Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPepatah “buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali” sangat lazim kita dengar dalam kehidupan sehari-hari bukan? Jika diteliti peribahasa tersebut, mengapakah buat baik perlu berpada-pada? Bukankah berbuat baik itu amalan mulia? Mengapa pula buat jahat jangan sekali? Adakah perbuatan jahat boleh dibuat berkali-kali?
Betapa halusnya nenek moyang kita dahulu menyampaikan didikan. Apabila diperhalusi, pepatah tersebut sebenarnya memantulkan maksud wasatiyah atau kesederhanaan yang dianjurkan dalam agama Islam. Hal ini bermakna bahawa Islam sangat menggalakkan umatnya untuk menjadi manusia yang seimbang dan tidak keterlaluan dalam segenap hal.
Sebagai contoh, umum mengetahui bahawa agama Islam sangat mementingkan keharmonian dan keamanan dalam kehidupan, namun apabila agama Islam terancam atau musuh memilih untuk berperang seperti pada zaman dakwah Nabi Muhammad SAW secara terbuka dahulu, para pejuang Islam perlulah berani dan tegas untuk menegakkan kebenaran. Begitulah analogi mudah yang boleh dikaitkan dengan peribahasa ini.
Bidalan itu juga boleh membawa definisi adil yang bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Samalah seperti contoh tersebut, apabila berperang pada jalan Allah, pastilah tenteranya memiliki semangat juang yang tinggi dan bersungguh-sungguh untuk membawa kemenangan. Bukankah ironi jika di medan perang masih perlu berlemah-lembut? Tidak sesuai bukan? Adakah hal ini bermaksud Islam suka akan keganasan? Sama sekali tidak, kerana peperangan merupakan jalan terakhir setelah pihak musuh menolak kaedah diplomasi untuk menerima Islam.
Sebagai umat Islam, kita sentiasa digalakkan untuk membuat kebaikan. Malah, banyak dalil dalam al-Quran khususnya, yang memberikan saranan kepada kita untuk melakukan kebaikan. Antaranya, Surah al-Baqarah ayat 148 yang bermaksud, “Dan berlumba-lumbalah kamu untuk melakukan kebaikan … .”
Selain itu, Islam turut menggalakkan kita untuk saling membantu semasa mengerjakan kebaikan dan menegah kita untuk membantu dalam hal kejahatan seperti yang termaktub dalam Surah al-Ma’idah ayat 2 yang bermaksud, “Dan hendaklah kamu bantu-membantu dalam melakukan kebaikan dan ketakwaan, serta janganlah kamu saling membantu untuk membuat dosa dan permusuhan.”
Sebagai manusia, kita tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan, serta terdedah dengan melakukan maksiat dan dosa. Sesungguhnya iman kita ada pasang surutnya, tidak seperti alim ulama dan para abid, jauh sekali hendak menandingi para nabi. Namun begitu, perkara ini bukanlah penghalang untuk kita sentiasa dan terus membaiki diri.
Kita sedia maklum bahawa insan yang berperangai buruk memerlukan nasihat, tetapi janganlah kita lupa bahawa individu yang berkelakuan baik juga memerlukan pesanan. Pada hakikatnya, apabila seseorang individu dilihat sebagai seorang yang baik budi pekertinya, banyak amalnya dan terpuji akhlaknya, maka dia lebih terdedah dengan ujian hati yang lebih dahsyat dosanya jika dia hanyut dengan pujian dan mula berasa dirinya lebih baik berbanding dengan orang lain.
Oleh itu, berwaspadalah dengan akhlak yang baik. Syaitan tidak akan pernah berputus asa untuk menyesatkan manusia dengan 1001 macam cara. Bahkan makhluk ini telah berjanji dengan Allah SWT untuk membawa manusia keseluruhannya sesat bersama-sama mereka seperti dalam firman-Nya dalam Surah al-Hijr ayat 39 yang bermaksud, “Iblis berkata: ‘Wahai Tuhanku! Oleh sebab Engkau telah menjadikan aku sesat, maka aku bersumpah akan memperindah segala bentuk maksiat kepada Adam dan keturunannya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semua.” Semoga Allah melindungi kita.
Mungkin ada dalam kalangan kita yang berfikir, “Susahnya hidup begini. Buat baik salah, buat jahat apatah lagi.” Jangan salah faham. Berwaspada dengan akhlak yang baik bukan bererti menyusahkan kehidupan, sebaliknya menjadikan kita lebih berhati-hati dengan tipu daya syaitan dan penyakit hati ini.
Oleh itu, kita hendaklah berjaga-jaga apabila melakukan kebaikan. Sentiasalah membetulkan niat supaya melaksanakan perkara baik semata-mata kerana Allah SWT. Apabila dipuji, ucaplah “Semua ini milik kurniaan Tuhanku.” Jangan pernah berasa cukup dan puas untuk melakukan kebaikan kerana sebaik sahaja kita berada dalam “zon selesa”, di situlah titik permulaan syaitan berjaya menipu dan mentertawakan kita.