Oleh Aisyah A.
17 Januari 2024, 20:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Profesor Dr. Ali Muhyiddin Ali al-Qaradaghi dipilih menjadi Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia bagi penggal 2024 – 2028.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), YB Senator Dr. Zulkifli Hassan pada hari ini menzahirkan ucapan tahniah kepada Profesor Dr. Ali al-Qaradaghi atas pelantikan beliau sebagai peneraju Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang baharu.

“Saya percaya dengan kepimpinan Profesor Dr. Ali al-Qaradaghi akan dapat membawa Kesatuan Ulama Islam Sedunia untuk menjadi tempat perkumpulan dan perbincangan para ulama selain menjadi tempat rujukan umat Islam sedunia,” katanya.

Ucapan tersebut dikongsikan oleh beliau melalui media sosial peribadi beliau termasuk laman Instagram.

Syeikh Ali merupakan seorang ilmuwan Islam yang berpengaruh dan terkenal dalam kalangan ulama.

Dilahirkan pada tahun 1949 di Qaradagh, Sulaymaniyah, Kurdistan-Iraq, beliau telah menerima ijazah kedoktoran Ph.D dengan kepujian dalam bidang Syariah dan Undang-undang dari Universiti al-Azhar, Mesir di bawah tajuk transaksi kewangan dan kontrak pada tahun 1980.

Beliau bertugas sebagai Profesor Asas Perundangan Islam, Universiti Qatar, dan juga merupakan Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Muslim Antarabangsa sejak tahun 2010.

Selain itu, beliau aktif dalam pelbagai organisasi Islam seperti International Islamic Fiqh Academy, the Organisation of Islamic Cooperation dan the European Council for Fatwa and Research.

Beliau juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Sekolah-sekolah Muslim di Tehran dan Presiden Islamic Kurdish League yang diasaskan pada tahun 1988 oleh beliau sendiri.

Tambahan lagi, Syeikh Ali ialah Presiden Lembaga Pemegang Amanah di University of Human Development, Sulaimaniyah, Iraq selain merupakan seorang pengerusi lembaga penyeliaan Syariah bagi Qatar First Bank dan beberapa buah bank dan institusi Islam yang lain termasuk Qatar National Bank, Bank Islam Dubai, cawangan Bank Islam Doha, Insurans Qatar, Gulf Investment House dan Ahli United Bank.

Beliau memulakan pengajian dalam bidang Syariah di Universiti Baghdad dan merupakan penyumbang dalam banyak penulisan berkaitan dengan ekonomi Islam dan perbandingan agama.

Dengan pengetahuan dan pengalaman beliau, Syeikh Ali pernah menerima beberapa anugerah dan penghormatan serta telah dilantik sebagai ahli beberapa majlis, jawatankuasa dan persatuan.

Syeikh Ali al-Qaradaghi juga telah mengambil bahagian dalam Persidangan Teologi Antarabangsa, “Prinsip Islam dalam Menentang Radikalisme” yang diadakan di Moscow, Rusia pada 25 – 26 Mei 2012.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.