6 November 2024, 10:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dunia hari ini menyaksikan arus perkembangan sains dan teknologi yang cukup pesat. Seluruh negara di dunia pastinya tidak mahu menyaksikan rakyat negara mereka ketinggalan dalam bidang keperluan utama itu. Demikianlah juga keadaannya dengan situasi di negara ini.

Pelbagai usaha, kaedah dan strategi telah dan sedang dilakukan bagi memastikan hasrat negara untuk menjadikan negara ini berdiri sama tinggi dengan pencapaian negara lain tercapai. Mahu tidak mahu, kita semua seharusnya mengakui akan kepentingan ilmu sains dan teknologi sebagai antara bidang teras yang perlu dikuasai.

Sejak era awal merdeka lagi, negara sudah pun menampakkan kesungguhan untuk menjadikan bidang sains dan teknologi sebagai bidang ilmu yang diminati oleh generasi muda negara, khususnya murid sekolah. Buktinya, usaha kerajaan menubuhkan Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang pada tahun 1969 sebagai wadah dalam usaha memperkasakan ilmu sains dan teknologi dalam kalangan generasi muda negara. Demikian juga dengan penubuhan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang bertempat di Skudai, Johor. Dua buah universiti awam ini menjadi perintis dalam usaha menggerakkan minat para pelajar untuk menguasai bidang sains dan teknologi.

Pusat pengajian tinggi yang berasaskan ilmu sains dan teknologi serta berkonsepkan gabungan ilmu naqli dan aqli juga telah diwujudkan di negara ini. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang kampus utamanya di Nilai, Negeri Sembilan telah merancakkan lagi agenda negara untuk membangunkan modal insan yang berketerampilan unggul dan berilmu tinggi dalam bidang sains dan teknologi.

Selain itu, negara juga memiliki puluhan buah sekolah teknik dan politeknik. Hal ini menunjukkan betapa bersungguhnya pihak kerajaan untuk mengetengahkan bidang ilmu sains dan teknologi untuk dikuasai oleh rakyat jelata, khususnya anak muda.

Perkembangan ilmu sains dan teknologi yang tidak pernah terhenti itu membuatkan pihak kerajaan terus mengorak langkah menubuhkan pelbagai institusi pengajian tinggi lain semata-mata untuk membuka ruang dan memberikan peluang seluas-luasnya kepada sesiapa yang berkelayakan untuk mempelajari bidang sains dan teknologi.

Namun begitu, amat mendukacitakan apabila ketika negara begitu bersungguh-sungguh untuk menampilkan karakter selaku sebuah negara maju yang rakyatnya mampu menguasai bidang sains dan teknologi dengan baik, semangat mahu menjadikan subjek sains dan teknologi dalam kalangan murid sekolah telah menurun dan tidak sehebat dahulu lagi.

Kini, dilaporkan kelas beraliran sains tulen tidak lagi mempunyai jumlah murid yang banyak, sebaliknya murid lebih teruja memilih aliran kemanusiaan. Pelbagai alasan dan hujah telah diuar-uarkan, dan yang paling ketara adalah tanggapan bahawa subjek sains tulen dan teknologi ialah ”subjek maut” yang sukar dipelajari.

Stigma negatif itu dilihat semakin merebak luas sehingga menimbulkan fenomena baharu dalam kalangan murid sekolah bahawa mereka perlu menjauhkan diri daripada mempelajari subjek tersebut. Hakikat itu sebenarnya amat merugikan negara dan umat Islam pada masa akan datang.

Usah kita lupa bahawa umat Islam pernah mengukir sejarah penuh gemilang dalam bidang sains, matematik, kejuruteraan dan teknologi (STEM), dan kejayaan itu menjadi bukti bahawa STEM bukan benda asing dan sukar untuk dikuasai oleh generasi muda pada hari ini.

Umat Islam pernah tampil dengan karakter jitu selaku perintis ulung dalam aneka ilmu STEM, dan jika mahu disebut satu per satu nama ilmuwan Muslim yang berjaya itu memerlukan halaman catatan yang panjang. Sebutlah apa-apa pun bidang ilmu STEM, maka di situ kita akan menemukan nama Muslim yang menjadi pelopornya.

Pesanan Rasulullah SAW yang menggalakkan umatnya mencari ilmu sememangnya telah menjadi bahan motivasi kepada masyarakat Islam suatu ketika dahulu. Antara hadis yang boleh menaikkan semangat mereka untuk bertebaran mencari, meneroka dan merintis ilmu termasuklah hadis Baginda yang bermaksud, ”Barang siapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan mudahkan baginya jalan menuju ke syurga.” (Hadis riwayat Muslim).

Masyarakat Islam dahulu bukan setakat mencari dan meneroka ilmu berkaitan dengan hal ehwal agama semata-mata, sebaliknya trend murni pada ketika itu yang menggambarkan fenomena ”dahaga ilmu” sangat ketara. Hal itu termasuklah dalam ilmu STEM. Lebih menariknya para ilmuwan tersebut bukan sahaja tertumpu sepenuhnya dalam satu-satu bidang ilmu, tetapi sikap tamak akan ilmu telah memberikan senario luar biasa dengan penonjolan daya usaha untuk mengaut seberapa banyak ilmu yang termampu.

Generasi muda Muslim masa ini khususnya, perlu menginsafi bahawa situasi gemilang yang dicapai oleh ilmuwan Islam dahulu itu bukan menerusi jalan yang mudah. Mereka memaksakan diri dan ”memujuk hati” untuk mencari ilmu dengan mengembara dari satu kawasan ke satu kawasan.

Mereka hidup bukan seperti kehidupan pada zaman ini yang segala-galanya mudah dan akses untuk memperoleh bahan sumber boleh dicapai dengan hujung jari sahaja. Kesungguhan mereka kerana berasa ”terpanggil” dengan motivasi agama yang menganjurkan umat Islam agar sentiasa mengutamakan ilmu pengetahuan. Mereka benar-benar sedar bahawa Islam bukan sekadar beribadat dalam masjid dan surau sahaja.

Mereka juga sedar bahawa ganjaran pahala di sisi Allah bukan hanya diperoleh di atas sejadah, sebaliknya memahami bahawa setiap langkah kaki mereka untuk mencari dan mendalami ilmu merupakan ibadat kepada Allah yang berbuah pahala yang besar.

Generasi muda Muslim hari ini baik pada peringkat sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi sewajarnya menjadikan kesungguhan dan semangat jitu ilmuwan terdahulu sebagai peniup motivasi untuk kembali menjadi umat pelopor ilmu STEM. Meskipun jalannya sukar penuh rintangan, namun demi kesejahteraan negara dan umat Islam pada masa akan datang, hal tersebut perlulah dihadapi dengan tabah dan cekal.

Kata Abu Darda’, “Mempelajari suatu masalah ilmu itu lebih aku suka daripada qiyamullail.” Jadikan kata-kata Abu Darda’ ini sebagai suntikan jiwa untuk berjaya dalam pencarian ilmu. Demikian juga, ingatlah selalu nasihat Imam al-Syafii yang katanya, “Menuntut ilmu itu lebih baik daripada melakukan ibadah sunat.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.