Oleh Khairudin Shaary
22 November 2024, 08:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hari Jumaat mempunyai keistimewaan dan fadilatnya yang tersendiri berbanding dengan enam hari yang lain dalam seminggu. Bermula dari waktu terbenamnya matahari pada hari Khamis, kehadiran hari Jumaat mengundang keberkatan daripada Allah SWT hingga terbenam matahari pada waktu petangnya.

Kemuliaan hari Jumaat disebut secara khusus dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Malah, terdapat satu surah dalam al-Quran yang  dinamakan khusus bersempena dengan hari Jumaat, iaitu Surah al-Jumu’ah.

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya hari Jumaat ialah penghulu segala hari yang paling agung di sisi Allah, hari tersebut lebih besar di sisi Allah daripada hari raya Aidiladha dan hari raya Aidilfitri.” (Hadis riwayat Ibn Majah).

Setiap bangsa dan agama terutamanya agama samawi mempunyai hari istimewanya yang tersendiri. Dikisahkan bahawa Yahudi dalam kalangan Bani Israel ketika meminta kepada Nabi Musa hari istimewa untuk tawajuh beribadat, maka telah dicadangkan oleh Nabi Musa a.s. agar memilih hari Jumaat, namun sikap ingkar mereka menyebabkan Allah SWT memberikan hari yang lain, iaitu hari Sabtu.

Begitu juga umat Nasrani, mereka memilih hari Ahad sebagai hari yang mempunyai kelebihan walaupun pada asalnya hari kelebihan yang diberikan kepada mereka ialah hari Jumaat.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Allah telah menyesatkan umat sebelum kita dari hari Jumaat, maka umat Yahudi memperoleh (hari kelebihan mereka) pada hari Sabtu, umat Nasrani memperoleh (hari kelebihan mereka) pada hari Ahad. Lalu Allah SWT menghadirkan dan memberi kita hidayah untuk mendapat (keberkatan) pada hari Jumaat. Maka Allah menjadikan hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Mereka (umat sebelum kita) berada di belakang kita pada hari kiamat. Kita datang paling akhir di dunia, tetapi paling awal datang pada hari kiamat yang telah ditetapkan untuk mereka sebelum diciptakan seluruh makhluk.” (Hadis riwayat Muslim).

Menurut al-Wahidi, hari Jumaat pada asalnya dinamakan ‘Arubah dan al-‘Arubah. Dalam budaya masyarakat Arab semasa zaman jahiliah, ‘Arubah merujuk hari untuk menonjolkan kebanggaan, karisma dan perhiasan. Perkataan Jumaat dalam bahasa Arab disebut dengan al-Jumu‘ah atau al-Jum‘ah atau al-Jumu‘atu. Namun begitu, sebutan yang paling masyhur dan bertepatan dengan qiraat yang tujuh ialah al-Jumu‘atu yang membawa maksud berkumpul.

Dalam satu hadis Rasulullah SAW, terdapat beberapa keadaan yang jelas mengisyaratkan keberkatan pada hari Jumaat sehinggakan gemilang cahaya matahari yang terbit pada pagi harinya dilimpahi keberkatan. Dalam hadis yang sama, Baginda menyenaraikan beberapa peristiwa yang cukup signifikan, sama ada yang telah berlaku dan yang akan berlaku termasuklah peristiwa hari kiamat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Hari paling baik yang matahari terbit pada hari itu ialah hari Jumaat. Pada hari itu, Nabi Adam a.s. diciptakan dan pada hari itu juga Nabi Adam a.s. dimasukkan ke dalam syurga, serta diturunkan dari syurga. Pada hari itu juga kiamat akan terjadi dan pada hari tersebut terdapat suatu waktu yang tidaklah seorang mukmin menunaikan solat menghadap Allah SWT mengharapkan kebaikan kecuali Allah SWT akan mengabulkan permintaannya.” (Hadis riwayat Muslim).

Pensyariatan solat Jumaat secara berjemaah telah ditetapkan sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah lagi. Elemen khutbah dan dua rakaat solat menjadi perlambangan unik di dalamnya. Solat zohor yang asalnya empat rakaat diringkaskan menjadi dua rakaat dan dua rakaat lagi digantikan dengan khutbah yang disampaikan oleh khatib di atas mimbar. Umat Islam di seluruh dunia mendirikan solat Jumaat secara berjemaah dan wajib mendengar khutbah sebelumnya. Antara hikmah dan falsafah terbesar disyariatkan solat Jumaat termasuklah menzahirkan semangat kesatuan umat Islam sarwa jagat.

Oleh itu, setiap lelaki Muslim yang mukalaf, bermukim atau bermastautin diwajibkan menunaikan solat fardu Jumaat di masjid-masjid yang telah diiktiraf oleh badan berautoriti agama. Bagi menjaga dan memelihara pensyariatan ini, majoriti undang-undang melalui enakmen agama Islam negeri-negeri di Malaysia telah memperuntukkan hukuman kepada orang Islam yang didapati gagal menunaikan kewajipan solat Jumaat. Melalui penguatkuasaan undang-undang ini, kemuliaan dan pensyariatan yang cukup signifikan dan unik ini terpelihara.

