Oleh Avatar photo Syaza Wardina
23 Ogos 2024, 16:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) merupakan badan yang memainkan peranan penting dalam pengurusan hal ehwal agama Islam di Malaysia. MKI ditubuhkan pada tahun 1968 dengan tujuan untuk menyelaraskan urusan agama Islam di seluruh negeri di Malaysia.

Bersempena dengan Mesyuarat MKI Ke-72 pada hari Jumaat, 18 Safar 1446 bersamaan dengan 23 Ogos 2024, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Pengerusi MKI, berkenan menyampaikan titah kepada ahli mesyuarat yang hadir di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. Yang berikut diperturunkan titah baginda.

بِسْمِ ٱللَّٰهِ ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

  1. Alhamdulillah, beta bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah rahmat-Nya jua, Mesyuarat MKI Ke-72 dapat diadakan pada hari Jumaat, hari yang memiliki kelebihan penghulu segala hari, dan buat julung-julung kalinya beta diamanahkan untuk mempengerusikannya.
  2. Dizahirkan ucapan junjungan kasih kepada Majlis Raja-Raja atas kepercayaan mengamanahkan beta tanggungjawab sebagai Pengerusi MKI. Mesyuarat MKI kali ke-72 merakamkan sembah junjungan kasih penghargaan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Darul Ehsan, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, yang telah menyempurnakan amanah sebagai Pengerusi MKI, bermula pada 10 Mac 2022, dan berakhir pada 9 Mac 2024.  Semoga segala masa yang diberikan serta usaha, tenaga dan pemikiran baginda sewaktu menyempurnakan amanah memimpin MKI, diterima sebagai amal makruf; dilimpahi Ilahi ganjaran dunia – ganjaran akhirat.
  3. Sejarah MKI bermula berikutan perkenan Majlis Raja-Raja dalam persidangan ke-81, pada 17 Oktober 1968, akan penubuhan sebuah badan penyelarasan, urusan hal ehwal agama Islam di seluruh Malaysia, bertujuan untuk mengelakkan berlakunya perbezaan atau setidak-tidaknya dapat mengurangkan perbezaan dan perselisihan dalam urusan hal ehwal agama Islam antara negeri di Malaysia.
  4. Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Barat ditubuhkan pada 1 Julai 1969; dijenamakan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 17 Jun 1971, susulan penyertaan Sabah dan Sarawak, dan MKI telah mencapai usia 55 tahun. Dalam tempoh tersebut para ulama dan umara telah menyusur denai – merintis jalan, secara tekun – secara gigih, mencantumkan fikiran – menggabungkan tenaga melakukan pelbagai usaha sehingga MKI kini berakar kukuh – merendang dahan – merimbun subur. Sewajarnya, jasa bakti para ulama dan umara, dan setiap tenaga yang berada di sebalik kejayaan MKI, dikenangi dan dihargai. Ramai antara mereka merupakan wira tidak bernama – wira yang tidak didendangkan.  Ramai pula yang telah kembali ke rahmatullah. Semoga segala jasa murni dan khidmat bakti mereka, diterima oleh Allah SWT sebagai amal makruf, dikurniakan ganjaran dunia – ganjaran akhirat. Pada hari Jumaat yang berkat ini, sama-sama kita kenangi – sama-sama kita hargai, jasa dan khidmat mereka, dengan membacakan Surah al-Fatihah; memohon agar amal kita daripada bacaan tersebut diterima Ilahi, dan apa-apa jua ganjaran daripadanya, disampaikan kepada roh mereka yang telah berada di alam barzakh.
