Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPedofilia, suatu ancaman sosial yang menakutkan dan merosakkan akhlak telah mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan umat Islam sejagat. Kehadiran ancaman ini menggesa kita untuk merenung kembali nilai Islam yang sejati bagi mendidik generasi muda agar kebal terhadap ancaman moral yang semakin mencengkam.
Islam sebagai agama yang syumul dan lengkap dengan panduan kehidupan telah menyediakan asas yang kukuh untuk membina individu yang beriman dan berakhlak mulia. Dalam konteks ini, usaha untuk membentuk generasi beriman yang kebal terhadap ancaman pedofilia bukan sahaja menjadi tuntutan agama, tetapi juga tanggungjawab kolektif umat Islam.
Pedofilia merupakan jenayah yang sangat jijik di sisi Islam kerana telah memusnahkan kepercayaan dan mencabuli kesucian anak kecil yang tidak berdosa. Dalam al-Quran, Allah SWT dengan jelas melarang sebarang bentuk pencabulan dan penindasan terhadap golongan yang lemah, terutamanya kanak-kanak.
Firman Allah dalam Surah al-Isra’ ayat 32 yang bermaksud, “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” Meskipun pedofilia bukanlah zina secara literal, namun hal tersebut tetap tergolong dalam perbuatan terkutuk yang melanggar hak dan kehormatan manusia. Islam memandang setiap individu sebagai amanah yang harus dijaga, dan hal ini termasuklah menjaga keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak daripada ancaman pedofilia.
Kekebalan moral generasi beriman terhadap ancaman pedofilia hanya dapat dicapai apabila nilai keimanan yang tulen ditanam dalam jiwa anak-anak sejak usia muda. Iman merupakan asas bagi segala akhlak dan tingkah laku yang mulia, dan harus diasuh melalui pendidikan agama yang mantap. Dalam Islam, pendidikan agama bukan sekadar pengajaran teori, tetapi proses mendalam yang melibatkan penghayatan nilai Islam dalam kehidupan seharian. Pendidikan ini harus bermula dari rumah. Ibu bapa memainkan peranan utama sebagai qudwah hasanah, iaitu contoh teladan yang baik untuk menanamkan rasa cinta terhadap Allah SWT dan Rasulullah SAW, serta penghayatan terhadap syariat Islam.
Pengukuhan konsep takwa merupakan asas terhadap pembangunan generasi yang kuat dari segi moral dan akhlak. Takwa yang merujuk kesedaran yang mendalam terhadap kehadiran Allah SWT dalam setiap aspek kehidupan, bertindak sebagai benteng diri yang ampuh bagi seseorang Muslim. Generasi yang bertakwa akan sentiasa merasai bahawa Allah sentiasa memerhati, dan hal ini akan menjadi penghalang bagi mereka daripada terjebak dalam perbuatan keji seperti pedofilia, mahupun terdedah terhadap ancaman tersebut.
Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 197 yang bermaksud, “… Dan bertakwalah kamu kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah amat keras azab-Nya.” Keimanan yang mantap dan takwa yang kukuh mampu membentuk jiwa yang sentiasa berwaspada serta mengelakkan diri daripada sebarang bentuk kemungkaran.
Selain itu, fitrah kanak-kanak sebagai makhluk suci dan bersih dalam Islam perlu dipelihara dengan penuh tanggungjawab. Kanak-kanak lahir dalam keadaan yang bersih daripada dosa, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Setiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah (Islam), maka kedua-dua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Hadis riwayat Muslim).
Fitrah ini harus dijaga dengan menghindari mereka daripada persekitaran yang tercemar dengan unsur maksiat dan kemungkaran. Islam menegaskan tentang peri pentingnya pemeliharaan fitrah kanak-kanak dengan menghindarkan mereka daripada ancaman yang merosakkan akhlak dan mental, termasuklah pedofilia. Generasi yang dididik dalam suasana yang bersih dan selamat akan lebih mudah memupuk sifat mulia seperti malu, takwa dan ihsan yang menjadi benteng kukuh terhadap sebarang ancaman moral.
