Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangAhli Sunah Waljamaah (ASWJ) merupakan pegangan majoriti umat Islam di Malaysia, bahkan di seluruh dunia Islam. Dari aspek akidah, ASWJ beraliran Asya‘irah-Maturidiyah; dari aspek syariah pula ASWJ bermazhab Syafii dan mengiktiraf tiga mazhab lain, iaitu Hanafi, Maliki dan Hanbali; manakala dari aspek tasawuf ASWJ mengikut Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali. Pegangan ini turut dizahirkan dalam enakmen dan fatwa negeri-negeri.
Walau bagaimanapun, dunia globalisasi hari ini memperlihatkan pegangan ASWJ berhadapan dengan pelbagai cabaran akidah dan pemikiran, sehingga menggugat keutuhan ASWJ di Malaysia. Menurut Ketua Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Muhammad Rashidi Wahab, sekurang-kurangnya terdapat tiga bentuk cabaran atau ancaman terhadap ASWJ pada masa ini, iaitu:
Bagi menghadapi cabaran tersebut, umat Islam di Malaysia perlu merangka langkah strategik bagi mengukuhkan ASWJ. Langkah ini boleh berlaku dalam dua keadaan, iaitu secara rasmi melalui institusi berkaitan dengan Islam, dan langkah secara tidak rasmi melalui peranan yang bersifat individu. Antara langkah secara rasmi yang paling berkesan dan mendesak termasuklah keperluan membangunkan pelan strategik pengukuhan ASWJ yang boleh dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada peringkat Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) pada peringkat negeri.
Katanya, pelan strategik ASWJ tersebut perlu mengandungi sekurang-kurangnya empat teras utama, iaitu teras pengukuhan, teras penguatkuasaan, teras pemulihan dan teras pencegahan. Keempat-empat teras tersebut merupakan gabungan pendekatan lembut (soft approach) dan pendekatan keras (hard approach). Gabungan kedua-dua pendekatan ini akan menjadikan pelan strategik ASWJ yang dihasilkan tersebut lebih dinamik dan komprehensif.
Antara elemen yang boleh diketengahkan dalam pelan strategik ASWJ tersebut termasuklah mewujudkan program latihan atau pengkaderan ASWJ kepada para pendakwah, penambahbaikan undang-undang jenayah syariah berkaitan dengan kesalahan dalam talian, pembinaan modul dan membuat pemulihan terhadap kumpulan ajaran menyeleweng, serta membangunkan garis panduan ASWJ sebagai rujukan umat Islam.
Dr. Muhammad Rashidi berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama yang bertajuk “Strategi Pengukuhan Akidah Ahli Sunah Waljamaah di Malaysia” dalam Wacana Ilmiah Ahli Sunnah wal Jamaah 2024 di UniSZA pada 28 Ogos 2024, anjuran bersama Persatuan Guru Agama Pondok Pantai Timur/ Terengganu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan UniSZA.
Mengulas lanjut tentang hal tersebut, Dr. Muhammad Rashidi berkata bahawa perkataan ASWJ berserta huraiannya dari aspek akidah, syariah, dan tasawuf perlu dimasukkan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri atau Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Islam Negeri. Disebabkan hal itu, RUU Mufti Wilayah 2024 merupakan suatu usaha yang baik bagi pengukuhan ASWJ sekali gus mengekang penularan pelbagai aliran menyeleweng di Malaysia.
Selain itu, usaha untuk meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah melalui pindaan RUU 355 juga perlu dilaksanakan segera. Hal ini penting bagi menimbulkan kegerunan kumpulan menyeleweng agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan ajaran mereka kepada masyarakat. Mahkamah syariah dengan kuasa yang ada boleh mengenakan hukuman yang berat terhadap mereka yang didapati bersalah menyebarkan ajaran yang menyeleweng.
Muhammad Rashidi yang juga pakar akidah dan pemikiran Islam juga berkata bahawa pelan strategik ASWJ penting untuk dibangunkan kerana implikasi daripada ajaran menyeleweng bukan sahaja terkait dari sudut akidah dan syariat Islam, malah kesannya melibatkan keselamatan negara merangkumi aspek ketenteraman dan perpaduan ummah, jenayah dan keganasan, bahkan jika dibiarkan boleh meruntuhkan negara.
Bukti terkini ialah kejadian pembunuhan dua orang anggota polis di Ulu Tiram, Johor, iaitu kesan daripada pemikiran menyeleweng sehingga membawa kepada gejala ekstremisme ganas. Mereka memahami Islam secara salah tanpa berpandukan kefahaman ASWJ. Pada akhirnya, tanpa sedar mereka telah terjebak dalam kumpulan ajaran menyeleweng seperti Jemaah Islamiyah (JI) dan ISIS.
Oleh itu, kerjasama pelbagai pihak diperlukan untuk membangunkan pelan strategik ASWJ. Contohnya, ahli akademik boleh membantu JAKIM dan JAIN melakukan penyelidikan bagi mendapatkan maklumat yang tepat terhadap sesuatu perkara, seterusnya mencadangkan idea yang bernas, menyampaikan khidmat perundingan serta membina modul latihan. Kerjasama sebegini berupaya melahirkan pelan strategik ASWJ yang berkesan.
Seluruh umat Islam mesti bersatu memainkan peranan masing-masing bagi memperkukuh ASWJ di Malaysia. Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik anak-anak dengan akidah yang betul berasaskan ASWJ. Begitu juga pemimpin masyarakat, guru atau pendakwah, bahkan diri sendiri juga mesti berperanan, iaitu dengan sentiasa meningkatkan penguasaan ilmu.