13 September 2024, 14:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh teladan yang terbaik (iaitu) bagi orang yang sentiasa mengharap (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat dan banyak menyebut serta mengingati Allah (dalam masa susah dan senang).”

(Surah al-Ahzab 33:21)

Sambutan Maulidur Rasul menjadi tradisi umat Islam di Malaysia. Maulidur Rasul disambut bukan untuk memperingati suatu tarikh kelahiran tetapi lebih utama untuk menginsafi diri, meneladani sifat mulia, pengajaran yang disampaikan serta amalan Rasulullah SAW dalam setiap aspek kehidupan yang terlindung daripada sebarang kesesatan sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Aku telah tinggalkan kepada kalian dua perkara, kalian tidak akan sesat selama-lamanya sekiranya berpegang kepada kedua-duanya, iaitu kitab Allah SWT (al-Quran) dan sunah Nabi SAW.”

(Hadis riwayat Malik)

Rasulullah SAW telah wafat pada 12 Rabiulawal tahun 11 Hijrah.  Selepas 1455 tahun kewafatan Baginda, umat Islam pada hari ini menghadapi beberapa cabaran besar yang perlu diberi perhatian. Antara cabaran tersebut termasuklah:

  • Pertama: Perpecahan umat berlaku akibat perbezaan pandangan dan kepentingan serta perebutan kuasa keduniaan sehingga masyarakat berpecah kepada pelbagai puak dan kabilah. Perpaduan dan kesatuan umat yang menjadi asas kepada keutuhan dan kekuatan sesebuah masyarakat semakin dikorbankan. Akibatnya, umat menjadi lemah dan semakin keliru, lalu kehilangan arah, tumpuan dan matlamat.
  • Kedua: Kemiskinan, iaitu keadaan apabila seseorang tidak mempunyai harta benda dan pendapatan yang mencukupi untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, perubatan dan pendidikan menyebabkan berada dalam kehidupan yang mundur, terpinggir dan tertinggal di belakang serta terhindar daripada mendapat peluang untuk menambah baik taraf kehidupan. Majoriti umat Islam di serata dunia ketika ini berada dalam kemiskinan walaupun mereka menetap di sebuah negara yang buminya memiliki hasil mahsul yang kaya.
  • Ketiga: Kelemahan pencapaian pendidikan dan ketinggalan dalam penguasaan teknologi. Pencapaian pendidikan dan penguasaan teknologi merupakan kunci pembuka jendela kejayaan. Antara sebab kelemahan tersebut termasuklah kurangnya kemudahan dan prasarana pendidikan yang dapat dimanfaatkan oleh anggota masyarakat yang miskin, apatah lagi wanita di negara tertentu dipinggirkan dan tidak diberi peluang pendidikan yang sama dengan lelaki.
  • Keempat: Perbuatan pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan tadbir urus yang lemah. Semakin banyak dilaporkan pemimpin yang diamanahkan tanggungjawab mengurus tadbir negara yang bersifat pecah amanah, menyalah guna kuasa, melakukan rasuah, mencuri khazanah dan kekayaan negara untuk memperkaya diri, ahli keluarga dan kroni. Akibatnya, tadbir urus negara semakin lemah, sumber negara menjadi tiris dan kekayaan negara semakin terhakis. Hal ini menyebabkan rakyat menderita kerana terpaksa memikul beban membayar hutang negara, sedangkan pemimpin yang mengamalkan rasuah, pecah amanah dan menyalahgunakan kuasa diberi perlindungan dan terus disanjung.
Tingkatkan diri dengan pengetahuan demi kesejahteraan kehidupan.

Oleh hal yang demikian, umat Islam diingatkan dengan beberapa pesanan seperti yang berikut:

Pertama: Perpaduan dan kesatuan merupakan asas kekuatan umat Islam seperti yang ditegaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud, “Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, gama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku.”

(Surah al-Anbiya’ 21:92)

Justeru, umat wajib bertekad membenamkan perbezaan dan menguburkan pertelingkahan, di samping berazam untuk membina jambatan persahabatan dan mempererat tali persaudaraan, membangunkan umat dalam semangat bersaudara.

Kedua: Usaha membantu rakyat miskin dan membasmi kemiskinan ialah tuntutan dan tanggungjawab yang wajib dipenuhi. Sebagai Muslim, menjadi tanggungjawab kita mengambil peduli tentang penderitaan umat dan berusaha untuk membanteras kemiskinan, mengambil pengajaran daripada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barang siapa yang tidak mengambil berat tentang urusan orang Muslim, maka dia tidak termasuk dalam golongan kami.” (Hadis Riwayat al-Tabarani).

Ketiga: Ilmu pengetahuan ialah anak kunci untuk membuka jendela dunia.  Membaca merupakan perintah pertama yang diterima oleh Rasulullah SAW daripada Allah SWT. Membaca membolehkan manusia mengenali dan kemudiannya menguasai ilmu pengetahuan. Membaca memungkinkan manusia menemukan perkara baharu, mengangkat martabat manusia menjadi insan berilmu dan tinggi darjatnya selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud,

Allah meninggikan darjat orang yang beriman antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.

(Surah al-Mujadalah 58:11)

Oleh itu, menjadi tanggungjawab pemimpin dan kerajaan menyediakan kemudahan pendidikan berkualiti untuk rakyat yang menepati keperluan dunia semasa.

Keempat: Memilih pemimpin yang memiliki sifat Rasulullah SAW, iaitu siddiq bermaksud benar dan jujur, dipelihara oleh Allah SWT tidak melakukan sebarang penipuan; tabligh bermaksud menyampaikan dengan memberikan peringatan, bimbingan, mempersiapkan manusia untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat; amanah bermaksud boleh dipercayai, melakukan setiap tugas dengan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT dan sama sekali tidak menggunakan kuasa untuk kepentingan peribadi; serta fatanah bermaksud cerdas, iaitu memiliki pemikiran yang rasional dan daya intelek yang tinggi untuk menangani masalah dan perkara yang dirujuk kepada Rasulullah SAW.


(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 13 September 2024, bertajuk “Contohi Rasulullah SAW – Sejahtera Kehidupan”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.