Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangRasa cinta akan negara lahir apabila ada kesedaran bahawa tanah air merupakan tempat tumpah darah, tempat dilahirkan dan dibesarkan, serta tempat mencari rezeki dan hidup dengan aman dan tenteram. Berbanding dengan negara lain, Malaysia merupakan negara yang aman dan makmur. Rakyatnya dapat hidup dalam keadaan harmoni dengan pelbagai agama, bangsa dan budaya sejak sebelum merdeka lagi. Mengekalkan kemerdekaan dan mengisi kemerdekaan merupakan cabaran besar kepada generasi muda.
Mencintai negara merupakan manifestasi cinta yang teragung selain cinta kepada Allah dan rasul, agama, diri sendiri dan ibu bapa. Rasa kecintaan ini wujud dan dapat disemai melalui didikan di rumah dan juga diperteguh di sekolah oleh ibu bapa dan guru. Islam menggalakkan umatnya mencintai negara. Semangat cinta akan negara mesti dididik sejak seseorang itu di bangku sekolah lagi dan dibiarkan berkembang subur dalam jiwa secara berterusan hingga dewasa.
Oleh itu, semangat cinta negara seharusnya disemai dalam hati dan jiwa rakyat Malaysia sejak kecil lagi melalui amalan seperti mengibarkan Jalur Gemilang bersempena dengan bulan kemerdekaan dan bersatu padu dalam usaha meningkatkan imej negara di mata dunia. Mencintai negara akan menjadikan setiap rakyat bertanggungjawab untuk memajukan negara dalam pelbagai bidang meliputi bidang sosial, ekonomi, politik, agama dan juga pendidikan. Ketika menghadapi apa-apa juga cabaran, dugaan dan cubaan, rakyat mestilah bersatu hati dan jiwa dalam kehidupan bernegara. Pembangunan dan perpaduan bangsa mestilah melalui pemahaman tentang Rukun Negara, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) serta Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang asasnya berteraskan agama.
Islam menjadi asas tamadun bangsa, iaitu melalui sumber al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qiyas yang dapat menyatukan masyarakat di negara ini dengan mengekalkan semangat jiwa merdeka. Membina kekuatan jiwa dengan pengorbanan kepada negara dengan kekuatan pegangan Islam, iman dan ihsan. Berkaitan dengan hal ini, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Umat terdahulu selamat (berjaya) kerana teguhnya keyakinan dan zuhud, manakala umat terakhir akan binasa kerana kebakhilan (harta dan jiwa) dan cita-cita yang kosong.” (Hadis riwayat Abi al-Dunya).
Konsep masyarakat maju dalam Islam adalah menjaga hak untuk hidup bersama, hak untuk bebas berlandaskan Islam, menjaga maruah dan hak peribadi, hak berfikir, beragama dan mengeluarkan pendapat, hak sama rata, serta menjaga keadilan dan kehakiman. Melaluinya akan wujud semangat persefahaman, keinginan dan keupayaan untuk mencapai perubahan, dan yang lebih mustahak ialah membina maruah dan harga diri.
Bagi membangunkan jati diri bangsa yang telah lama tertekan dan berada dalam kongkongan penjajahan, kemerdekaan merupakan pembebasan yang dapat menonjolkan kedaulatan bangsa dalam pelbagai bidang bagi kemakmuran dan kesejahteraan negara. Apa-apa yang kita nikmati sekarang adalah berkat kesabaran dan kita harus bersyukur dengan nikmat negara yang merdeka, aman makmur dan sejahtera. Jika tidak ada semangat tersebut, maka akan hilanglah rasa cinta akan negara dan semangat patriotisme akan luntur. Melalui semangat patriotisme, akan wujud agenda penting, iaitu agenda pembinaan bangsa. Kemajuan serta pencapaian Malaysia dalam konteks pembinaan negara bangsa telah wujud sejak 67 tahun lalu dengan semangat perpaduan dan kerjasama antara kaum.