Kedudukan, kemuliaan dan fadilat hari Jumaat bukan hanya pada falsafah kesatuan umat, tetapi agama menjanjikan fadilat yang khusus terutamanya dalam aspek pengampunan dosa. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Solat lima waktu, Jumaat hingga Jumaat berikutnya merupakan kafarah (penghapus dosa) antara kedua-duanya selagi tidak melakukan dosa besar.” (Hadis riwayat Muslim).

Imam Nawawi r.a. ketika mentafsirkan hadis tersebut menyatakan bahawa semua dosa kecil yang mencukupi syarat dalam nas tersebut, yakni selagi seseorang Muslim itu tidak meninggalkan solat lima waktu, akan diampunkan dosa yang dilakukannya dalam minggu tersebut. Jika Muslim itu tidak melakukan dosa kecil dan besar pula, kedudukannya akan diangkat. Jika terdapat dosa besar, Imam Nawawi menyebutkan dalam kitab al-Minhaj bahawa liabiliti dosa besar tersebut dapat diringankan.

Dalam pada itu, terdapat satu lagi hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. yang bermaksud, “Pada hari Jumaat terdapat suatu waktu yang tidaklah seorang hamba Muslim berdiri melaksanakan solat lantas dia memanjatkan  doa kepada Allah bertepatan pada waktu itu, melainkan Allah akan memberikan apa-apa yang dia minta.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Apabila SWT membincangkan tentang doa, terdapat waktu khusus yang dianjurkan oleh ulama kepada para Muslimin supaya cakna tentangnya. Antara yang dititikberatkan termasuklah berdoa pada waktu di antara dua khutbah dan waktu selepas asar. Hal ini sangat signifikan berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Nasa’i dan Abu Dawud yang bermaksud, “Pada hari Jumaat terdapat dua belas masa, padanya terdapat suatu masa yang tidaklah seseorang hamba Muslim berdoa kepada Allah SWT, melainkan Allah SWT akan memakbulkan doa itu. Berusahalah mencari waktu tersebut pada hujung waktu (pada hari Jumaat) selepas asar.”

Dalam pada itu, tiada hal yang lebih beruntung bagi seseorang Muslim melainkan diberi keampunan daripada dosa, sesuai dengan fitrah manusia yang diciptakan dengan kelemahan kerana pengaruh nafsu dan hasutan syaitan. Oleh sebab itu, para ulama terdahulu mengambil peluang kehadiran hari Jumaat dengan membuat persiapan lebih awal. Contohnya, Imam al-Ghazali  telah mencuci pakaiannya sejak hari Khamis untuk dipakai pada hari Jumaat. Malah, pada petang Khamis lagi, beliau telah membanyakkan tasbih dan istighfar hingga matahari terbenam.

Sesungguhnya, kemuliaan dan fadilat hari Jumaat wajar direbut oleh umat Islam. Kurangkan fokus terhadap aktiviti keduniaan dan perkara yang melalaikan hati dan akal daripada mengingati akhirat. Jadikan hari Jumaat sebagai hari untuk memfokuskan amal ibadat di samping melaksanakan anjuran agama yang lain demi mendapatkan fadilat dan ganjarannya. Antara anjuran terbaik dan fadilat besar termasuklah membaca Surah al-Kahfi. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat, Allah akan meneranginya dengan cahaya sepanjang masa di antara dua Jumaat.” (Hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Berselawat ke atas Rasulullah SAW juga merupakan antara amalan yang mendapat fadilat khusus berdasarkan sabda Baginda yang bermaksud, “Perbanyaklah selawat kepadaku, pada setiap hari Jumaat kerana selawat umatku akan diperlihatkan padaku pada setiap hari Jumaat. Sesiapa yang banyak berselawat kepadaku, dialah yang paling dekat denganku.” (Hadis riwayat al-Baihaqi).

Di samping itu, para ulama juga telah menyenaraikan amalan lain yang boleh diamalkan pada hari Jumaat dan sebahagian daripadanya diambil terus daripada hadis Rasulullah SAW. Antaranya termasuklah mandi dan datang awal ke masjid sebelum solat Jumaat, memakai wangi-wangian, memotong dan merapikan bulu di badan, memotong kuku, bersedekah, mengunjungi saudara mara, menziarahi orang sakit, menghadiri akad nikah dan membanyakkan bacaan al-Quran.

Sebagaimana Ramadan menjadi bulan paling istimewa, Makkah dan Madinah tempat paling suci, Masjidilharam, Masjid Nabawi dan Masjid al-Aqsa pusat ibadat paling afdal, begitu juga hari Jumaat yang seribu satu fadilat padanya.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.