  5. MKI ialah badan syura untuk mengusahakan penyatuan yang lebih kukuh dalam urusan hal ehwal agama Islam; menegakkan konsep ulung “kesatuan dalam kepelbagaian” (unity in diversity), seiring dengan kalam hikmah yang tertera pada jata negara, “Bersekutu Bertambah Mutu”. Syura bermaksud, perbincangan dalam kalangan ahli untuk mengambil pendapat bagi mencapai keputusan yang tepat.  Syura merupakan pendekatan pemerintahan yang dianjurkan oleh Islam kerana syura membolehkan pemerintah mencari penyelesaian dan mencapai keputusan yang melibatkan rakyat dalam semangat muafakat dan perundingan. Rasulullah SAW memperkenalkan dan mengamalkan konsep syura sewaktu melaksanakan pemerintahan dan dalam usaha membangunkan ummah dan membina tamadun.
  6. Syura membolehkan berlakunya percambahan minda dan pertukaran pendapat, berlangsung dalam suasana tertib, sopan, profesional dan berdisiplin. Syura memberikan kelebihan dan kebaikan kepada masyarakat dan kepada pihak yang bertikai pendapat untuk mencari persefahaman dan rumusan secara rasional dalam semangat saling mendengar dan saling menghormati pendapat yang berlainan.  Melalui syura, ahli berpeluang menghalusi isu, meningkatkan persefahaman, melontarkan idea, merungkaikan permasalahan dan merumuskan penyelesaian.
  7. Sewajarnya ahli MKI menghayati dan mempelopori semangat syura, berusaha sebaik-baik mungkin menghargai elemen persamaan dan menjauhi sikap yang membesar-besarkan elemen perbezaan. Perlu diusahakan jambatan penghubung untuk mempertemukan pendirian dan tafsiran yang berbeza agar dapat dielakkan berlakunya pertelingkahan, apatah lagi pertelingkahan secara terbuka yang bersifat konfrontasi sehingga boleh menjadi punca keretakan hubungan dan pada akhirnya mengakibatkan ummah berpecah.
  8. Peruntukan khusus mengenai Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, telah meletakkan agama Islam dilindungi secara perundangan dan berada di tempat istimewa di negara ini. Peruntukan tersebut memberikan identiti kepada negara dan membolehkan agama Islam berperanan dalam menentukan arah haluan, begitu juga tataurus negara. Peruntukan yang memaktubkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah negeri sebagai Ketua Agama Islam, memberi jaminan dan menjamin perlindungan, agama Islam dan statusnya dalam negara tidak akan terjejas walau apa-apa juga perubahan yang berlaku dalam kepimpinan politik susulan sesuatu keputusan pilihan raya.
  9. Namun begitu, kemuliaan Islam tidak bergantung semata-mata kepada klausa-klausa yang termaktub dalam perlembagaan negara. Islam tidak wujud dalam vakum, Islam bukan sekadar percakapan dan retorik, slogan yang dilaungkan atau sepanduk yang dipaparkan. Islam bukan bahan untuk didagangkan secara berjanji – secara memberi harapan, dijajakan atau dijadikan alat menghalalkan cara bagi mencapai tujuan duniawi. Islam wajib dibuktikan melalui kehidupan yang nyata, melalui dukungan para penganutnya. Islam tidak akan dapat membuktikan relevansinya sehingga masyarakat Islam berjaya menjelmakannya dalam budaya hidup harian. Islam itu perlu dirasai dan diperlihatkan melalui pengisian, perbuatan, pencapaian dan kejayaan penganutnya.  Keagungan Islam perlu dicerminkan melalui sifat dan watak insaniah ummah, bukan pada apa-apa yang diuar-uarkan, atau apa-apa yang dimegahkan melalui kisah kehebatan tokoh-tokoh Islam zaman silam yang sudah menjadi sejarah.
