15 November 2024, 14:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Integriti bermaksud memiliki sifat jujur, tulus, ikhlas, khusyuk dan bersungguh-sungguh ketika memenuhi peranan, tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Rakyat dan negara memperoleh manfaat apabila peranan, tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan berjaya disempurnakan dengan jujur, tulus, ikhlas, khusyuk dan bersungguh-sungguh. Dengan hal yang demikian, peranan, tugas dan tanggungjawab yang telah disempurnakan itu akan diterima oleh Allah SWT sebagai amal makruf yang dilimpahkan keberkatan daripada Ilahi.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanah (Kami) kepada langit, bumi dan gunung-ganang (untuk menanggungnya), tetapi semuanya enggan untuk menanggung amanah itu dan mereka khuatir tidak akan dapat menyempurnakannya dan hanya manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia suka melakukan kezaliman lagi sangat jahil.”

(Surah al-Ahzab 33:72)

Berpandukan ayat tersebut, semua makhluk di dunia mengakui tidak mampu memikul amanah yang ditetapkan oleh Allah SWT, namun dengan kemuliaan penciptaan manusia, yang dibekalkan dan dianugerahkan dengan ilmu, akal fikiran dan hati nurani, manusia sanggup untuk memikul amanah Ilahi. Manusia yang bersedia memikul amanah, wajib insaf bahawa amanah merupakan tanggungan yang sangat berat, kerana keupayaan melunaskan amanah dengan sempurna atau kegagalan menyempurnakannya akan dinilai dan dipersoalkan oleh Allah SWT pada hari kebangkitan di padang mahsyar.

Integriti mempengaruhi tindakan dan kelakuan seseorang insan ketika diamanahkan dengan sesuatu peranan, tugas dan tanggungjawab. Integriti yang diterapkan dalam diri insan berupaya membentuk peribadi yang berprinsip, berani menegakkan kebenaran dan tegas menyanggah kebatilan. Semasa memenuhi peranan, tugas dan tanggungjawab, insan yang berintegriti akan melaksanakannya dengan jujur, ikhlas, telus, tekun, teliti, cermat dan berdisiplin, serta berazam untuk memberikan khidmat yang terbaik. Waktu kerja dan masa mereka dihargai, begitu juga khazanah serta harta milik negara, kerajaan, syarikat dan majikan tidak akan dibazirkan.

Integriti menjadikan seseorang tekad mempamerkan budaya kerja cemerlang, tidak akan menyalahgunakan kuasa, kedudukan dan jawatan untuk mendapatkan faedah peribadi atau membina kekayaan keluarga dan kroni, dengan melakukan rasuah dan pecah amanah. Peranan, tugas dan tanggungjawab ditafsirkan dan dihayati sebagai amanah, serta menginsafi bahawa mengabaikan amanah merupakan jenayah dan dosa yang bakal mengundang kemurkaan Ilahi.

Dalam niat dan hasrat mahu mewujudkan negara yang maju, makmur dan stabil, budaya integriti wajib dihayati dan diamalkan oleh semua pihak, merangkumi kakitangan kerajaan dan swasta, begitu juga dalam institusi pendidikan, koperasi, badan amal dan bukan kerajaan, serta pertubuhan sukarela seperti pertubuhan kebajikan, belia, sukan, juga jawatankuasa masjid dan surau.

Apabila warga tiada integriti, maka akan hilang sifat malu dalam diri yang menjadi benteng pencegah kemungkaran; dan akan hilang juga ketakutan melakukan dosa. Apabila bisikan iblis menguasai diri dan hawa nafsu ingin mengaut keuntungan diikuti, maka berlakulah pelbagai kemungkaran dalam bentuk salah laku, pecah amanah, rasuah dan salah guna kuasa yang menyebabkan berlakunya penyeludupan, kejadian jenayah, kehadiran banyak warga asing tanpa izin, pencemaran alam dan pelbagai bencana berbentuk tanah runtuh, bangunan runtuh, penerokaan hutan dan tanah secara haram, banjir besar dan pelbagai bala yang menyebabkan negara dilanda musibah. Akibatnya, rakyat hidup sengsara, lalu kepercayaan rakyat kepada pemimpin dan kerajaan terhakis.

