10 September 2024, 17:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Ahli jawatankuasa masjid mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memastikan fungsi masjid sebagai pusat kesatuan dan perpaduan umat Islam serta pengajian ilmu dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Demikian menurut Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, YB Dr. Mohammad Fahmi Ngah ketika merasmikan Konvensyen Pengukuhan Ahli Jawatankuasa Biro Dakwah Masjid Negeri Selangor 2024 anjuran Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam, tengah hari tadi.

“Konvensyen yang merupakan satu daripada program Sasaran Kerja Utama (SKU) di bawah inisiatif agama Islam pada tahun 2024 ini dianjurkan untuk memperkasakan ahli jawatankuasa masjid yang berperanan sebagai benteng utama dalam usaha memerangi gerakan ekstremisme dan ajaran sesat di negeri Selangor.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyemai perpecahan dan politik kepartian sehingga sanggup mengkafirkan saudara seislam, serta menyebarkan fitnah dan propaganda politik kepartian di masjid,” katanya.

Beliau mengharapkan biro dakwah di masjid terutamanya di negeri Selangor memainkan peranan terhadap masyarakat Islam untuk menjadikan masjid sebagai pusat ibadat, pusat pendidikan agama, dakwah, kebajikan dan perpaduan ummah.

Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Profesor Madya Dr. Haji Anhar Haji Opir ketika membentangkan kertas kerja pada Konvensyen Pengukuhan Ahli Jawatankuasa Biro Dakwah Masjid Negeri Selangor 2024.

Menurut penganjur, selain bertujuan untuk menerapkan nilai kefahaman kepada masyarakat tentang isu ekstremis dalam agama, konvensyen ini juga diharapkan dapat mewujudkan kefahaman dan toleransi terhadap agama dalam kalangan masyarakat majmuk serta membentuk masyarakat madani.

Hal ini selaras dengan dasar Kerajaan Negeri Selangor yang menolak ekstremisme agama serta menjadikan masjid sebagai pusat perpaduan umat Islam dan neutral kepada semua pihak.

Terdahulu, Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Profesor Madya Dr. Haji Anhar Haji Opir membentangkan kertas kerja beliau yang bertajuk “Pengurusan Khilaf dalam Hukum-hakam”.

PU Faiz turut serta sebagai pembentang dalam sidang pleno mewakili golongan agamawan.

Turut serta dalam program berkenaan ialah Pengarah JAIS, Sahibus Saadah Dato’ Haji Mohd Shahzihan Ahmad; Timbalan Pengarah (Operasi) JAIS, Puan Salwana Ahmad Dahlan; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Puan Sabariah Salleh; para pegawai tadbir Islam daerah dan Ahli Jawatankuasa Biro Dakwah Masjid-masjid Negeri Selangor.

Kredit Foto: Facebook JAIS
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.