Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangFirman Allah SWT;
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyerahkan amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya itu) memberikan sebaik-baik pengajaran kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
(Surah al-Nisa’ 4:58)
Ayat ini menggariskan dua perkara utama, iaitu:
Selaras dengan perintah Allah SWT, pemerintah telah diserahkan amanah, bertanggungjawab menjaga kepentingan rakyat, dan setiap tindakan pemerintah hendaklah mencerminkan keadilan, tidak mengandungi unsur kezaliman, begitu juga bebas daripada unsur penganiayaan.
Keadilan dalam Islam bermaksud meletakkan sesuatu pada tempat yang betul dan memberikan hak kepada yang benar-benar berhak menerimanya. Lawan kepada adil ialah zalim, iaitu meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya, dan menafikan hak orang yang benar-benar berhak ke atas sesuatu. Seseorang raja pemerintah yang adil akan memastikan bahawa setiap rakyat baginda mendapat hak, perlindungan dan pembelaan yang saksama, tanpa pilih kasih, penindasan, diskriminasi atau layanan berbeza kerana dipengaruhi oleh latar belakang keturunan, kedudukan sosial atau taraf kekayaan.
Kesultanan Melayu Perak merupakan kesinambungan Kesultanan Melayu Melaka yang tercatat dalam sejarah berpengaruh penting meletakkan Islam dalam sistem pemerintahan dan membina tamadun bangsa. Pada tahun 1414, Parameswara yang memerintah Melaka telah memeluk Islam dan mengambil gelaran Sultan Megat Iskandar Shah, lalu memulakan jalur keturunan Kesultanan Melayu Islam, yang bukan sahaja membantu penyebaran syiar Islam di bumi ini, malah memperkukuh kedudukan raja Melayu.
Berpandukan ajaran Islam, raja melaksanakan pemerintahan berasaskan undang-undang yang berlandaskan undang-undang syarak, iaitu bermula dengan “Hukum Kanun Melaka” di Melaka, disambut dengan “Undang-undang 99 Perak” di Perak yang memancarkan roh dan semangat Islam dalam pemerintahan. Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak juga menegaskan bahawa tonggak pemerintahan beraja adalah berlandaskan hukum syarak serta prinsip keadilan dan syura.
Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, mewujudkan sistem pemerintahan bagi menjaga kesucian agama dan mengurus hal ehwal negara merupakan suatu tuntutan syarak demi memastikan negara berada dalam suasana yang stabil dan aman, serta rakyat hidup dalam suasana selamat lagi sejahtera. Apabila mencapai kemerdekaan, negara telah memilih sistem berkerajaan yang berlandaskan doktrin raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Kedaulatan raja-raja Melayu dikekalkan dalam olahan acuan baharu. Raja memiliki kuasa pemerintahan berlandaskan perkara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Negara dan Undang-undang Tubuh Negeri, disamping turut memiliki kuasa budi bicara.
Raja mempunyai kedudukan paling utama dalam negeri. Peranan raja amat penting sebagai pelindung yang mendaulatkan agama Islam dan menjadi payung negeri. Peranan tersebut jika disempurnakan secara bijaksana, adil dan saksama, akan melahirkan kestabilan dalam negeri seperti yang rakyat dapat nikmati pada hari ini. Natijahnya, rakyat dapat hidup harmoni, ekonomi dapat dimajukan, bumi dapat dimakmurkan dan negeri berada dalam keadaan stabil.
Untuk memastikan pemerintahan yang adil dapat disempurnakan, amat penting bagi raja pemerintah memiliki barisan ulama dan umara yang arif lagi bijaksana yang berkeupayaan mempersembahkan sebaik-baik nasihat dan seikhlas pandangan, serta membantu raja pemerintah dalam memperkenankan sesuatu perkara atau menitahkan sesuatu perintah, akan berpandukan fakta dan bukti yang telah disemak dan dihalusi kesahihan dan kebenarannya demi menjamin keadilan tidak tercicir dan kezaliman dapat dihindari.
Amat penting bagi para pemerintah mengambil iktibar dan menjadikan pengajaran akan punca kejatuhan takhta dan kerajaan pada masa lampau kerana raja telah disalah nasihat oleh para wazir, menteri, pembesar dan pegawai yang memiliki kepentingan diri, berniat buruk, lalu mengambil kesempatan, menyalahgunakan hubungan dan pengaruh dengan takhta, mengakibatkan tergelincirnya keadilan, takhta terkorban dan negara musnah.
Beberapa kesimpulan telah dirumuskan seperti yang berikut:
Pertama: Kedaulatan yang mutlak hanya milik Allah SWT. Raja pemerintah ialah pemegang amanah untuk memimpin ummah, dan amanah tersebut perlu disempurnakan dengan bijaksana lagi berhemah, adil lagi saksama, agar diterima sebagai amal jariah yang memenuhi tuntutan Ilahi, yang dilimpahkan dengan ganjaran di dunia dan di akhirat.
Kedua: Demi memastikan kestabilan negeri dan kerukunan masyarakat, rakyat wajib menumpahkan taat setia kepada raja pemerintah yang adil, iaitu ululamri (iaitu orang yang berkuasa), selagi perintah dan arahan yang diberikan tidak bercanggah dengan syariat.
Ketiga: Institusi beraja perlu dipertahankan kerana berperanan sebagai payung negeri dan payung negara, menjunjung amanah Ilahi untuk menyempurnakan peranan dan tanggungjawab yang tersurat dan tersirat dalam Perlembagaan Negara dan Undang-undang Tubuh negeri sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan; lantas membantu meningkatkan keyakinan rakyat kepada sistem berkerajaan dan bernegara berteraskan doktrin raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.
Keempat: Raja pemerintah bukan institusi yang kaku sekadar bahan hiasan untuk melakukan tugas keraian semata-mata, sebaliknya raja pemerintah sebagai ketua utama negeri mempunyai tugas dan tanggungjawab duniawi terhadap rakyat dan negeri, di samping tanggungjawab terhadap Ilahi yang akan dinilai pada hari kebangkitan di mahkamah Rab al-Jalil.
Kelima: Dipastikan raja pemerintah dibantu dalam urusan pemerintahan oleh barisan ulama dan umara yang memiliki iman yang teguh dan pendirian yang kukuh, berani berkata benar dan tegas menegakkan keadilan, dengan hati yang ikhlas menyembahkan sebaik-baik nasihat berlandaskan fakta dan kebenaran, dan tidak sama sekali menyalahgunakan hubungan dan kepercayaan takhta untuk kepentingan peribadi.
(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 1 November 2024, bertajuk “Raja Adil, Negara Stabil”)