Data Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), melaporkan bahawa belakangan ini kes penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana awam semakin banyak berlaku. Sebanyak 1257 kes tangkapan melibatkan penjawat awam, swasta dan orang awam dilaporkan berlaku antara Januari 2024 hingga Oktober 2024. Dilaporkan bahawa jawatan yang disandang telah disalahgunakan dengan memberikan kerja pembekalan kepada ahli keluarga, memberikan projek kepada syarikat tertentu secara tidak telus kerana dipengaruhi oleh kepentingan peribadi atau kelompok, juga perbuatan mengambil keuntungan menggunakan dana awam.

Jika integriti diamalkan, maka pelbagai manfaat akan diperoleh. Sebagai contoh, peniaga yang jujur akan mempermudah urusan jual beli, petugas yang mengawal baik sempadan dapat menjamin keselamatan negara, jurubina yang berintegriti membolehkan penghuni mendiami bangunan yang selamat, petugas media yang jujur membolehkan orang ramai memperoleh maklumat yang benar, dan penguat kuasa yang tegas dapat membendung kejadian jenayah.

Yang berikut merupakan beberapa amalan yang mencerminkan sifat berintegriti:

Pertama: Menghormati masa bekerja sepenuhnya, tidak mencuri masa bekerja dengan datang lewat dan balik lebih awal daripada waktu yang ditetapkan, tidak berada di kantin lebih daripada masa yang diizinkan, tidak berbual kosong atau tidur di bilik rehat atau di surau pejabat semasa waktu yang ditetapkan untuk bekerja.

Kedua: Tidak menyalahgunakan cuti sakit, tidak berpakat dengan klinik untuk mengeluarkan cuti sakit palsu sebagai alasan mahu melindungi diri kerana tidak hadir bekerja.

Ketiga: Tidak menyalahgunakan peralatan pejabat dan kemudahan pejabat seperti kenderaan, kertas, sampul surat, alat tulis, panggilan telefon untuk urusan peribadi kerana perbuatan tersebut tergolong dalam kategori melakukan pencurian.

Keempat: Tidak melakukan tuntutan perjalanan, penginapan dan perbelanjaan makan yang palsu atau mengubah angka semasa mengemukakan tuntutan.

Kelima: Tidak membelanjakan wang pejabat, institusi dan pertubuhan secara muncah untuk mengadakan jamuan secara besar-besaran, membeli peralatan, barangan dan pakaian secara membazir wang awam, jauh sekali daripada mengambil komisen daripada pembekal.

Keenam: Memilih dan melantik kontraktor dan pembekal barangan dan perkhidmatan berdasarkan merit kelayakan dan keupayaan, berpandukan sebut harga atau nilai kontrak yang adil, dan tidak menawarkan sesuatu kerja dan tugasan atas niat mendapat komisen atau imbuhan peribadi.

Ketujuh: Bercakap benar dan mengaku salah apabila telah berlaku sesuatu kesilapan daripada bermuslihat untuk menutup kesilapan yang bakal mengakibatkan kemudaratan yang lebih besar.

Kelapan: Jauhi sama sekali perbuatan pecah amanah, rasuah dan salah guna kuasa.

Kesembilan: Berniat bahawa pekerjaan ialah amal makruf yang wajib disempurnakan dengan amanah, dengan rasa insaf bahawa Allah SWT Maha Melihat; Allah SWT akan menghisab segala amalan dan apa-apa yang dikerjakan akan dicatat oleh Malaikat Raqib dan Atid, dan setiap catatan akan diadili oleh Allah SWT pada hari kebangkitan di padang mahsyar.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 15 November 2024 bertajuk “Teguh Integriti, Kukuh Pertiwi”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.