Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPada 7 Oktober 2023, iaitu setahun yang lalu, tanpa syak lagi telah menjadi suatu peristiwa bersejarah dan juga menjadi kisah besar yang masih lagi dan hangat berlaku hingga hari ini.
Setelah genap satu tahun Operasi Taufan al-Aqsa dan genosid di Gaza berlaku, dapat dirangkumkan kemalangan jiwa dan kehancuran seperti data yang berikut:
• Angka di Gaza
Sekurang-kurangnya sebanyak 41 118 orang, termasuk hampir 16 500 kanak-kanak telah terbunuh. Kemudian, dicatatkan sebanyak lebih daripada 95 125 orang tercedera dan lebih daripada 10 000 orang dilaporkan hilang.
• Angka di Tebing Barat
Kementerian Kesihatan Palestin di Tebing Barat melaporkan sekurang-kurangnya 703 orang, termasuk lebih daripadanya 159 kanak-kanak telah terbunuh. Sementara itu, lebih daripada 5700 orang menjadi mangsa yang tercedera.
• Angka di Lubnan
Sejak 8 Oktober 2023, pihak berkuasa di Lubnan melaporkan sebanyak 1600 orang telah terkorban dan sebanyak 8400 orang telah tercedera.
Berbaloikah Peristiwa 7 Oktober 2023?
Ternyata selepas peristiwa yang dikenali sebagai Operasi Taufan al-Aqsa di Gaza, rejim Zionis Israel telah melakukan kemusnahan dalam skala besar yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah moden dunia.
Persoalan seperti ini ialah lumrah bagi setiap manusia yang celik tentang apa-apa yang berlaku saban hari di Gaza. Hal ini dikatakan demikian kerana genosid yang pada mulanya berlaku di Gaza kini sedang merebak di Tebing Barat dan yang terkini, Lubnan pula menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis Israel.
Pada masa yang sama juga, sekutu Israel terutamanya Amerika Syarikat secara jelas dilihat membenarkan jenayah ini berterusan. Yang lebih malang, suara dunia Islam diihat tidak bersatu lantas gagal sama sekali untuk menghentikan kesengsaraan yang sedang dihadapi oleh saudara mereka dengan penuh azab. Maka itu, berbaloikah Operasi Taufan al-Aqsa?
Sorotan Perjuangan Kemerdekaan Palestin
Jika kita mengecilkan pandangan terhadap Operasi Taufan al-Aqsa hanya pada jumlah mangsa yang terkorban, sememangnya perasaan lelah dan putus asa akan segera menyelubungi diri. Akan tetapi, kita harus ingat bahawa perjuangan pembebasan Palestin telah digerakkan oleh rakyatnya dan umat Islam secara keseluruhannya sejak tahun 1917. Bermula dengan Musa Kazim al-Husaini yang menggerakkan Gerakan Antiimperialisme British, dan kemudian diteruskan pula oleh anaknya, Abd al-Qadir al-Husaini yang syahid ketika Perang al-Qastal di Baitulmuqaddis pada tahun 1948.
Walaupun syahidnya Abd al-Qadir al-Husaini yang diangkat sebagai Bapa Revolusi Palestin, jihad tidak pernah berhenti. Seterusnya, obor jihad telah dinyalakan oleh generasi Yaser Arafat, Khalil al-Wazir dan Salah Khalaf.
Generasi ini terkenal dengan kekuatan nasionalisme Arab dan berjaya mengaut simpati dan bantuan dari negara Arab di sekitar Palestin. Kebanyakan kelompok ini telah dimuliakan dengan kesyahidan bermula dengan Khalil al-Wazir pada tahun 1988 dan berakhir dengan Salah Khalaf yang syahid dibunuh dengan kejam di Tunisia pada tahun 1991.
Dengan kesyahidan Salah Khalaf, bermulalah perjuangan pembebasan Palestin yang dikepalai oleh Aliran Hijau atau Golongan Islamis yang diketuai oleh Syeikh Ahmad Yasin, seterusnya Ismail Haniyeh yang baru sahaja syahid pada 31 Julai 2023, dan kini diteruskan pula oleh Yahya Sinwar.
Maka itu, sejak 1917 hingga kini, walaupun para pimpinan dan ratusan ribu rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis Israel, perjuangan mereka tidak nengenal erti noktah.
Secebis Harapan
Apabila kita soroti perjalanan perjuangan rakyat Palestin bagi mengecap kemerdekaan watan dan juga Baitulmuqaddis, kita akan sedar bahawa pada awalnya, golongan mujahidin dan pejuang pembebasan sering digelar sebagai pengganas dan amat sukar untuk mendapat sokongan serta simpati daripada masyarakat antarabangsa.
Akan tetapi, sejak 20 tahun yang terkini, perjuangan pembebasan Palestin mendapat sokongan dunia yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Sejak dahulu, kemerdekaan Palestin dan Baitulmuqaddis hanya dianggap sebagai perjuangan keagamaan, bahkan hanya disokong oleh umat Islam. Dengan kuasa media sosial dan dunia tanpa sempadan, kemerdekaan Palestin dan Baitulmuqaddis kian menjadi satu bentuk perjuangan kemanusiaan dan kedamaian yang disokong oleh rakyat di Jepun hinggalah ke Brazil.
Keadilan untuk Palestin kini tidak hanya terhad disebut oleh para pemimpin dunia dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), bahkan perjuangan Palestin juga disebut melalui komedi berdiri di serata dunia, bahkan yang lebih mengharukan, Israel menjadi bahan jenaka di serata tempat.
Kemuncaknya adalah apabila UNGA yang berlangsung pada 27 September 2024, ketika Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ingin menyampaikan ucapannya, terlihat majoriti delegasi diplomat negara melakukan tindakan protes dengan cara keluar dari dewan persidangan UNGA.
Israel juga menjadi sebuah negara “pariah”, seperti yang disebut sendiri oleh seorang rabbi Yahudi di Belgium, iaitu Rabbi Moshe Friedman. Tambahan pula, beliau menggesa negaranya, Belgium untuk sertai langkah yang telah dilakukan oleh Afrika Selatan untuk mendakwa Israel atas jenayah genosid di Gaza.
Perjuangan sehingga Palestin Merdeka
Kita harus insaf bahkan perlu sentiasa mendukung perjuangan yang dilakukan oleh saudara se-Islam kita di Gaza, Tebing Barat dan terkini di Lubnan. Walaupun harga yang perlu dibayar terlalu mahal, kita harus sedar bahawa sebahagian besar daripada masyarakat antarabangsa kini telah berpihak kepada kita, bersama-sama berjuang mempertahankan hak Palestin.
Pada hari ini, genap setahun genosid di Palestin. Semoga mereka terus kuat menghadapi ujian di dunia sementara ini. Teruskan berjuang demi Palestin.