  10. Tidak sesiapa dapat diyakinkan melalui apa-apa yang diuar-uarkan, jika yang diuar-uarkan sangat bercanggah dengan sifat dan watak yang menjadi bukti hidup yang sedang disaksikan oleh dunia pada hari ini; mengingatkan beta kepada kisah seorang pelancong berketurunan Scotish di Kota London yang mengunjungi pameran “Introduction to Islam”. Seorang da’ee berkongsi dalam media sosial pengalaman interaksi beliau dengan pelancong tersebut. Apabila dai bertanyakan, sama ada beliau boleh membantu memperkenalkan Islam, pelancong tersebut menjawab, tidak perlu, kerana beliau tidak berminat dengan teori. Beliau memaklumkan, pernah bertugas di beberapa buah negara Islam, untuk tempoh yang panjang; beliau membaca banyak bahan tentang Islam. Beliau menyatakan Islam ialah agama yang indah lagi menarik, agama yang menganjurkan hubungan dengan pelbagai pihak, merangkumi umat Islam dan bukan Islam. Islam mengajar kaedah beribadat dengan Tuhan secara jelas, kaedah melayan ibu bapa, isteri, anak-anak, jiran tetangga, dan masyarakat secara keseluruhannya. Malangnya, kata beliau, tingkah laku yang dipamerkan oleh ramai umat Islam adalah di sebalik apa-apa yang dituntut. Beliau menyenaraikan sepuluh perkara yang pada pemerhatiannya yang telah mencemarkan kesucian Islam, dilakukan oleh ramai pihak yang mendakwa beragama Islam.
  • Pertama: Menipu, bersumpah palsu dan mencuri;
  • Kedua: Tidak menghormati masa;
  • Ketiga: Memfitnah dan memperkecilkan sesama sendiri;
  • Keempat: Bersifat perkauman;
  • Kelima: Mengumpulkan kekayaan dengan cara yang salah;
  • Keenam: Tidak menghiraukan kebersihan;
  • Ketujuh: Memuliakan yang kaya – menghina yang miskin;
  • Kelapan: Menggunakan undang-undang secara selektif;
  • Kesembilan: Memanipulasi agama untuk kepentingan diri;
  • Kesepuluh: Kurang mendalami, kurang memahami dan kurang menghayati Islam, walaupun lahir dalam agama Islam, lalu menjadi pengikut yang buta.
  1. Pelancong tersebut turut menyatakan bahawa banyak wang, tenaga dan masa digunakan oleh pelbagai organisasi untuk menganjurkan pameran kehebatan Islam, tetapi ulas beliau, pameran-pameran tersebut gagal membawa hasil yang diharapkan, selagi umat Islam tidak memahami kandungan dan tujuan sebenar al-Quran. Beliau menasihatkan agar umat Islam kembali kepada al-Quran yang sangat indah dan mengagumkan dan umat Islam wajib melaksanakan prinsip dan adab yang terkandung dalam al-Quran; dan apabila berjaya dilaksanakan, percayalah, ramai pihak akan meminati dan mengikut Islam tanpa perlu menganjurkan sebarang pameran.
  2. Pandangan yang disuarakan oleh seorang pelancong bukan Islam terhadap umat Islam ini, beta pilih sebagai kandungan titah untuk diambil iktibar, dijadikan maklum balas berharga, dijadikan peringatan, diterima secara positif – secara konstruktif untuk menambah baik usaha-usaha meningkatkan syiar Islam dan membangunkan ummah. Nyatalah, terdapat jurang besar yang dihadapi oleh masyarakat Islam ketika ini, antara bilangan penganut yang besar dari segi angka, berbanding dengan penganut yang benar-benar memahami, menghayati dan mengamalkan Islam. Realiti yang berlaku pada hari ini, memberikan gambaran bahawa masih ramai ummah yang belum menghayati roh Islam dalam erti kata sebenarnya. Oleh itu, menjadi tugas besar kita yang diamanahkan oleh Allah SWT sebagai khalifah untuk bersifat berani memamah realiti dan tidak bersifat defensif yang akan menyebabkan umat Islam terus berada dalam budaya penafian; sebaliknya kita hendaklah memberikan fokus kepada kandungan daripada rangka, mementingkan outcome (keberhasilan) daripada output, mengutamakan kualiti berbanding dengan kuantiti.
