7 Jun 2024, 14:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Agama Islam mengutamakan kesejahteraan dan kesihatan dalam setiap aspek kehidupan. Dalam suatu hadis, Rasulullah SAW membenarkan tindakan Salman al-Farisi r.a. menasihati Abu Darda’ r.a. dengan ungkapan, “Sesungguhnya badanmu mempunyai hak ke atasmu.” (Hadis riwayat al-Bukhari); menunjukkan betapa pentingnya menjaga kesihatan badan sebagai amanah daripada Allah SWT. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai manusia! Makanlah daripada makanan yang halal dan baik yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikut langkah syaitan! Sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang dan nyata bagi kamu.”

(Surah al-Baqarah 2:168)

Allah SWT memerintahkan kita untuk mementingkan tatacara pengambilan makanan, iaitu makanan yang halal, suci, bersih dan baik. Pemakanan yang baik ialah makanan yang berkhasiat dan seimbang, serta memberikan tenaga dan kesihatan kepada tubuh. Sebaliknya, pengambilan makanan yang tidak seimbang dan berlebihan, terutamanya gula boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2024 tentang faktor risiko penyakit tidak berjangkit yang dilancarkan pada 16 Mei lalu, melaporkan kadar kegemukan dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat. Kini, dianggarkan 54 peratus rakyat Malaysia dewasa berada dalam keadaan berlebihan berat badan (obesiti). Perkara ini berlaku berpunca daripada pengambilan gula secara berlebihan dalam makanan dan minuman.

Gula yang berlebihan boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan.

Gula sememangnya manis, namun gula juga boleh membawa kepahitan dalam kehidupan apabila diambil secara berlebihan. Sedarilah! Banyak bahan makanan yang diproses, antaranya termasuklah roti, bijirin dan sos mempunyai kandungan gula yang tersembunyi. Kebanyakan masakan kegemaran rakyat Malaysia juga mengandungi gula berlebihan.

Gula yang berlebihan boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti kencing manis, serangan jantung dan tekanan darah tinggi. Kegemukan juga merupakan faktor utama menyebabkan berlakunya pelbagai penyakit kronik, termasuklah beberapa jenis penyakit kanser. Pengambilan gula dan makanan manis berlebihan juga menjadi penyebab kerosakan gigi dan penyakit gusi. Karies gigi yang lebih dikenali sebagai gigi berlubang terjadi apabila makanan tersekat dalam gigi yang rosak (berlubang) dan menjadi tempat pembiakan bakteria serta jangkitan, seterusnya menjadi punca sakit gigi; juga boleh menyebabkan keradangan gusi. Dianggarkan lebih 85 peratus rakyat Malaysia dewasa mengalami karies gigi.

Umat Islam harus mengambil langkah yang dituntut oleh agama, iaitu berusaha menjaga kesihatan dengan mengamalkan pemakanan sihat dan mengawal pengambilan gula. Mulakan dengan mengurangkan gula dalam minuman serta masakan di rumah. Memadai memasukkan hanya satu camca teh gula di dalam kopi atau teh, malah lebih baik melatih diri meminum kopi dan teh tanpa gula, lebih baik lagi membiasakan diri untuk sekadar meminum air kosong. Disarankan untuk kita meminum antara enam hingga lapan gelas air kosong pada setiap hari.

Pengambilan buah-buahan dapat menggantikan pencuci mulut seperti kuih-muih, biskut atau kek yang kebiasaannya mengandungi kandungan gula yang tinggi.

Di samping mengurangkan atau lebih baik memberhentikan pengambilan gula dalam minuman, kita juga harus memperbanyak pengambilan makanan berkhasiat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh dan sumber protein yang sihat. Pilihlah buah-buahan dan sayur-sayuran segar sebagai pencuci mulut, menggantikan kuih-muih, biskut atau kek, yang kebiasaannya tinggi kandungan gula, garam dan lemak. Buah-buahan dan sayur-sayuran bukan sahaja memberikan khasiat yang diperlukan oleh tubuh, tetapi juga membantu menjaga kesihatan secara menyeluruh.

Selain itu, amalkan membaca kandungan maklumat pada produk makanan atau minuman dan memilih produk yang rendah kandungan gula. Hadkan juga pengambilan produk makanan atau minuman yang gula disenaraikan sebagai ramuan pertama atau antara yang terawal dalam senarai ramuan pada label makanan.

Nabi Muhammad SAW mengajar kita tentang kepentingan kesederhanaan dalam semua perkara, termasuk dalam pemakanan. Baginda bersabda yang bermaksud, “Tidak ada bekas yang diisi oleh anak Adam yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap makanan yang dapat menegakkan tulang punggungnya. Jika tidak dapat (menjaga batas itu), maka hendaklah sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya, dan sepertiga untuk nafasnya.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi).

Hadis ini menekankan tentang kepentingan kesederhanaan ketika makan dan minum. Kita tidak seharusnya makan sehingga terlalu kenyang, tetapi cukuplah dengan makan sekadar yang perlu untuk memberikan tenaga kepada tubuh badan.

Kita digalakkan meminum air kosong antara enam hingga lapan gelas setiap hari.

Kesihatan merupakan anugerah yang sangat berharga daripada Allah SWT. Oleh itu, marilah kita menghargai anugerah ini dengan menjaga pemakanan dan mengamalkan gaya hidup yang sihat, mengambil berat tentang bahaya pengambilan gula berlebihan dan berusaha untuk mengurangkan pengambilannya dalam makanan dan minuman harian. Marilah kita hayati perkara yang berikut:

Pertama: Islam amat menuntut umatnya menjaga kesihatan diri supaya berupaya dan bertenaga menyempurnakan segala tugasan serta ibadat sejajar dengan kedudukan insan sebagai khalifah yang memakmurkan muka bumi.

Kedua: Mengurangkan pengambilan gula dalam makanan dan minuman.

Ketiga: Meminum air kosong sekurang-kurangnya enam gelas pada setiap hari.

Keempat: Mengamalkan gaya hidup cergas dengan bersenam secara harian.

Semoga dengan menjaga kesihatan, kita akan mendapat keredaan Ilahi, menjalani kehidupan yang lebih sihat dan produktif, serta dapat menunaikan pelbagai ibadat fardu ain dan fardu kifayah.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 7 Jun 2024, bertajuk “Kepentingan Pemakanan Sihat dan Bahaya Pengambilan Gula Berlebihan”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.