Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSokoto – Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail memaklumkan bahawa Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berbesar hati untuk memperuntukkan biasiswa penuh (tidak termasuk tiket penerbangan) kepada 30 orang calon mahasiswa dari negeri Sokoto yang layak untuk melanjutkan pelajaran di KUIPs.
Baginda bertitah demikian ketika berangkat mengadakan pertemuan dengan Sultan Bagi Negeri Sokoto, iaitu Alhaji Muhammad Sa’ad Abubakar yang juga merupakan Presiden Jeneral Majlis Tertinggi Negara Nigeria bagi Hal Ehwal Islam dan Jama’atil Nasril Islam (JNI) di Istana Minanata, Sokoto, Nigeria.
Demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MAIPs hari ini.
Antara yang menyambut keberangkatan tiba Baginda dengan sambutan diraja di Lapangan Terbang Sultan Abubakar III Sokoto termasuklah Penasihat DiRaja Sokoto, Sadaukin Muhammad Mallam Lawal Maidoki.
Sejurus tiba, Tuanku Syed Faizuddin Putra berangkat bersama-sama Alhaji Muhammad Sa’ad menunaikan solat Jumaat berjemaah di Masjid Sultan Muhammad Bello Sokoto.
Kemudian, Sultan Sokoto meraikan Tuanku Pemangku Raja dalam satu majlis santapan tengah hari di istana Baginda dan disusuli dengan sesi perbincangan interaktif yang turut melibatkan para ulama dan sarjana Islam di negeri itu dengan topik “Pembentukan Khilafah Sokoto pada Abad Ke-19”.
Mufti Perlis, Profesor Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin turut berkongsi pandangan beliau pada sesi tersebut.
Turut mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Nigeria, Aiyub Omar; serta Kaunselor, Sharmini Devi Gopal.
Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam sesi ucaptama bertitah bahawa persaudaraan dalam Islam merupakan konsep menyeluruh yang berteraskan akhlak yang baik, hormat-menghormati antara satu dengan lain serta bersatu atas nilai kebersamaan yang terdiri daripada tiga peringkat utama, yang merangkumi agama, keluarga dan kemanusiaan.
“Setiap peringkat ini berpaksikan setiap Muslim wajib berpegang teguh antara satu dengan yang lain.
“Tali persaudaraan ini dapat diperkukuh lagi melalui elemen kemasyarakatan, persahabatan dan bersatu demi agama kerana Allah,” titah baginda.
Tambah baginda, “Pada peringkat ini, umat Islam diharapkan agar sama-sama bersatu hati dan bekerjasama ke arah memenuhi matlamat ajaran agama dan nilai dalam Islam.”
Sebelum berangkat pulang dari Sokoto ke Abuja, Tuanku Pemangku Raja singgah menziarahi makam mujahid Uthman Fodio, iaitu seorang tokoh reformis Sokoto yang membanteras amalan yang bercanggah dengan ketulenan ajaran al-Quran dan sunah yang juga merupakan pendiri Kesultanan Sokoto yang kekal menjadi rujukan umat Islam Nigeria hingga hari ini.