  3. Kisah yang dipetik ini sewajibnya dijadikan pedoman, dijadikan kompas ketika merangka program agar dapat mengubati apa-apa jua wabak yang ada dalam anatomi institusi Islam. Institusi yang diamanahkan untuk menguruskan hal ehwal Islam wajib memahami secara mendalam keperluan sebenar agar program yang diperkenalkan dapat memenuhi keperluan ummah dan tidak sekadar berbentuk luaran, ritual dan kosmetik.  Umat Islam hendaklah berani belajar daripada kesilapan masa lalu, yang terlalu cenderung memilih jalan pintas untuk menyelesaikan masalah, kerana mahu mendapat kemenangan segera. Terlalu kerap, penyelesaian diformulasikan untuk mendapatkan kemenangan segera, berkesudahan dengan kaedah penyelesaian yang tidak kukuh asasnya, dan amat sementara sifatnya.
  4. Sewajarnya kita mengambil iktibar, akan maksud ayat 82, Surah Yasin, “Sesungguhnya keadaan kekuasaan Allah apabila Dia menghendaki sesuatu Dia hanya berfirman kepadanya, ‘Jadilah!’ maka, jadilah sesuatu itu.” Meski kekuasaan sedemikian, Allah SWT memilih masa 22 tahun 22 bulan 22 hari, menurunkan melalui Jibril a.s. sebanyak 6236 ayat al-Quran, untuk disampaikan kepada Rasulullah SAW. Tidak ada kegopohan pada pihak Allah SWT, menurunkan wahyu demi wahyu agar manusia dapat benar-benar memahami dan menghayatinya. Oleh itu, beta akan mengambil pendirian tidak akan bersifat terburu-buru, sebaliknya akan mengamalkan pendekatan yang lebih teliti, menghalusi perkara dan kandungan kertas yang mahu dibincangkan dalam majlis syura ini. Jika keadaan memerlukan, ahli-ahli MKI hendaklah bersedia mengadakan mesyuarat yang lebih kerap. Urus setia MKI hendaklah mengadakan libat urus yang meluas dengan setiap pemegang taruh sebelum sesuatu dasar diperkenalkan dan hendaklah dilengkapi dengan pelan komunikasi yang berkesan lagi komprehensif demi mengelakkan daripada berlakunya keadaan rumah siap pahat berbunyi.
  5. Kegemilangan Islam pada suatu masa dahulu meninggalkan legasi dan idealisme tinggi. Kemajuan sesuatu bangsa tidak boleh bergantung pada legasi dan idealisme semata-mata. Naratif masa hadapan untuk merubah kualiti masyarakat Islam ke arah yang lebih progresif hendaklah dirintis dengan menyuburkan semangat dan naratif realis dan futuris. Survival (Kemandirian) umat Islam perlu dibina melalui pembinaan kekuatan minda dan menyuntik keyakinan untuk bersaing dan berlumba, bukan kaedah menakut-nakutkan ummah, sehingga ummah mempunyai prasangka – mempunyai prejudis, tidak selesa – merasakan diri sebagai makhluk asing (alien) apabila berada dalam persekitaran yang dihadiri atau dikelilingi oleh bukan Islam. Perbuatan menakut-nakutkan ummah samalah seperti budaya menakut-nakutkan anak-anak Melayu di kampung pada era pramerdeka dan pascamerdeka dengan cerita-cerita puntianak dan hantu kubur, sehingga anak-anak tersebut dibunuh keberanian mereka, lalu menjadi penakut. Perbuatan menakut-nakutkan ummah secara keterlaluan, teramat merugikan, kerana ummah akan hilang keyakinan, dan ummah gentar untuk bersaing di pentas dunia yang lebih besar, apabila berada di luar kepompong kumpulan sendiri.
  6. Kehebatan Islam hendaklah diserlahkan melalui budaya kerja, melalui kegiatan sosial, pencapaian ekonomi dan etika berpolitik. Masyarakat Islam hendaklah dengan segala daya dan kekuatan menolak sama sekali perlakuan yang boleh mencemarkan nama baik ummah serta kesucian Islam dengan tidak memberikan amanah atau menyerahkan tanggungjawab kepada kalangan yang berimej mungkar dan munafik, kalangan yang lemah moral dan rendah akhlaknya, kalangan yang terpalit dengan rasuah dan salah guna kuasa serta kalangan yang tidak amanah dan tidak ikhlas.
  7. Imej Islam dan gambaran masyarakat dunia terhadap Islam dipengaruhi oleh tahap pencapaian dan status kejayaan umat Islam. Islam akan lebih dihormati, dan Islam akan terus dimuliakan, jika majoriti penganut Islam terdiri daripada ummah yang memperlihatkan prestasi pencapaian yang cemerlang dalam pelbagai bidang. Islam jangan dibiarkan kelihatan bagaikan warna yang suram, serta nama yang lompong tanpa pengisian bermakna. Ummah bertanggungjawab mewarnakan Islam yang bergemerlapan dan mengisi Islam dengan kandungan yang meyakinkan. Kejayaan meningkatkan syiar Islam sangat bergantung pada tahap kejayaan ummah. Oleh itu, usaha dan program pembangunan insan sewajarnya diberikan fokus. Jika keagungan Islam mahu dijulang, jika martabat bangsa mahu didarjatkan, usaha untuk memperkayakan generasi muda dengan ilmu wajib diberikan tumpuan melalui persepakatan gerakan yang tersusun lagi strategik, diselaraskan, diintegrasikan dan digabungkan.
  8. Semoga MKI berperanan secara berkesan sebagai sebuah badan syura yang menghasilkan ramuan dan kaedah baharu, menganjak minda ummah, keluar daripada kotak pemikiran sempit, dimerdekakan daripada kepompong pemikiran jumud, bersedia melakukan penghijrahan minda dan penghijrahan budaya dan berupaya membangunkan angkatan ummah yang dinamik sekali gus meningkatkan syiar Islam.

Ya Wahhab! Ya Razak! Ya Rafiq! Ya Muiz!

  1. Pada-Mu, Ya Allah! Hamba-Mu memohon mendapat bimbingan dan petunjuk agar ummah, khususnya ummah-Mu di bumi ini, melakukan penghijrahan minda daripada budaya yang memilih untuk bermusuh kepada budaya yang memilih untuk berkawan, daripada budaya yang cenderung bersengketa kepada budaya yang cenderung berdamai; daripada budaya berdendam kepada budaya bermaaf-maafan; daripada budaya menabur janji kepada budaya mengotakan kata; daripada budaya mencari kelemahan kepada budaya menggabungkan kekuatan; daripada budaya menyemarakkan fitnah kepada budaya menegakkan kebenaran; daripada budaya berjiwa kecil kepada budaya berjiwa besar; daripada ummah yang bersifat munafik kepada ummah yang bertakwa; agar ummah di bumi ini, menjadi ummah yang dihormati lagi disegani sesama manusia, dan dipandang mulia di sisi-Mu.
  2. Di atas bahu hamba-Mu ini telah Engkau amanahkan tanggungjawab berat mengimamkan badan syura ini. Kepada-Mu juga, hamba-Mu memohon dikurniakan hidayah agar dapat membantu hamba-Mu menyempurnakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Kurniai hamba-Mu dengan ulama dan umara yang memiliki iman yang jitu, pegangan tauhid yang kukuh, berani menegakkan kebenaran – tegas melaksanakan keadilan. Limpahi rahmat-Mu kepada negara ini menjadi sebuah negara gemilang seperti yang terkandung dalam ayat 15, Surah Saba’,

Ya Allah yang Maha Pengampun dan Maha Pengasih, Pemilik Arasy yang terpuji, Tuhan penguasa langit dan bumi, kepada-Mu kami berserah, tunjuki kami jalan yang lurus, iaitu jalan orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka.

وَبِاللهِ التَّوْفِيْقُ والهِدَايَةُ
وَالسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Demikian titah DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam mesyuarat tersebut. Semoga titah ini dijadikan pedoman oleh seluruh rakyat Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.