18 Oktober 2024, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan demikian pula (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan  lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad), umat yang adil dan terpilih agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan supaya rasul (Muhammad) akan menjadi saksi atas (perbuatan) kamu semua … .”

(Surah al-Baqarah 2:143)

Fahaman melampau merujuk pandangan, pegangan, kepercayaan atau keyakinan yang melampaui batasan syarak. Fahaman ini lazimnya bersifat keras, tidak bertolak ansur, membelakangi nilai manusiawi dan bertentangan dengan undang-undang yang diterima umum, serta boleh membawa kepada tindakan yang menyalahi tuntutan syarak. Fahaman melampau boleh berlaku dalam keluarga, kumpulan, masyarakat, kelompok politik, hatta dalam pentafsiran hal berkaitan dengan agama.

Islam menolak fahaman melampau kerana bercanggah dengan ajaran Islam yang mengutamakan kesederhanaan (wasatiyah) dan keseimbangan (tawazzun) dalam setiap aspek kehidupan. Ayat 143 Surah al-Baqarah tersebut menerangkan bahawa ummatan wasata juga bermaksud “umat pertengahan” dari segi pembawaannya, iaitu tidak melampau, tidak terlalu longgar dan tidak keterlaluan dari sudut keyakinan dan amalan, serta memperlihatkan tindakan yang bersifat adil dan harmoni.

Fahaman melampau berlaku disebabkan beberapa faktor, iaitu:

Pertama: Kurang kefahaman ilmu al-Quran dan sunah sehingga cenderung mentafsirkan teks dan nas agama di luar maksud yang sebenar.

Kedua: Terpengaruh dengan ajaran salah yang disampaikan oleh orang yang tidak mempunyai kelayakan dalam bidang agama.

Ketiga: Sikap mengikut secara membuta tuli tanpa menyelidiki sesuatu tafsiran, ajaran dan pembawaan.

Keempat: Terkandas dengan pengaruh hawa nafsu serta taasub yang berlebihan terhadap sesuatu keyakinan atau tokoh yang dipuja.

Akibatnya, berlaku pelbagai kesan buruk yang berikut:

Pertama: Zahirnya kelakuan yang boleh menjejaskan kesucian Islam.

Kedua: Melahirkan puak yang merasakan mereka sahaja yang benar dan pihak lain sesat dan tersasar.

Ketiga: Akal menjadi dungu dan bebal kerana tidak berupaya menilai kebenaran apabila sanggup membenarkan tindakan salah yang dilakukan oleh kumpulan mereka.

Antara bentuk kelakuan yang dipengaruhi oleh fahaman dan keyakinan yang melampau termasuklah:

Akidah: Akibat taasub yang melampau, lahirnya keyakinan yang menyucikan dan mentakdiskan kepimpinan melebihi had yang dibenarkan oleh syarak, sehingga menganggap pemimpin tertentu mempunyai karamah atau keberkatan khusus yang perlu dimuliakan. Lantaran itu, hati tertutup daripada menerima kebenaran dan sukar menerima teguran atau nasihat sekalipun fahaman yang diamalkan jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

Syariat: Melakukan amalan yang bertentangan dengan syariat atau mengandungi unsur mempersendakan syariat seperti mengatur perkahwinan tanpa kebenaran wali, dan bertukar-tukar pasangan melalui akad nikah yang diaturkan oleh kumpulan.

Akhlak: Menyalahgunakan sumbangan yang disalurkan kepada rumah perlindungan amal, sanggup menipu dan berbohong, dan mempergunakan anak yatim untuk tujuan mendapatkan simpati bagi manfaat dan keuntungan kumpulan.

Politik: Wasilah yang sepatutnya digunakan untuk mentadbir urus hal ehwal kepimpinan dengan jujur, ikhlas, amanah dan telus, bertukar kepada medan untuk mengaut sebanyak mungkin pengaruh. Tergamak melakukan fitnah, mengadu domba, bersifat munafik dalam persaingan serta bertujuan untuk menjatuhkan pihak tertentu, sehingga bersedia mengorbankan kebenaran serta kepentingan umum, tanpa mempedulikan kesan yang menjejaskan kesejahteraan dan ketenteraman negara.

Pada hakikatnya, tiada sesiapa pun yang boleh mendakwa bahawa dirinya sentiasa benar atau tindakannya sentiasa betul selain para rasul dan para nabi. Manusia amat memerlukan nasihat dan teguran agar dapat membetulkan kesilapan yang tidak disedari dan ketelanjuran yang tidak disengajakan, atau fahaman yang melampau.

Islam melarang umatnya bersifat melampau dan berlebih-lebihan dalam semua perkara, apatah lagi dalam urusan agama selaras dengan sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: Janganlah kalian melampau dalam urusan agama kerana yang membinasakan umat sebelum kamu ialah sikap melampau dalam agama.

(Hadis riwayat Ahmad)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW menyebut dan diulangi sebanyak tiga kali:

Maksudnya: “Binasalah golongan yang melampau.”

(Hadis riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi ketika mentafsirkan maksud golongan yang melampau  menjelaskan bahawa mereka ialah golongan yang terlalu melampau dan melepasi had atau batasan sama ada dari segi perkataan ataupun perbuatan.

Islam menuntut umatnya agar mengambil pendekatan sederhana yang lebih bersifat mengimbangi semua keadaan dengan kebaikan agar menatijahkan fahaman dan kelakuan yang membawa kepada kesejahteraan hidup. Sifat sederhana menuntut umat agar bersatu membina keutuhan dan kesatuan ummah di samping menjauhi tindakan yang menjejaskan perpaduan yang sedia terjalin. Sifat sederhana berupaya memupuk sifat keterbukaan dalam kalangan umat Islam, mengakui kelemahan dan kesilapan diri, memaafkan sesama saudara seagama, menghindari fitnah dan adu domba serta menjauhi sifat mazmumah yang tercela.

Berdasarkan huraian tersebut, kesimpulan yang boleh dibuat adalah seperti yang berikut:

Pertama: Islam menekankan kesederhanaan dalam semua perkara.

Kedua: Fahaman dan tindakan melampau wajib dicegah kerana membawa kesan buruk yang boleh mengancam kesucian Islam serta memecahbelahkan kesatuan ummah dan perpaduan kaum.

Ketiga: Jauhi sifat taasub yang dikeji kerana sifat taasub mengundang fahaman dan sikap melampau sehingga membutakan akal untuk menerima kebenaran dan menolak kebatilan.

Keempat: Ilmu pengetahuan merupakan kunci utama untuk menyelami keindahan serta kesempurnaan beragama dengan memelihara prinsip tauhid dan juga syariat daripada sebarang bentuk penyelewengan yang dimurkai oleh Allah SWT.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 18 Oktober 2024, bertajuk “Mencegah Fahaman Melampau”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.