Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBelakangan ini, nilai dan akhlak manusia bagaikan semakin terhakis daripada tahap kemuliaan insan sebagai makhluk yang diciptakan oleh Allah dengan sebaik-baik kejadian. Allah SWT mengangkat martabat anak Adam dengan bentuk kejadian yang indah dan dikurniakan akal fikiran mengatasi makhluk lain sebagai suatu nikmat yang wajib disyukuri. Allah SWT memuliakan manusia sebagaimana firman-Nya:

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak Adam. Dan Kami telah mengangkut mereka di daratan dan di lautan, dan Kami beri mereka rezeki daripada yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang lebih sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.”
(Surah al-Isra’ 17:70)
Manusiawi bermaksud bersifat kemanusiaan dan bercirikan kemuliaan berdasarkan adab yang selayaknya dimiliki dan diamalkan oleh seseorang manusia. Manusia ialah makhluk Allah SWT yang paling istimewa kerana dikurniakan akal serta boleh berfikir, berkehendak, boleh menerima dan mengembangkan ilmu pengetahuan. Allah SWT menunjukkan kelebihan kurniaan kepada manusia berbanding dengan makhluk lain, seperti ilmu yang telah dikurniakan kepada Nabi Adam a.s. yang tidak dikurniakan kepada para malaikat. Perkara inilah yang mewajibkan manusia berakal budi membezakan antara manusia dengan haiwan.
Pada akhir-akhir ini, nikmat dan kurniaan Ilahi semakin dilupakan disebabkan kemahuan hati dan pengaruh nafsu untuk meraih kuasa, pangkat, kekayaan dan harta. Umat Islam saling bermusuhan, berbalas cacian dan makian, menghina dan merendah-rendahkan orang lain tanpa batasan.
Berdasarkan laporan Kementerian Perpaduan Negara, dalam suku tahun pertama tahun 2024, sebanyak 47 kes kenyataan berbaur kebencian menyentuh agama dan perkauman telah direkodkan. Laporan Polis Diraja Malaysia pula menunjukkan bahawa 162 kes dicatatkan di seluruh negara melibatkan pergaduhan antara kaum. Saluran media sosial turut menjadi medan perpecahan dan permusuhan ummah. Sepanjang Januari 2024 hingga Mac 2024, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia telah menurunkan sebanyak 1454 kandungan berbaur keagamaan, perkauman serta menyentuh institusi diraja. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 588 kandungan berunsur kebencian kaum, 727 kandungan berunsur kebencian agama dan 139 kandungan berunsur kebencian terhadap institusi diraja.
Laporan tersebut ternyata tidak mencerminkan keindahan Islam, sebaliknya bersalahan dengan nilai yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Baginda diutus untuk menyempurnakan akhlak manusia dan amat menitikberatkan keindahan adab sebagaimana sabda Baginda dalam sebuah hadis sahih daripada Abu Hurairah r.a.:

Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutus melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.”
Nilai manusiawi dan akhlak mulia Rasulullah SAW wajib diwarisi, dijadikan contoh ikutan dan teladan terbaik oleh seluruh umat manusia. Namun begitu, cabaran kemodenan dan kemajuan dunia pada hari ini boleh menggugat nilai dan akhlak manusiawi sekiranya tidak dipupuk dan dijadikan prinsip hidup.
Para sahabat Baginda sentiasa memberikan contoh ikutan yang baik kepada umat manusia. Sayidina Abu Bakar al-Siddiq r.a. menunjukkan kejujuran dan sikap bertanggungjawab yang tidak berbelah bahagi sehingga beliau berjaya memimpin umat Islam selepas kewafatan Baginda. Ketegasan dan keberanian Sayidina Umar al-Khattab r.a. pula menjadikan beliau dihormati dan disegani oleh kawan mahupun lawan. Berakhlaklah seperti Sayidina Usman bin Affan r.a., iaitu kekayaannya tidak menjadikan beliau sombong terhadap manusia lain. Contohilah sifat Sayidina Ali bin Abi Talib r.a. yang sentiasa berusaha untuk mempelajari ilmu dan perkara baharu bagi mengimbangi kehidupan dengan lebih baik.
Bagi para Muslimat pula, contohi sikap Sayidatina Khadijah yang meskipun kaya dan berjaya dalam perniagaan, tetapi beliau sentiasa merendah diri dan sanggup berkorban demi meningkatkan ketinggian syiar Islam. Sifat dan akhlak terpuji akan melahirkan suasana yang rukun dan harmoni, persaingan sihat dan semangat bekerja yang tinggi untuk meraih kejayaan dan kecemerlangan ummah dan agama.
Kecintaan kepada Allah dan rasul akan menjauhkan umat Islam daripada akhlak buruk yang tidak mencerminkan keperibadian yang dianjurkan oleh Islam. Jangan disebabkan kuasa, pangkat, pengaruh dan harta, umat Islam menggadaikan prinsip agama yang menjadi penentu jatuh bangunnya sesuatu peradaban dan tamadun. Ole itu, umat Islam diseru agar memupuk dan menjaga nilai manusiawi sebagai tanda kesyukuran atas anugerah dan nikmat yang dilimpahkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya dengan menyemai amalan yang berikut:
Pertama: Berakhlak menurut al-Quran. Al-Quran mengajar umat Islam untuk mengabdikan diri kepada Allah selaku Pencipta, memerintah manusia untuk menjadi hamba yang bertanggungjawab terhadap diri sendiri serta segala makhluk dan ciptaan Allah SWT. Umat Islam wajib memelihara kehidupan yang aman dan makmur dengan menjadikan syariat Allah sebagai pedoman hidup membangunkan akhlak yang mulia.
Kedua: Mengamalkan sikap empati dan kasih sayang, iaitu keupayaan untuk memahami perasaan dan keadaan orang lain boleh membantu kita menjadi lebih peduli, cakna dan memahami keperluan orang lain. Lantaran itu, kita boleh menawarkan bantuan dan sokongan yang tulus, terbit daripada perasaan kasih sayang, sekali gus mendorong kita untuk menjaga hubungan yang baik dan menghindari perbalahan yang tidak perlu.
Ketiga: Mendirikan solat serta menghayati ajaran Islam. Ibadat dan amalan yang ikhlas dan istiqamah akan membuahkan kelakuan sopan, menzahirkan peribadi dan akhlak yang terpuji sebagai bukti kecintaan seseorang hamba kepada Allah dan rasul-Nya.
Keempat: Membina pemikiran yang positif. Berfikir secara positif berupaya untuk melihat dan menilai setiap perkara dari sudut kebaikan, dan pandangan yang membawa kepada kesejahteraan.