Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangFirman Allah SWT,
Maksudnya: “Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa kamu wahai Muhammad berjaya menguasai Makkah). Dan kamu melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia sangat menerima taubat.”
(Surah al-Nasr 110:1-3)
31 Ogos ialah tarikh bersejarah bagi negara kita, iaitu tarikh pengisytiharan Persekutuan Tanah Melayu sebagai sebuah negara merdeka. Kemerdekaan bukanlah sekadar gegak gempita melaungkan pengisytiharan yang bergema di Stadium Merdeka pada pagi 31 Ogos 1957, tetapi merupakan kisah yang amat panjang, kenangan yang mengimbau pada bukit bukau belantara hijau yang pernah menaungi dan melindungi pahlawan yang bertahan dan mengatur serangan merebut hak menebus maruah. Kemerdekaan mengingatkan kita darah dan air mata di sepanjang jalan, perjuangan dan pengorbanan wira bangsa yang memiliki keberanian menentang penjajah. Dol Said, Maharaja Lela, Pandak Endut, Dato Sagor, Ngah Jabur, Dato’ Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Tok Janggut, Tunku Kudin dan ratusan wira tidak bernama bermandi darah bergadai nyawa untuk membayar harga termahal, iaitu harga kemerdekaan negara. Kemerdekaan ialah milik termahal, berdosalah sesiapa yang mensia-siakannya.
Surah al-Nasr ayat 1 hingga ayat 3 menggambarkan kemenangan dakwah Islam dan pertolongan Allah ketika Rasulullah SAW berjaya menguasai semula kota Makkah, serta seruan untuk bersyukur dan memohon ampun setelah mencapai kemenangan tersebut. Dalam suasana meraikan ulang tahun kemerdekaan negara, surah ini amat wajar dijadikan panduan untuk kita mengisi nikmat kemerdekaan kurniaan Ilahi.
Merdeka bermaksud keadaan yang bebas daripada penjajahan, belenggu atau pengaruh pihak tertentu. Kemerdekaan secara zahir daripada penjajahan merupakan antara nikmat yang besar daripada Allah SWT. Pada setiap tahun, kita menyambut ulang tahun hari kemerdekaan sebagai tanda syukur dan memperingati jasa para pejuang yang telah berkorban demi tanah air. Namun begitu, adakah cukup sekadar kita merdeka secara zahir daripada penjajahan? Apakah erti sebenar kemerdekaan yang kita sambut pada setiap tahun? Adakah sekadar perbarisan raksasa dan kibaran jalur gemilang pada tiang tertinggi di dunia.
Kemerdekaan menuntut pengorbanan dan perjuangan untuk mencapainya. Sebagaimana umat Islam dituntut menjaga kemerdekaan negara daripada cengkaman penjajah, umat Islam juga dituntut supaya membangunkan jiwa yang merdeka dengan nilai Islam sejagat. Kemerdekaan yang hakiki ialah kejayaan memerdekakan jiwa dan pemikiran. Jiwa yang merdeka bermaksud jiwa yang bebas daripada belenggu syirik dan kesesatan. Tonggak jiwa merdeka ialah akidah yang tulus dan bebas daripada menghambakan diri kepada sesama makhluk, malah akan menyerahkan sepenuh perhambaan diri kepada Pencipta alam semesta, Allah SWT pemilik Arasy. Itulah inti pati tauhid yang menjadi misi utama perutusan para rasul kepada umat mereka. Hayati ucapan Rib‘i bin Amir, seorang sahabat Rasulullah SAW ketika berhadapan dengan Rustum, panglima tentera Parsi semasa Perang Qadisiyah. Beliau berkata, “Kami diutus oleh Allah untuk membebaskan manusia daripada penyembahan sesama manusia kepada penyembahan kepada Allah yang Maha Esa, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam, dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.”
Jiwa merdeka berupaya membebaskan diri daripada fahaman yang bercanggah dengan Islam seperti hedonisme, materialisme dan sekularisme. Hedonisme ialah pandangan yang mengutamakan nikmat dan kebahagiaan dunia sebagai tujuan utama hidup. Fahaman kebendaan atau materialisme pula menekankan peri pentingnya harta benda dan kekayaan kebendaan sebagai sumber utama kebahagiaan hidup.
Sekularisme pula ialah fahaman yang memisahkan agama dengan urusan duniawi, khususnya dalam urusan pemerintahan dan pentadbiran negara. Umat Islam wajib membebaskan diri daripada dipengaruhi oleh fahaman tersebut kerana bercanggah dengan ajaran Islam yang menekankan kesederhanaan, keseimbangan hidup dunia dan akhirat, serta agama dijadikan panduan utama dalam segenap bidang kehidupan. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “… Pada hari ini, telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku untuk kamu, dan Aku meredai Islam itu sebagai agamamu …”
(Surah al-Ma’idah 5:3)
Jiwa merdeka juga bererti jiwa yang bebas daripada belenggu nafsu dan pengaruh syaitan. Nafsu dan syaitan sentiasa berusaha menyesatkan kita daripada jalan yang benar, membisikkan kejahatan dan menghasut kita supaya melakukan maksiat. Oleh itu, kita perlu sentiasa bermujahadah mengawal hawa nafsu dan menghindari diri daripada dipengaruhi oleh bisikan syaitan, dan senantiasa taat kepada Allah SWT selaras dengan sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Mujahid (pejuang) yang sebenar ialah orang yang bersungguh-sungguh mengawal nafsunya pada perkara yang mentaati Allah.”
(Hadis riwayat Ahmad)
Jiwa yang merdeka akan membentuk jati diri yang teguh dengan nilai murni bersendikan syarak bertiangkan adat. Umat Islam perlu mengamalkan nilai murni dalam kehidupan seharian melalui asuhan dan didikan berteraskan Islam di samping mengambil manfaat nilai murni yang bersifat sejagat asalkan tidak bercanggah dengan syarak.
Oleh hal yang demikian, umat Islam diberikan pesanan yang berikut:
Pertama: Menzahirkan tanda syukur akan nikmat kemerdekaan melalui amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT, serta berusaha membina masyarakat Malaysia yang berpegang teguh kepada nilai Islam yang murni.
Kedua: Memperkasakan jiwa yang merdeka dengan membebaskan diri daripada fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam, serta mengisi kemerdekaan dengan program yang dapat mengukuhkan jati diri dan membina akhlak murni.
Ketiga: Memastikan Malaysia terpelihara sebagai sebuah negara merdeka yang berdaulat lagi makmur, dan rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum serta menganut pelbagai agama dapat hidup dalam suasana aman, harmoni, rukun dan damai.
(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 30 Ogos 2024, bertajuk “Membina Jiwa Merdeka”)