20 Oktober 2024, 20:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kesenian Islam yang juga dikenali sebagai arabes disulami dengan pelbagai lapisan falsafah agama dan sejarah. Kitab suci al-Quran merupakan sumber utama dan inspirasi bagi penciptaan arabes. Al-Quran merupakan kitab suci yang memerihalkan bahawa Islam sebagai agama monoteisme (tauhid). Allah SWT tiada permulaan mahupun pengakhiran kerana Dia yang menciptakan dan mematikan. Dalam al-Quran disebutkan bahawa keagungan Allah melangkaui segala pemikiran dan konsepsi manusia.

Tunjang utama dalam seni arabes ialah sifat kerohaniannya. Dalam kesenian arabes, kita dapat melihat kehebatan para karyawan terdahulu menampilkan keagungan Allah SWT. Allah SWT bersifat abadi dan tidak terbatas. Dia yang menciptakan segala-galanya dan Dia juga yang mematikan sarwa ciptaan-Nya. Antara asas dan falsafah yang diterapkan dalam seni arabes termasuklah sifat Allah yang diinspirasikan daripada 99 nama Allah.

Perkembangan arabes disumbangkan oleh pemerintah, agamawan, seniman dan ahli falsafah. Mereka memainkan peranan yang penting dalam usaha menterjemahkan sifat abadi Allah SWT dalam rupa bentuk yang kreatif dan kompleks. Al-Farabi pernah mengutarakan pandangan beliau tentang keindahan. Beliau mengungkapkan bahawa kecantikan, keindahan dan adiwarna yang mutlak milik Allah SWT. Perkara ini selaras dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud,  “Sesungguhnya Allah cantik dan Allah suka akan kecantikan.” (Hadis riwayat Muslim).

Keindahan dan adiwarna yang boleh dilihat melalui pancaindera kita ialah sarwa ciptaan Allah SWT di alam yang luas ini. Misalnya, langit dan bumi, kejadian bintang, bukit-bukau, laut dan sungai, keharmonian antara flora dengan fauna, dan semestinya manusia merupakan ciptaan-Nya yang terbaik. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik ciptaan.” (Surah al-Tin 95:4).

Kesenian Islam yang terdapat pada binaan Masjid Putra, Putrajaya.

Manusia merupakan organisma yang kompleks dan mempunyai akal. Manusia diberi fungsi untuk menjalankan segala perintah-Nya bagi memelihara segala ciptaan-Nya di dunia ini.  Minda manusia merupakan antara ciptaan-Nya yang amat rumit dan halus. Minda manusia mempunyai kemampuan untuk berfikir dan menjadi kreatif. Kreativiti manusia terdahulu mampu mengerakkan tamadun dari aspek seni. Sayugia, perkembangan arabes disumbangkan oleh buah fikiran para seniman yang mempunyai ilmu agama yang jitu dan tahap kreativiti yang tinggi. Arabes bukan hanya terbentuk berlandaskan adipati yang kosong, tetapi disulami dengan unsur rohani yang terdapat dalam ajaran agama Islam. Para seniman Muslim terdahulu mengambil inspirasi dalam penciptaan elemen penting dalam seni Arabesque.

Ulama terulung, al-Syahid Hassan al-Banna berkata, “Al-Quran al-Karim ialah sebuah perlembagaan yang lengkap merangkumi seluruh hukum Islam. Al-Quran ialah sumber yang mencurahkan segala kebaikan dan ilmu ke dalam hati orang yang beriman. Al-Quran merupakan alat yang terbaik untuk para ahli ibadat mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan cara membacanya.” Kata-kata al-Syahid Hassan al-Banna ini memantulkan kesempurnaan al-Quran yang tiada celanya kerana kalamullah menjadi pembimbing, panduan hidup, kompas minda dan hati serta inspirasi kepada umat sejagat.

Amat jelas bahawa para seniman terdahulu menggunakan al-Quran sebagai panduan dan bimbingan untuk menampilkan sifat keagungan Allah secara visual. Biarpun keagungan-Nya dizahirkan secara fizikal, namun untuk menzahirkannya secara menyeluruh adalah di luar kemampuan manusia. Maka itu, sifat Allah yang tiada penghujung atau permulaan, dalam erti kata lain abadi dan wujud dengan sendirinya, merupakan inspirasi bagi para seniman untuk dilihat oleh manusia sejagat.

Keagungan Allah SWT sudah semestinya dengan Zat-Nya yang abadi, yang Maha Besar, Maha Suci dan segala pujian kepada-Nya. Itulah antara konsep awal tentang arabes, sifat keabadian Allah SWT. Arabes yang coraknya merupakan keharmonian antara geometri dengan fauna membawa erti keindahan yang disulami dengan erti tauhid dan sifat Allah yang abadi dan wujud. Motif fauna dijadikan pecahan atau erti kata lain pengabstrakan (abstraction) dan diulang bentuknya dalam bentuk geometri.

Tokoh falsafah Palestin-Amerika, Ismaʻil Raji al-Faruqi berpendapat bahawa arabesque merupakan pantulan sifat Allah yang abadi dan wujud. Beliau menjelaskan bahawa proses ini boleh terjadi kerana para seniman Islam terdahulu memahami konsep tauhid dan hakikat dengan begitu mendalam. Sayugia, corak keabadian (infinity and eternal) terjalin dan tercipta kerana keharmonian antara pemahaman tauhid yang jelas dengan daya kreativiti yang amat tinggi.

Melalui perkembangan tamadun, arabes digunakan secara meluas dan menjadi identiti tamadun agung Islam, misalnya di Parsi, Abbasiyah, Uthmaniyah, Mughal dan Asia Tengah. Corak yang agung dan indah ini boleh dilihat di masjid, pusat pemerintahan empayar Islam dan kitab suci al-Quran. Corak ini yang disulami dengan pelbagai falsafah dan tauhid sebagai terasnya jelas menjadi pemangkin terhadap keagungan tamadun agung Islam.

Umat Islam haruslah menghayati legasi kesenian Islam ini melalui falsafah dan sejarahnya. Keindahan yang menyulami kesenian Islam itu tercipta kerana jiwanya yang berpaksikan tauhid dan kecerdasan para ahli falsafah dan seniman Islam. Tuntasnya, arabes bukan sekadar corak atau kesenian, tetapi menjadi nadi ketamadunan Islam. Arabes jelas membicarakan dan menampilkan ciri-ciri tauhid dan keabadian Allah, Maha Mencipta dan Maha Indah.

 

Kredit Foto: Adi Irfan
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.