Oleh Abd Razak Osman
6 April 2024, 15:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri, Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) mengagihkan zakat berjumlah RM37,500  di bawah Program Wakalah kepada penduduk dari daerah Sik dan Baling di Dewan Bankuet Menara Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP), Kedah, semalam.

Agihan tersebut memanfaatkan sebanyak 150 orang keluarga dan 100 orang anak yatim serta pelajar miskin yang merupakan penerima zakat daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), pada tahun ini.

YSB ialah ejen kutipan zakat yang dilantik oleh LZNK bermula pada tahun 2018 dan layak membuat agihan kepada tiga golongan asnaf, iaitu golongan fakir, miskin dan fisabilillah.

Agihan bantuan ini disempurnakan oleh Tunku Temenggong Kedah selaku Pengerusi YSB;  YTM Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah; Pengerusi Projek Pendidikan YSB, DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah; dan YTM Datin Paduka Dato’ Tunku Nafisah Almarhum Sultan Badlishah.

DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim menyerahkan sumbangan kepada seorang daripada peserta yang terlibat.

Pengurus Besar YSB, Puan Misbah Dato’ Haji Abdul Hamid berkata, YSB memilih daerah secara pusingan pada setiap tahun agar sumbangan dapat diberikan secara adil kepada rakyat yang memerlukan.

Kemampuan YSB melaksanakan sumbangan turut bergantung kepada sokongan daripada para penyumbang yang menyalurkan dana melalui program dan aktiviti kewangan yang diadakan sepanjang tahun.

Terima kasih KAF Investment Bank Berhad; YBhg. Kolonel (Kehormat) Tan Sri Dato’ Paduka Prof Dr. Fng Ah Sen; THB Maintenance Sdn. Bhd, Great Food Industries Sdn Bhd, Yayasan Jariah Aafiyat, Pasaraya Borong Sakan Sdn. Bhd. dan Bina Darulaman Sdn. Bhd. selaku penyumbang dan penaja kerana memberikan kerjasama yang jitu dalam menjayakan program ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan Negeri Kedah, YB Dato’ Siti Ashah Ghazali dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sungai Petani, Dato’ Haji Muhamad Arof Darus.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.