Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Seminar Antarabangsa Pelajar Tahun Akhir Prasiswazah Program Al-Quran dan Al-Sunnah (SETIA IV) anjuran Pusat Kajian Al-Quran dan Al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dengan kerjasama dua buah universiti luar negara, iaitu Universitas Islam Negeri Sunan Ampel (UINSA) Surabaya dan Universitas Al-Amien Prenduan (UNIA) Madura, serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung di Fakulti Pengajian Islam UKM semalam bertujuan untuk memperkasakan bakat mahasiswa sebagai penyelidik.
Seminar SETIA IV bertemakan “Melestari Penyelidikan al-Quran dan Sunah” ini melibatkan pembentangan bersemuka sebanyak 90 artikel oleh para pelajar tahun akhir Prasiswazah daripada Program Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah, UKM secara bersemuka, manakala 48 artikel pembentangan secara dalam talian daripada pelajar tahun akhir S1 daripada Fakultas Ushuluddin dan Filsafat, UINSA, Surabaya dan Fakultas Dakwah dan Ushuluddin, UNIA Prenduan, Madura dalam bidang berkaitan dengan al-Quran dan sunah.
Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM, YBrs. Profesor. Dr. Ahmad Suwawari Long berkata, “Bagi memastikan SETIA IV ini memberikan impak dan kesan yang berterusan, kertas kerja atau artikel terbaik yang dibentangkan wajar diterbitkan dalam pelbagai medium terbitan sama ada dalam Jurnal Terindeks seperti Jurnal Al-Turath, Bab dalam Buku dan e-Prosiding.”

Ketua editor Jurnal Al-Turath, YBrs. Profesor Madya Dr. Haziyah Hussin pula berkata, “Satu artikel terbaik daripada setiap institusi akan diterbitkan dalam Jurnal Al-Turath secara percuma sebagai hadiah penghargaan dan motivasi kepada mahasiswa agar terus giat dalam bidang penyelidikan dan penerbitan.
“Hal ini selaras dalam usaha mengasah dan memperkasakan bakat penulisan dalam diri mahasiswa bagi melahirkan penyelidik yang produktif, khususnya dalam bidang keagamaan yang akan menghasilkan dapatan yang sejajar serta berkualiti dalam mengintegrasi ilmu turath dan moden bagi kelestarian Islam,” katanya.
Majlis penutupan SETIA IV disempurnakan oleh Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Puan Roziah Md Yunus yang mewakili Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed.