23 Ogos 2024, 14:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Demi (makhluk) yang mencabut (apa-apa yang ditugaskan kepada mereka untuk mencabutnya) dengan cara yang kasar. Dan yang menarik (apa-apa yang ditugaskan untuk menariknya) dengan cara yang lembut.”

(Surah al-Nazi‘at 79:1-2)

Kematian berlaku apabila roh berpisah daripada tubuh ketika dicabut oleh malaikat Izrail yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk mencabut nyawa sehingga mengakibatkan gerakan jantung, pernafasan dan fungsi tubuh berhenti buat selama-lamanya. Mati pasti berlaku, menjemput setiap yang bernyawa ke alam barzakh, tanpa mengira umur, pangkat mahupun kedudukan.

Ayat 1 hingga ayat  2 Surah al-Nazi‘at merujuk sifat malaikat Izrail ketika menarik roh daripada tubuh manusia. Dengan rahmat Ilahi, roh orang beriman akan ditarik oleh malaikat secara lembut, disambut dengan kehormatan, diiringi dengan wangi-wangian, dan kemudian diangkat ke langit dengan penuh kemuliaan. Roh orang yang kufur pula dicabut dengan cara yang keras, sangat menyakitkan, dan disambut oleh para malaikat dengan kehinaan.

Setelah jenazah dikebumikan, roh akan kembali kepada jasad untuk menghadapi pertanyaan malaikat Munkar dan Nakir. Pada ketika ini, roh akan mengalami kenikmatan atau seksaan kubur hingga hari kiamat. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), lalu Dia menghidupkan kamu. Kemudian Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu kembali (pada hari akhirat kelak). Akhirnya kamu dikembalikan kepada-Nya (untuk diberikan balasan bagi segala yang kamu lakukan).”

(Surah al-Baqarah 2:28)

Kematian berlaku melalui pelbagai sebab, antaranya termasuklah kerana keuzuran kesihatan atau nahas yang berlaku seperti kemalangan kenderaan, kebakaran, lemas dan serangan binatang buas; atau kerana bencana alam seperti ribut, banjir, tanah runtuh dan gempa bumi. Ada yang mati semasa tidur atau berehat, atau ketika sedang solat, atau ketika melaksanakan kerja. Walau apa-apa pun penyebabnya, ajal dan maut ditentukan oleh Allah SWT dan kita tidak akan mengetahui bilakah waktu ajal kematian akan berlaku.

Beringatlah! Bahawa usia kita semakin bertambah dan ajal kita semakin hampir pada setiap detik waktu yang berlalu. Kematian pasti menjemput setiap yang bernyawa. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Setiap yang bernyawa akan merasai mati, dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu.”

(Surah Ali ‘Imran 3:185)

Melalui ayat tersebut, Allah SWT mengaitkan kematian dengan balasan; mengingatkan kita tentang amalan yang telah kita lakukan, dan mempersiapkan diri untuk menghadapi akhirat. Oleh sebab itu, para salaf al-saleh sangat bimbang tentang pengakhiran hidup mereka.

Diceritakan kisah Hasan al-Basri, seorang ulama dan tabiin yang terkenal dengan ketakwaan dan kezuhudannya sering menangis mengingatkan dosanya dan bimbang tentang nasibnya di akhirat. Beliau berkata: “Ya, Allah, biarlah tangisku ini dapat memadamkan api neraka untukku.”

Menziarahi pusara merupakan antara amalan yang sangat dianjurkan dalam Islam kerana membawa banyak manfaat rohani dan moral kepada orang mukmin. Menziarahi pusara bukan sekadar untuk mengingati orang yang telah pergi, tetapi juga untuk menginsafkan diri sendiri akan hakikat kehidupan dan kematian seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Ibn Majah:

Maksudnya: “Yang terbaik antara orang beriman adalah yang paling baik akhlaknya, dan yang paling cerdik antara mereka adalah yang paling banyak mengingati mati, dan yang paling baik persiapannya untuk menghadapinya. Mereka itulah orang yang cerdik.”

Berada di pinggir pusara dapat menyedarkan kita tentang singkatnya kehidupan, mendorong kita memperbaik diri dan memberi tumpuan pada akhirat dengan meningkatkan amalan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Menziarahi pusara juga memberikan peluang untuk kita mendoakan saudara-mara dan para sahabat yang lebih awal meninggalkan kita.

Sesungguhnya doa daripada orang yang hidup sangat berharga bagi mereka yang telah pergi. Rasulullah SAW mengajarkan doa ketika menziarahi pusara melalui hadis daripada Buraidah yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

Maksudnya: “Salam sejahtera ke atas kamu, wahai penghuni tempat ini daripada kalangan Mukminin dan Muslimin. Kami insya-Allah akan menyusul kamu. Kami memohon kepada Allah kesejahteraan untuk kami dan untuk kamu.”

Oleh hal yang demikian, umat Islam diingatkan dengan pesanan yang berikut:

Pertama: Mengingati mati dapat menambahkan keimanan dan ketakwaan; menjadikan kita lebih beramanah, berintegriti, ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam setiap amalan dan pekerjaan kerana sedar bahawa kehidupan dunia hanyalah sementara manakala kehidupan akhirat kekal abadi.

Kedua: Perbanyakkan amal kebaikan di samping menghindarkan diri daripada melakukan perkara yang mengundang kemurkaan Ilahi. Walau apa-apa jua perkara yang kita lakukan di dunia, beringatlah untuk mengutamakan keredaan Ilahi berbanding dengan kehendak nafsu.

Ketiga: Menyedari bahawa kematian menjemput kita pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Oleh itu, kita seharusnya bersegera memohon keampunan Allah SWT dan memohon maaf kepada pihak yang telah kita lakukan kesilapan sama ada secara sedar atau tidak sedar. 

Keempat: Semasa hidup, sediakan wasiat yang jelas tentang harta agar keluarga yang ditinggalkan mendapat panduan. Langsaikan juga hutang piutang, pulangkan harta benda yang diambil secara batil, dan jauhkan diri daripada sifat sombong, hasad dengki dan sifat mazmumah lain.

Kelima: Insaflah bahawa kematian adalah benar, disoal Munkar dan Nakir adalah benar, dibangkitkan dari kubur dan dihidupkan semula adalah benar, dihimpunkan di padang mahsyar adalah benar, ditimbang segala amalan adalah benar, balasan nikmat syurga dan balasan azab neraka adalah benar.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 23 Ogos 2024, bertajuk “Menginsafi Kematian”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.