15 Januari 2024, 17:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Semalam, genap 100 hari sejak peristiwa serangan 7 Oktober 2023, yang menyaksikan operasi ketenteraan mengejut bermula dengan pelancaran kira-kira 5000 buah roket dari Genting Gaza oleh pejuang Hamas dari Palestin ke Israel, disusuli dengan penyusupan ketenteraan ke dalam Kibbutz.

Di tengah-tengah konflik yang memperlihatkan pertembungan pertikaian sejarah dan ketegangan kontemporari, wujudnya unsur yang kompleks dan sering disalahertikan, iaitu peranan pertubuhan gerakan tentera Islam dalam konflik Palestin-Israel. Walaupun perjuangan untuk keadilan di Palestin telah menjadi naratif yang berkekalan, penting untuk kita memberikan penerangan tentang aspek yang kurang diterokai dalam konflik yang sedang berjalan ini.

Dengan semangat dan komitmen yang tidak berbelah bahagi, beberapa pertubuhan gerakan tentera Islam telah muncul sebagai pemain yang hebat dalam usaha memperjuangkan pembebasan Palestin. Sudah tiba masanya untuk membuka tabir di dunia tentang rahsia kumpulan militan ini dan meneroka motivasi serta kaedah mereka untuk menolong memperjuangkan tanah Palestin.

Misi utama kumpulan pejuang adalah untuk membebaskan Palestin daripada penjajahan.

 

Hamas

Hamas ialah singkatan untuk Harakat al-Muqawama al-Islamiyya dalam bahasa Arab, merupakan organisasi militan dan politik Islam yang beroperasi terutamanya di wilayah Palestin termasuk di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat. Hamas ditubuhkan oleh Ahmed Yassin pada tahun 1987 semasa Intifada Pertama (pemberontakan Palestin menentang pemerintahan Israel) dan menjadi pemain terkemuka dalam konflik Israel-Palestin.

Israel memulakan Operasi Protective Edge semasa Perang Gaza 2014 sebagai tindak balas terhadap peningkatan tembakan roket dari Gaza oleh Hamas. Konflik itu berakhir dengan gencatan senjata kekal selepas tujuh minggu, dan lebih 2200 orang maut. Menurut Israel, 1000 orang mangsa terdiri daripada anggota militan.

Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas menuduh Hamas menjalankan “kerajaan bayangan” di Gaza, secara haram membunuh sebilangan besar rakyat Palestin, dan tidak perlu memanjangkan perang di Semenanjung Gaza selepas pertempuran. Beliau juga mendakwa Hamas bertanggungjawab terhadap jumlah kematian yang tinggi.

Menurut BBC News, Israel dan Hamas bertempur di Gaza sekali lagi pada Mei 2021 berikutan peningkatan permusuhan di Syeikh Jarrah dan pekarangan Masjidilaqsa di Baitulmuqaddis. Sekurang-kurangnya 243 orang rakyat Palestin dibunuh di Gaza dan 12 orang di Israel selama 11 hari konflik.

Pada 11 Oktober 2023, melalui kenyataan media Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, beliau telah menipu dunia ketika berucap di White House yang menyatakan beliau sudah melihat bayi dipancung kepalanya sehingga putus oleh Hamas. Kemudiannya jurucakap White House menafikan mereka memberikan taklimat itu kepada Presiden dan Presiden tidak melihat apa-apa video atau gambar berkaitan dengan perkara tersebut.

 

Briged Izz al-Qassam

Briged Izzudin al-Qassam, nama yang diambil sempena syahidnya seorang ulama, pendakwah dan pejuang Islam yang dikenali sebagai Izzudin al-Qassam. Briged al-Qassam sebenarnya sayap senjata bagi Hamas yang ditubuhkan pada tahun 1984. Buat masa sekarang, al-Qassam dipimpin oleh Komander Muhammad al-Deif.

Menurut Briged al-Qassam, tujuan utama mereka adalah untuk menyumbang dalam usaha membebaskan Palestin dan memulihkan hak-hak rakyat Palestin di bawah ajaran Islam yang suci al-Quran, sunah Nabi Muhammad SAW dan tradisi para pemimpin dan ulama Muslim yang terkenal dengan ketakwaan dan dedikasi mereka.

