Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangFirman Allah SWT:
Maksudnya: “Padahal mereka hanya diperintahkan menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya semata-mata dan tetap teguh atas tauhid dan mendirikan solat dan menunaikan zakat. Dan yang demikian itulah agama yang lurus (benar).”
(Surah al-Bayyinah 98:5)
Ikhlas merupakan satu daripada sifat mahmudah (terpuji) yang melambangkan kesucian niat sewaktu melakukan sesuatu perkara, demi mendekatkan diri dengan Allah SWT. Amal dan ibadat seseorang mukmin tidak akan diterima oleh Allah SWT jika dilakukan tanpa keikhlasan. Hal ini membuktikan bahawa niat yang ikhlas menjadi asas pertimbangan sama ada amalan dan ibadat seseorang diterima ataupun ditolak. Keikhlasan tidak boleh dicemari dengan sifat mazmumah yang tercela seperti riyak (menunjuk-nunjuk), ujub (bangga diri), iri hati dan hasad dengki.
Sifat ikhlas mempunyai banyak kelebihan dan fadilat. Amalan yang kecil atau sedikit jika dilakukan dengan niat yang ikhlas akan membuahkan ganjaran yang besar, sebaliknya amalan yang besar jika dilakukan tanpa keikhlasan akan mengecilkan ganjaran atau menjadi sia-sia. Keikhlasan hati akan menatijahkan ketenangan, iaitu yang sedikit terasa cukup, yang berat terasa ringan, dan yang susah menjadi senang. Umat Islam hendaklah meletakkan sepenuh keyakinan dalam sanubarinya bahawa Allah SWT hanya melihat kepada ketakwaan dan keikhlasan yang terkandung dalam jiwa manusia. Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada rupa dan harta kamu, tetapi Allah SWT melihat kepada hati dan amalan kamu.”
(Hadis riwayat Muslim)
Sifat ikhlas menjadi pendorong kepada mukmin untuk melakukan amalan baik di samping menghindarkan daripada perkara maksiat dan mungkar. Sifat ikhlas berkaitan rapat dengan sifat mahmudah lain seperti reda, pasrah, qanaah (rasa cukup), syukur dan sabar. Kelebihan bagi mukmin yang ikhlas akan terpelihara daripada bisikan dan gangguan syaitan. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Iblis berkata: ‘Wahai Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, (maka) aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan aku akan menyesatkan mereka semuanya! Kecuali hamba-Mu yang ikhlas (dibersihkan daripada sebarang syirik) dalam kalangan mereka.
(Surah al-Hijr 15:39 ̶ 40)
Terdapat dua bentuk ibadat dalam Islam, iaitu ibadat khusus dan ibadat umum. Ibadat khusus merangkumi solat, puasa, zakat, haji, korban, wakaf dan sedekah. Jika dilaksanakan dengan betul, menepati sunnah Rasulullah SAW dan dengan niat ikhlas, maka akan diterima oleh Allah SWT dan diganjari pahala dan rahmat berganda.
Begitu juga ibadat umum yang merangkumi kepimpinan, pekerjaan, perniagaan, menyampaikan ilmu, membuat kebajikan seperti merawat orang sakit, menjaga orang cacat, orang tua dan orang dalam keuzuran serta anak yatim, serta membangunkan ummah dan masyarakat, akan dilimpahi rahmat dan keberkatan daripada Ilahi jika dilaksanakan dengan ikhlas. Pemimpin yang ikhlas akan berjaya mengemudi kepimpinannya dalam ikhtiar mengangkat martabat ummah. Peniaga yang ikhlas akan menjalankan perniagaan secara telus, memperoleh rezeki secara halal tanpa menipu dan memperdaya orang lain. Warga pendidik yang ikhlas akan bersungguh-sungguh mendidik pelajarnya menjadi insan berjaya yang berpengetahuan lagi berilmu. Penjawat awam yang ikhlas akan menyempurnakan tanggungjawab secara amanah, menghindarkan diri daripada terlibat dengan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Sikap segelintir umat Islam yang berlebih-lebihan mempertontonkan amal ibadatnya di media sosial hendaklah diberikan peringatan dan keinsafan. Selalu diperhatikan perbuatan menyalahgunakan ibadat haji dan umrah untuk mempromosikan produk jualan, serta meraih laba dan keuntungan. Begitu juga program solat tahajud dipertontonkan untuk mengumpul dana, disertakan dengan tangisan dalam solat dan doa untuk meraih simpati. Wahai umat Islam, insaflah! Apakah tujuan sebenarnya apabila mempertontonkan ibadat untuk menarik perhatian manusia? Dibimbangkan kita telah terperangkap dalam tipu daya syaitan. Ingatlah bahawa syaitan bukan sahaja mengajak manusia kepada perbuatan yang dilarang, malah syaitan bijak memperdayakan manusia dengan mengolah amal kebaikan yang boleh menjejaskan keikhlasan tujuan beribadat. Rasulullah SAW memperingatkan bahawa Allah SWT tidak menerima ibadat kecuali yang terbit daripada hati yang benar-benar ikhlas, sabda Baginda:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak menerima sesuatu amalan melainkan dilakukan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT dan mengharapkan reda-Nya sahaja.”
(Hadis riwayat al-Nasa’i)
Yang berikut disenaraikan beberapa kesimpulan berdasarkan ciri keikhlasan yang digariskan oleh Imam al-Ghazali:
Pertama: Berdoa kepada Allah SWT agar memasukkan kita dalam kalangan yang ikhlas menyembah dan mentaati-Nya. Mengingatkan diri agar menjauhi sifat mazmumah yang menghitamkan hati dan merosakkan amal terutama sifat riyak, sombong, iri hati dan hasad dengki ketika melakukan ibadat.
Kedua: Ibadat yang dilakukan dengan ikhlas semata-mata mengharapkan keredaan Allah SWT akan dilimpahi keberkatan di dunia dan di akhirat untuk dirinya, keluarganya dan masyarakat secara umum.
Ketiga: Tidak berasa bangga dengan pujian dan tidak terkesan dengan kejian manusia; kerana segala-galanya dilakukan semata-mata untuk mencari keredaan Allah SWT.
Keempat: Istiqamah melakukan amal kebaikan walaupun sedikit dan sentiasa mengharapkan ganjaran dan pahala di akhirat kelak tanpa mengungkit amal yang dilakukan.
Kelima: Menginsafi kelemahan serta mengakui kekurangan diri, dan sentiasa berusaha memperbaik diri serta tidak bersifat sombong dengan kurniaan Allah kepadanya, tidak pula bermegah-megah dengan amal kebaikan yang dilakukannya.
Keenam: Menerima kelebihan yang Allah SWT kurniakan kepada orang lain, menjauhi sifat iri hati dan hasad dengki kerana menginsafi segala kelebihan itu kurniaan daripada Allah SWT jua.
(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 7 Ogos 2024, bertajuk “Ikhlas dalam Ibadat”)