1 Oktober 2024, 17:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee dilantik sebagai Ketua Pengarah baharu jabatan itu berkuat kuasa hari ini.

Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, pelantikan beliau merupakan suatu usaha memperkasakan penyampaian perkhidmatan hal ehwal Islam seiring dengan agenda Reformasi Perkhidmatan Awam sebagai jabatan peneraju hal ehwal Islam di Malaysia.

“Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Syariah dan Undang-Undang) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ijazah Sarjana Sains Teknologi Maklumat, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Ijazah Doktor Falsafah (Sains Komputer), University of South Australia (UniSA),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pada awal perkhidmatan, beliau telah dilantik sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam pada 2 Januari 1992 sebagai Penolong Pengarah (Dakwah), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Tambahnya, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan JAKIM, Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM dan juga sebagai Setiausaha Pertama (Halal), Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra, Australia.

“Jawatan terakhir beliau sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah JAKIM adalah sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), JAKIM,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan juga telah bersetuju melantik YBhg. Datin Paduka Hajah Hakimah Mohd Yusoff sebagai Penyelaras Hal Ehwal Halal yang melibatkan koordinasi antara JAKIM, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Halal Developement Corporation (HDC) berkuat kuasa hari ini.

Tambahnya, pelantikan ini adalah bagi memangkinkan pengurusan hal ehwal halal Malaysia yang cekap dan berkesan serta diiktiraf di seluruh dunia.

Beliau berharap agar pelantikan ini dapat memacu JAKIM ke arah mengangkat kemuliaan agama Islam dan memartabatkan JAKIM sebagai agensi hal ehwal Islam pada peringkat Persekutuan yang kompetitif serta berdaya saing di persada global.

Kredit Foto: Facebook Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.