11 Oktober 2024, 14:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh), (dengan merasai) kelaparan, (dengan berlakunya) kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar.”

(Surah al-Baqarah 2:155)

Kesihatan mental merujuk keadaan emosi yang stabil dan sejahtera. Hal ini berkaitan dengan bahagian dalaman manusia yang merangkumi rohani, jiwa dan perasaan, serta psikologi dan fikiran. Mental yang sihat membawa kepada tubuh badan yang sihat yang dapat mempengaruhi corak kehidupan dan gaya berfikir yang membolehkan manusia membuat keputusan dengan baik, berfikir dengan waras, bergaul secara berhemah, melakukan pekerjaan dengan baik, seterusnya mengecap nikmat kebahagiaan.

Malaysia mencatat peningkatan dalam masalah kesihatan mental. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan mendapati sebanyak satu juta atau 4.6 peratus rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas berhadapan dengan masalah mental. Angka ini menunjukkan peningkatan dua kali ganda antara tahun 2019 hingga tahun 2023. Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan bahawa satu daripada enam orang kanak-kanak berusia antara lima hingga sembilan tahun mengalami masalah gangguan mental, iaitu peningkatan daripada 7.9 peratus pada tahun 2019 kepada 16.5 peratus pada tahun 2023.

Antara punca yang mendorong berlakunya gangguan mental termasuklah kesempitan dan bebanan hidup, tekanan dan bebanan di tempat kerja, terdedah kepada suasana dan persekitaran hidup yang tidak bersih atau tidak sihat, terpinggir daripada sokongan keluarga, pengambilan minuman keras, ketagihan judi dan dadah, serta kurang melibatkan diri dalam kegiatan kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Mereka yang mengalami masalah gangguan mental, berkemungkinan dalam kalangan orang yang hampir dengan kita seperti ahli keluarga, sahabat handai, rakan sekerja dan jiran tetangga. Hal ini lantas menuntut kita untuk lebih cakna serta berlaku ihsan membantu orang yang sedang dalam kesusahan.

Antara tanda orang yang mengalami masalah gangguan mental termasuklah:

Pertama: Perubahan tingkah laku, iaitu sebelum ini dikenali sebagai seorang yang aktif dan ceria, bertukar kepada sifat mendiamkan diri, kurang bergaul, gugup dan gementar, kurang keyakinan dan memencilkan diri daripada masyarakat; juga perubahan keinginan kepada makanan, sama ada tiada selera ataupun makan secara berlebihan.

Kedua: Kesihatan terjejas, iaitu mengalami sakit kepala yang berterusan, keletihan yang berpanjangan, gangguan pencernaan serta sukar untuk tidur atau tidur secara berlebihan.

Ketiga: Emosi yang tidak stabil, iaitu sentiasa berasa cemas, takut, murung dan sedih yang berpanjangan, berasa tertekan tanpa sebab yang jelas, terlalu cepat marah dan tidak mampu mengawal kemarahan.

Keempat: Penurunan prestasi kerja, iaitu daripada seorang yang cekap menyempurnakan tugasan beralih kepada kerap melakukan kesalahan, gagal memberikan tumpuan, tertangguh menyiapkan kerja dan kurang bersemangat ketika bekerja.

Kesihatan mental terletak di bawah maqasid syariah, iaitu kategori hifz al-‘aql (penjagaan akal) sebagai keperluan asas (daruriyyat) yang mesti dipelihara dan dijaga sebaiknya. Islam sangat memberikan perhatian kepada jiwa dan mental yang sihat. Hal ini merupakan antara sebesar-besar nikmat daripada Allah SWT selaras dengan sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Sesiapa antara kamu yang bangkit pada waktu pagi dalam keadaan sihat tubuh badan dan aman pada dirinya, serta memiliki makanan pada hari itu, maka seolah-olah dia diberi segala nikmat dunia.

(Hadis riwayat al-Tirmidzi)

Islam mengiktiraf bahawa kehidupan manusia akan melalui saat getir dan ujian yang boleh menggoncang keyakinan dan ketabahan diri. Ayat 155 Surah al-Baqarah yang khatib bacakan pada awal khutbah mengisyaratkan bahawa manusia ada ketika diuji jiwa dan perasaannya, sama ada mengalami kesedihan, kekecewaan dan sebagainya yang boleh mempengaruhi kesihatan mental.

Mental yang sihat bukan bermakna tidak menghadapi sebarang ujian mahupun masalah, tetapi merujuk kebijaksanaan dan keupayaan mengurus emosi serta mengawal perasaan. Rasulullah SAW sebagai seorang manusia, tidak terkecuali diuji jiwa dan perasaan, namun Baginda menunjukkan teladan terpuji cara mengisi rohani agar jiwa lebih kuat dan berupaya menghadapi ujian.

Kekuatan mental atau rohani perlu diisi dengan pengabdian diri kepada Allah yang Maha Gagah Perkasa. Rasulullah SAW menganjurkan umat Baginda membaca doa berikut:

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada kemurungan dan kesedihan, dan kami berlindung dengan-Mu daripada sifat lemah dan malas, dan kami berlindung dengan-Mu daripada rasa takut dan kedekut, dan kami berlindung dengan-Mu daripada belitan hutang dan gangguan (jahat) manusia.

Umat Islam juga dianjurkan membanyakkan zikir yang berikut:

 

Maksudnya: “Cukuplah bagi kami, Allah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.”

Sebagai rumusannya, disenaraikan kesimpulan yang berikut:

Pertama: Memastikan diri memiliki mental yang sihat melalui pengawalan dan pengurusan emosi yang betul agar umat Islam berupaya menjalani kehidupan seharian yang sejahtera. Lakukan kegiatan berfaedah seperti bersenam, tidur dan rehat secukupnya serta pengambilan makanan berkhasiat.

Kedua: Memperbanyak amalan yang boleh mendekatkan diri dengan Allah SWT seperti membaca al-Quran, berzikir, bermunajat, berpuasa, bersedekah dan berdoa memohon bantuan Yang Maha Esa. Dengan mengingati Allah SWT, hati akan dipenuhi ketenangan dan pasrah kepada segala ketentuan-Nya.

Ketiga: Membantu mereka yang sedang mengalami gangguan emosi mendapatkan khidmat pakar kaunseling, pakar psikiatri (kesihatan mental) di hospital atau setidak-tidaknya memberikan nasihat dan membantu menenangkan jiwa mereka.

Keempat: Majikan mewujudkan suasana kerja yang baik dan teratur bagi memastikan para pekerja kekal pada tahap mental yang sihat, bersifat produktif dan bertenaga menghasilkan kerja berkualiti.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 11 Oktober 2024, bertajuk “Pentingnya Menjaga Kesihatan Mental”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.