Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangArau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis baru-baru ini menerima kunjungan daripada YBrs. Dr. Muhammad Saidul Amin, Ketua Muhammadiyah Provinsi Riau, Indonesia bersempena dengan Seminar Antarabangsa Peradaban Ummah 2024 yang berlangsung di UiTM Cawangan Perlis.
Dr. Muhammad Saidul Amin yang merupakan seorang daripada penceramah utama dalam seminar tersebut menekankan kepentingan agama Islam dalam usaha membawa perubahan besar terhadap peradaban dunia dan memartabatkan maruah wanita secara holistik.
“Islam menyelamatkan bayi perempuan daripada dibunuh akibat peradaban orang Quraisy bukan Islam ketika zaman jahiliah.
“Setelah kedatangan Islam, wanita bukan lagi dipandang sebagai objek, malah mereka mula dihormati, mendapat hak mewariskan harta dan kedudukan sama seperti lelaki,” katanya.
Beliau juga mengingatkan umat Islam di Malaysia supaya berhati-hati dengan agenda jahat orientalis Barat yang sentiasa mencari peluang untuk mencemarkan imej Islam.
Menurutnya,
Sebahagian orientalis Barat mengkaji hal ketimuran dan agama Islam dengan agenda mencari kesalahan dan memberikan imej negatif terhadap agama Islam.
Orang Islam seharusnya berwaspada dengan propaganda orientalis yang menyerang minda orang Islam dari sudut penulisan, penyelidikan, pengajaran dan perbincangan akademik, lebih-lebih lagi pada era siber kerana golongan ini terdiri daripada kalangan orang bijak pandai.
Beliau juga mengingatkan umat Islam agar terus memanjatkan doa dan memberikan sokongan kepada warga Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis.
“Hingga kini banyak penduduk Palestin terbunuh, terutamanya kanak-kanak yang menjadi mangsa serangan tentera Zionis.
“Umat Islam perlu prihatin dan mengambil iktibar dengan isu yang berlaku di Palestin dan terus bersolidariti,” katanya.
Seminar yang berlangsung selama tiga jam dengan tema “Islam Jati Diri Melayu” itu dihadiri lebih daripada 200 orang peserta yang terdiri daripada staf akademik, staf bukan akademik, mahasiswa dan alumni UiTM Cawangan Perlis.
Turut hadir dalam seminar tersebut ialah Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UiTM Cawangan Perlis; YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kassim, yang mewakili YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, Menjalankan Fungsi Rektor UiTM Cawangan Perlis, dan Pegawai Perhubungan UiTM Global, UiTM Cawangan Perlis; YBrs. Dr. Mohd Akmal Hashim.