12 tahun, telah memperoleh anugerah dalam pertandingan reka cipta dan teknologi pada peringkat antarabangsa.

Kanak-kanak tidak terlepas daripada menghadapi ujian dan cabaran semasa. Kewujudan Internet, media sosial dan aplikasi mudah alih menyebabkan kanak-kanak lebih terdedah kepada pelbagai maklumat dan memperoleh maklumat tanpa tapisan. Oleh sebab itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memantau, memberikan bimbingan dan menyusun langkah penjagaan bagi melindungi anak daripada dipengaruhi oleh bahan maklumat yang tidak sesuai dengan peringkat umur mereka.

Dalam hasrat dan usaha mencanai kanak-kanak menjadi permata berharga, beberapa nasihat yang berikut perlu diberi perhatian:

Pertama: Terapkan akidah yang kukuh seawal usia kanak-kanak bahawa Allah SWT ialah Tuhan yang Maha Esa yang selayaknya disembah, ditaati dan dipatuhi segala aturan al-Quran dan sunah agar mereka menjalani kehidupan yang diredai Ilahi, di samping menjauhi kehidupan yang merosakkan.

Kedua: Memberikan pendidikan menyeluruh merangkumi ilmu agama, akademik, kemahiran hidup dan nilai murni. Di samping itu, kanak-kanak juga perlu disemai dengan sifat kejujuran, kesopanan, beramanah, berdisiplin, menghormati guru dan orang tua, menepati masa dan memenuhi janji, berjimat cermat dan tidak membazir. Pihak sekolah juga perlu menerapkan budaya membaca serta mendorong kanak-kanak agar melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan kokurikulum sekolah bagi mengukuhkan keupayaan sosial.

Ketiga: Sokongan emosi dan psikologi. Mendampingi kanak-kanak dengan belaian kasih sayang akan mempengaruhi kesihatan mental dan perkembangan emosi mereka. Kanak-kanak yang mendapat kasih sayang secukupnya akan berasa diri dihargai dan memiliki sifat lebih berkeyakinan.

Keempat: Mengenal pasti dan membantu membangunkan bakat. Ibu bapa perlu mengenal pasti kecenderungan, kebolehan dan bakat anak, seterusnya diasuh dan dikembangkan bakat yang mereka miliki. Mereka perlu diberi ruang untuk meneroka bidang yang diminati sehingga dapat melakarkan kejayaan.

Kelima: Menjaga kesihatan kanak-kanak dengan menggalakkan kegiatan yang sihat seperti beriadah, mengambil makanan berkhasiat dan berkualiti, tidak mengambil makanan secara berlebihan, mengawal pengambilan gula, mengelakkan minuman bersoda, makanan yang diproses dan makanan segera, mendidik kanak-kanak tidur awal dan memulakan hari dengan menunaikan solat subuh berjemaah bersama-sama ibu bapa.

Keenam: Menyemai tanggungjawab kemasyarakatan dan rasa cinta terhadap negara. Kanak-kanak perlu disemaikan rasa cinta dan tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara, dilatih membuang sampah di tempat yang ditentukan, menjaga kebersihan rumah, sekolah dan halaman, tidak merosakkan alam sekitar dan memiliki ihsan terhadap haiwan. Libatkan mereka dengan kegiatan kemasyarakatan seperti meraikan sambutan hari kemerdekaan dan menyertai program sukarelawan.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 22 November 2024, bertajuk “Kanak-kanak: Khazanah Masa Depan Negara”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.