16 Ogos 2024, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT,

Maksudnya: “Dan perintahkanlah kepada keluargamu agar mendirikan solat dan bersabarlah kamu ketika mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu (bahkan), Kamilah yang memberikan rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.”

(Surah Taha 20:132)

Solat berjemaah ialah solat yang dilakukan dengan makmum mengikuti perbuatan  imam, memerlukan sekurang-kurangnya dua orang, iaitu seorang imam dan seorang makmum; paling baik apabila melibatkan bilangan makmum yang ramai. Solat berjemaah boleh didirikan di rumah, di pejabat, di dalam dewan atau di kawasan lapang, asalkan tempatnya bersih, serta paling afdal dan sangat dituntut didirikan di rumah Allah, iaitu surau dan masjid. Umat Islam yang melazimkan diri solat berjemaah di masjid, disusuli adab berada di masjid, tergolong dalam kalangan umat Islam yang disifatkan berjaya di dunia dan di akhirat.

Hukum solat berjemaah mengikut pandangan muktamad mazhab Syafii ialah fardu kifayah bagi sesebuah kampung atau kariah, bertujuan menzahirkan syiar Islam. Kewajipan fardu kifayah tersebut dikenakan ke atas lelaki yang merdeka, baligh, bermukim dan tiada keuzuran syarii. Oleh itu, wajib didirikan solat lima waktu secara berjemaah sekurang-kurangnya di sebuah masjid bagi sesuatu kariah.

Sekiranya solat jemaah berjaya dilaksanakan meskipun oleh dua orang dalam sesuatu kariah, maka gugurlah dosa sekalian penduduk kariah tersebut. Namun begitu, bagi kaum lelaki yang dengan sengaja tidak melaksanakan solat berjemaah di masjid, dianggap telah melakukan sesuatu yang makruh.

Hukum asal melaksanakan solat bagi kaum lelaki ialah solat berjemaah di masjid. Berbeza daripada kaum wanita, syarak menetapkan bagi wanita lebih afdal bersolat di rumah, namun dibenarkan untuk solat berjemaah di masjid.

Ketegasan Rasulullah SAW kepada kaum lelaki hadir solat berjemaah di masjid dizahirkan melalui hadis Baginda:

Maksudnya: “Sesungguhnya aku bertekad supaya solat didirikan kemudian aku akan pergi kepada setiap rumah seseorang yang tidak hadir solat berjemaah, lalu akan aku perintahkan agar dibakar rumah mereka.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadis tersebut bukan bermaksud kita dibenarkan membakar rumah orang yang tidak melakukan solat berjemaah, akan tetapi menggambarkan betapa Rasulullah SAW menegaskan dan menggalakkan kaum lelaki agar solat berjemaah di masjid.

Diperhatikan di negara kita, kehadiran solat berjemaah lima waktu di masjid tidak sebanyak bilangan jemaah dan kemeriahan sewaktu menunaikan solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha, solat fardu Jumaat, atau kehadiran umat Islam di masjid semasa bulan Ramadan. Amat merugikan sekiranya rumah kediaman terletak berhampiran masjid ataupun surau berada dalam bangunan pejabat, namun apabila masuk waktu solat, tidak diimarahkan dengan menunaikan solat secara berjemaah.

Sesungguhnya Allah SWT menyediakan kebaikan yang banyak bagi mereka yang menunaikan solat berjemaah terutama di masjid. Hayati sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

Sekiranya mereka mengetahui (ganjaran yang disediakan) pada mendatangi azan dan saf pertama, kemudian mereka tidak mendapatinya melainkan dengan cara mengundi, sudah pasti mereka akan melakukan undian. Sekiranya mereka mengetahui (pahala) bersegera mengerjakan solat, pasti mereka akan berlumba untuk mendapatkannya dan sekiranya mereka mengetahui (ganjaran) solat isyak dan subuh, nescaya mereka akan mendatangi kedua-duanya, walaupun dalam keadaan merangkak.

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Solat berjemaah lebih banyak ganjaran pahala berbanding dengan solat secara bersendirian.

Solat berjemaah mempunyai pelbagai kelebihan dan ganjaran, antaranya termasuklah:

Pertama: Menghidupkan sunah Rasulullah SAW. Baginda SAW mengimami solat fardu lima waktu dan tidak pernah meninggalkan solat fardu secara berjemaah kecuali sewaktu berada dalam keuzuran yang berat menjelang saat akhir hayat Baginda.

Kedua: Diganjari pahala berlipat ganda. Solat berjemaah lebih banyak ganjaran pahala berbanding dengan solat secara bersendirian seperti yang terkandung dalam hadis Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Solat secara berjemaah (ganjarannya) melebihi solat (secara) bersendirian sebanyak 27 darjat.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Ketiga: Menghapuskan dosa kecil dan ditinggikan darjat. Setiap langkah menuju ke masjid menghapuskan kesilapan lalu selaras dengan sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Apabila (seorang Mukmin) mengambil wuduk dengan sempurna, kemudian dia keluar (dari rumahnya) untuk ke masjid, tidaklah dia keluar melainkan untuk solat (berjemaah di masjid) maka tidaklah dia melangkah melainkan ditinggikan untuknya satu darjat dan dihapuskan daripadanya satu kesalahan (dosa).”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Keempat: Menjadi lambang kesatuan ummah. Solat yang didirikan secara berjemaah di masjid membuka ruang untuk umat bertegur sapa dan beramah mesra, hatta dapat mempertautkan ukhuwah dan mengeratkan hubungan sesama anggota masyarakat.

Oleh hal yang demikian, umat Islam diberikan peringatan yang berikut:

Pertama: Umat Islam hendaklah memanfaatkan usia, masa dan tenaga dengan senantiasa mengunjungi masjid sama ada untuk menunaikan solat lima waktu secara berjemaah atau menyertai program pengimarahan masjid.

Kedua: Para suami dianjurkan supaya menghidupkan budaya solat berjemaah bersama-sama isteri dan anak di rumah. Ibu bapa dianjurkan mendidik anak lelaki sejak usia kecil untuk solat berjemaah di masjid.

Ketiga: Ketua jabatan dan organisasi hendaklah menunjukkan contoh teladan yang baik, menangguhkan kerja untuk menghormati waktu solat, bersama-sama warga kerjanya mengimarahkan masjid dan surau dengan solat berjemaah apabila masuk waktu solat zohor dan asar.

Keempat: Jawatankuasa kariah hendaklah menganjurkan program pengimarahan masjid yang berjaya menarik minat ahli kariah terutamanya yang berupaya menjinakkan golongan remaja dan kanak-kanak dengan masjid.

Kelima: Amat rugi bagi mereka yang diberikan kesihatan badan dan kesempatan waktu, namun sengaja tidak membiasakan diri solat berjemaah di masjid.


(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 16 Ogos 2024, bertajuk “Keutamaan Solat Berjemaah”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.