Selanjutnya, Briged al-Qassam dianggap mempunyai antara 20 000 hingga 25 000 anggota, namun jumlah ini masih diperdebatkan, menurut CIA World Factbook. Pengeboman udara Israel telah memusnahkan bekalan Briged dan mengakibatkan kehilangan beribu-ribu pejuang. Antara pejuang al-Qassam yang dibunuh oleh Israel termasuklah Imad Abbas, Nabil al-Salmiah, Nizar Rayan, Abu Zakaria al-Jamal, Husam Hamdan, Mohamed Watfa, Bassem Isa dan Panglima Youssef Salih Shreim.

Walaupun tindakan al-Qassam banyak dipertikaikan oleh pelbagai pihak dan sering dikritik, beberapa pencapaian mereka dari sudut pandangan umum adalah seperti yang berikut:

  1. Serangan Roket dan Pertahanan

Briged al-Qassam secara konsisten melancarkan serangan roket ke wilayah Israel, sering menyebabkan kerosakan dan korban. Dari perspektif mereka, serangan ini dilihat sebagai cara penentangan terhadap apa-apa yang mereka hadapi daripada serangan Israel. Keupayaan untuk meneruskan serangan ini telah dilihat sebagai pencapaian dalam perjuangan berterusan mereka

  1. Pembinaan Terowong

Pembinaan terowong yang luas di sepanjang sempadan Gaza-Israel merupakan satu pencapaian yang menyebabkan sebahagian besar kematian dalam kalangan tentera Israel. Terowong ini telah digunakan untuk pelbagai tujuan, termasuk penyeludupan, penyusupan, dan sebagai tempat persembunyian pejuang mereka. Hal ini menyukarkan tentera Zionis Israel untuk mengesan Briged al-Qassam kerana banyak tentera Israel telah terbunuh akibat perangkap bom tersebut.

Menurut laporan, al-Qassam mahir dengan pelancar roket, peluru berpandu antikereta kebal, mortar, dan alat letupan buatan (IED). Walau bagaimanapun, mereka juga sangat bergantung pada strategi dan senyap, dan mereka mempunyai rangkaian terowong yang canggih yang membolehkan mereka bergerak tanpa diperhatikan.

 

Jihad Islam Palestin

Jihad Islam Palestin (PIJ) merupakan pertubuhan senjata yang ditubuhkan pada tahun 1981 oleh dua aktivis Palestin, iaitu Fathi Shiqaqi dan Abdel-Aziz Odeh. Rakyat Palestin yang menentang Pertubuhan Pembebasan Palestin yang dipimpin oleh Yasser Arafat mula menyokong PIJ. Pada tahun 1995, Shiqaqi dibunuh di Malta, berkemungkinan oleh ejen Israel.

Gerakan ini bersumpah untuk memusnahkan Israel dan menubuhkan negara Islam yang merangkumi beberapa tempat akibat penamatan Mandat British Palestin 1948, termasuk Tebing Barat dan Gaza yang ditawan oleh Israel dalam Perang Timur Tengah 1967. Sayap bersenjata bagi PIJ ialah Briged al-Quds (juga dikenali sebagai “Saraya”), yang ditubuhkan pada tahun 1981. Kekuatan gerakan PIJ dianggarkan pada tahun 2022 adalah sebanyak 1000 anggota, menurut CIA’s World Factbook .

PIJ ialah organisasi berbeza daripada Hamas yang melancarkan serangan awal terhadap orang awam Israel pada Oktober 2023, mencetuskan krisis terburuk di rantau itu dalam beberapa dekad. Menurut Journal Wall Street, 500 tentera dari Hamas dan PIJ turut menjalani latihan yang diketuai oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran pada tahun lalu. Sehubungan dengan itu, PIJ dituduh bersalah oleh Israel atas serangan ke atas Hospital Baptist al-Ahli di Gaza pada 18 Oktober 2023 yang mengakibatkan 500 nyawa terkorban, namun tuduhan tersebut dinafikan oleh PIJ.

Hamas, Briged al-Qassam dan PIJ ditetapkan sebagai kumpulan pengganas oleh Israel, Amerika Syarikat dan negara Eropah. Namun demikian, dengan meneliti kesannya terhadap landskap geopolitik yang lebih luas, kita berharap dapat memberikan nuansa perspektif tentang perjuangan yang telah menarik perhatian dunia selama beberapa generasi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.