Mempertahankan negara daripada musuh dan ancaman luar merupakan tanggungjawab setiap rakyat. Kesetiaan kepada raja dan negara yang ditunjukkan oleh setiap warganegara melalui sumbangan dan pengorbanan merupakan unsur cinta akan negara yang amat penting. Mempertahankan keselamatan harta, keluarga dan jiwa sangat dituntut dalam Islam.
Sejak sebelum merdeka, ribuan para pejuang kemerdekaan telah gugur di medan pertempuran demi mempertahankan tanah air dan negara tercinta ini. Mereka ialah para syuhada yang mempertahankan negara dengan nyawa hingga titisan darah terakhir. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Orang yang tewas melindungi keselamatan hartanya, mati syahid dan yang membela (kehormatan) keluarganya, mati syahid dan membela dirinya (kehormatan dan jiwanya), juga mati syahid.” (Hadis riwayat Ahmad).
Membina generasi yang cinta akan tanah air terutamanya golongan muda ke arah ketakwaan dan cinta akan negara menjadi tanggungjawab ibu bapa, guru dan juga pemimpin masyarakat. Pemupukan rasa cinta ini biarlah berlaku secara berterusan dan tidak hanya pada tarikh tertentu sahaja. Tema hari kebangsaan pada tahun ini, iaitu “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka” seharusnya difahami oleh generasi muda secara mendalam. Menjadi tanggungjawab mereka untuk mempertahankan kemerdekaan negara ini buat selama-lamanya.
Rasa cinta akan negara ini perlu disemai dalam kalangan generasi muda, khususnya dalam konteks masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia. Islam menggalakkan hidup bersatu, bekerjasama dan sentiasa mempertahankan kedaulatan negara. Nilai cinta akan negara seperti kesetiaan, keberanian, rela berkorban, kesukarelaan, cinta akan bangsa dan negara perlu dipertingkatkan bagi membentuk rakyat Malaysia yang bersemangat patriotik dan bertanggungjawab pada bangsa dan negara.
Setiap rakyat dan ahli masyarakat, khususnya generasi muda harus berfikir dan merenung akan kemakmuran dan kedamaian Malaysia. Perpaduan rakyat yang wujud dalam negara ini seharusnya dikekalkan dalam semangat jiwa merdeka buat selama-lamanya. Semangat jiwa merdeka bermaksud sentiasa berfikiran terbuka, berpandangan jauh, berfikir dengan bijaksana, dan tidak dikongkong dengan kejumudan dan kebodohan. Sentiasa mengambil peluang yang ada bagi mengejar kemajuan dan mengisi erti kemerdekaan. Setiap rakyat yang cinta akan negaranya mestilah bekerjasama dan bersatu padu menghadapi apa-apa jua cabaran, dugaan dan musibah yang mendatang. Semua ini mestilah berlandaskan rasa persefahaman, perpaduan, semangat kekitaan dan rasa cinta terhadap negara Malaysia.
Agama Islam terus dikembangkan sebagai agama rasmi dan agama lain tidak dilarang dalam kehidupan beragama serta penganutnya dihormati. Hal ini akan menjadikan rakyat hidup dengan aman dan sejahtera. Antara cara yang perlu rakyat lakukan sebagai menghargai amalan demokrasi di Malaysia termasuklah tidak menghina agama dan budaya kaum lain sama ada melalui perkataan mahupun melalui tindakan.
Usaha ini merupakan satu langkah bagi menonjolkan imej Malaysia MADANI pada mata dunia sebagai bangsa dan negara yang berwibawa di arena antarabangsa. Hal ini dapat dibuktikan melalui perpaduan rakyat dan kestabilan politik dan ekonomi. Kejayaan ini akan mempercepat Malaysia menjadi negara maju, iaitu negara Malaysia yang merdeka di bawah kerajaan MADANI, serta maju bertamadun dan berpendapatan tinggi selari dengan semangat jiwa merdeka.