Islam juga menekankan konsep amanah dalam usaha menjaga generasi muda. Setiap Muslim bertanggungjawab untuk memelihara amanah yang diberikan oleh Allah SWT, termasuklah tanggungjawab untuk menjaga dan melindungi anak-anak daripada sebarang bahaya. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Setiap kamu ialah pemimpin dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan terhadap apa-apa yang dipimpinnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Oleh itu, umat Islam harus menyedari bahawa menjaga keselamatan kanak-kanak daripada ancaman seperti pedofilia bukan hanya tanggungjawab ibu bapa semata-mata, tetapi juga tanggungjawab masyarakat secara keseluruhannya.
Satu lagi prinsip penting yang diajarkan oleh Islam ialah al-amr bi al-ma‘ruf wa al-nahyi ‘an al-munkar (menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran). Setiap individu Muslim diwajibkan untuk memastikan bahawa segala bentuk kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat, termasuk jenayah pedofilia, dicegah dan dihapuskan.
Islam mengajar umatnya untuk bersatu melawan kemungkaran dan membina suasana yang kondusif bagi pertumbuhan moral anak-anak. Hal ini termasuklah mencipta persekitaran yang menghormati hak kanak-kanak, melindungi mereka daripada ancaman luar, serta menanamkan kesedaran dalam masyarakat tentang bahaya pedofilia. Firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 110 yang bermaksud, “Kamu ialah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah.”
Ancaman pedofilia juga menuntut kita untuk memperkasakan nilai akhlak dalam kalangan generasi muda. Akhlak yang mulia menjadi tunjang bagi keperibadian Muslim yang unggul. Dalam al-Quran dan hadis, akhlak yang baik sentiasa ditekankan sebagai asas bagi kehidupan yang sejahtera. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Hadis riwayat Ahmad).
Dalam konteks ancaman pedofilia, generasi yang diasuh dengan akhlak mulia akan memiliki perisai dalaman yang kukuh untuk menolak segala bentuk gangguan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Akhlak mulia yang tertanam dalam jiwa anak-anak akan menjadikan mereka lebih waspada terhadap persekitaran, serta dapat mengenal pasti dan mengelakkan diri daripada sebarang situasi yang mencurigakan.
Pendidikan moral berteraskan nilai Islam juga berperanan penting bagi membentuk generasi yang kebal terhadap ancaman pedofilia. Islam menekankan pendidikan sebagai alat utama untuk membina akhlak dan peribadi mulia. Pendidikan yang benar-benar berlandaskan Islam bukan sahaja memberikan pengetahuan agama, tetapi juga membentuk sahsiah anak-anak supaya menjadi individu yang beriman dan bertakwa.
Di sinilah pentingnya pengajaran tentang batas pergaulan, aurat, serta adab dalam Islam yang menjadi benteng terhadap sebarang cubaan mempengaruhi atau mengancam mereka secara moral. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: ‘Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya.’ … Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman: ‘Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya.’” (Surah al-Nur 24:30-31).
Ancaman pedofilia memerlukan kekuatan jiwa yang tinggi untuk dihadapi, dan kekuatan ini hanya lahir daripada generasi yang beriman dan bertakwa. Anak-anak yang dididik dengan keimanan yang mantap akan memahami bahawa Allah sentiasa mengawasi setiap perbuatan mereka. Hal ini akan menghindarkan mereka daripada menjadi mangsa atau pelaku terhadap sebarang perbuatan yang melanggar syariat. Mereka juga akan lebih berani untuk melaporkan sebarang bentuk gangguan atau ancaman yang diterima, kerana mereka sedar bahawa Islam mengajar mereka untuk melindungi diri dan maruah sebagai hamba Allah yang mulia.
Pada akhirnya, usaha membina generasi beriman yang kebal terhadap ancaman pedofilia dalam konteks Islam memerlukan kerjasama padu daripada semua pihak. Umat Islam harus bersatu padu melindungi anak-anak daripada ancaman ini dengan menekankan keimanan, takwa, akhlak dan amanah sebagai asas utama dalam usaha mendidik generasi muda. Islam menawarkan panduan yang lengkap dalam hal ini, dan menjadi tanggungjawab kita untuk mengamalkan ajaran tersebut demi melahirkan generasi yang kukuh dari segi moral dan akhlak. Dengan keimanan yang teguh, takwa yang mantap serta akhlak yang mulia, kita dapat membina generasi yang bukan sahaja kebal terhadap ancaman pedofilia, malah mampu menjadi pemimpin masa depan yang unggul dan bertakwa.