Diterbitkan pada 11 Ogos 2024, 16:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) komited menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang pengurusan hal ehwal Islam dengan Africa Development and Education Foundation (ADEF) dan Windhoek Islamic Centre (WIC).

Organisasi berkenaan yang berpengkalan di Windhoek, ibu negara Namibia, telah bersetuju untuk merealisasikan hasrat kerjasama strategik dengan MAIPs dalam rangka memperteguh lagi peranan organisasi Islam itu dalam usaha menyemarakkan kefahaman Islam dalam kalangan masyarakat.

Demikian menurut kenyataan media MAIPs tentang persetujuan yang diperoleh ketika sesi pertemuan dan perbincangan antara kedua-dua belah pihak yang berlangsung di Pusat Islam Windhoek Namibia baru-baru ini.

Delegasi MAIPs diketuai Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah mengadakan lawatan ke Pusat Islam Windhoek sempena Safar Ilmi MAIPs, serta meluangkan masa sekitar satu jam bagi mendengar taklimat dan mengadakan lawatan ke aktiviti di pusat berkenaan.

Keberangkatan Baginda bersama-sama anakanda baginda, Yang Amat Mulia Tuanu Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail disambut oleh Setiausaha ADEF, Dr. Armas Shikongo, Bendaharinya Dr. AHmad Cheikhyoussef dan Imam Syeikh Harun.

Pada sesi berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan mengumumkan sumbangan khemah dan peralatan program daripada MAIPs untuk pusat berkenaan, selain turut membincangkan hasrat pelaksanaan Program “Soup Kitchen” yang merupakan aktiviti mengadakan jamuan makanan panas kepada golongan asnaf dan berkeperluan yang diurus oleh pihak sukarelawan Muslimah pusat berkenaan.

Selain itu, MAIPs turut membincangkan tentang keperluan pengurusan pusat Islam itu yang turut melaksanakan aktiviti pengimarahan masjid, aktiviti kebajikan dan sosial, serta pelaksanaan pendidikan agama Islam kepada para pelajar di persekitaran terlibat.

Turut serta dalam delegasi Baginda ialah Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Namibia; YBhg. Datuk Dr. Mohamad Rameez Yahaya bersama-sama Mufti Perlis; YBhg. Datuk Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP); YBhg. Profesor Datuk Dr. Zaliman Sauli dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi