29 Disember 2023, 14:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksud: Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan melakukan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya) dan hendaklah setiap orang memerhatikan apa-apa yang telah disediakannya (daripada amalan mereka) untuk hari esok (akhirat) dan (sekali lagi diingatkan) bertakwalah kepada Allah! Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui secara mendalam apa-apa yang kamu lakukan.

(Surah al-Hashr 59:18)

 

Dengan izin Ilahi, insya-Allah pada hari Isnin nanti, kita bakal melangkah masuk ke tahun baharu 2024 Masihi. Sewajibnya kita merafakkan segala kesyukuran ke hadrat Ilahi atas kurniaan nikmat usia dan nikmat kesihatan yang membolehkan kita menjalani kehidupan pada tahun 2023, serta berpeluang melangkah kaki ke tahun baharu. Mudah-mudahan dengan izin-Nya, kita akan dilimpahi nikmat dan rezeki dan disinari cahaya petunjuk menemui jalan yang lurus.

Sebelum dilabuhkan tirai tahun 2023, sebaik-baiknya kita melakukan muhasabah. Muhasabah bermaksud melakukan penilaian dan semakan terhadap diri sendiri, agar kita sedar akan kekurangan diri dan kesilapan yang pernah kita lakukan sama ada secara sedar dan secara sengaja ataupun secara tidak sedar dan secara tidak sengaja. Muhasabah membolehkan seseorang menginsafi ketelanjuran diri, merenung akan kelemahan yang perlu dibaiki, serta kebaikan yang perlu digandakan; dan pada masa yang sama membuat pembetulan serta melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

Sepanjang tahun 2023, apa-apa juga peristiwa yang menimpa ummah, sama ada baik atau buruk, kebahagiaan atau kesedihan, suka atau duka; hendaklah diterima sebagai ketentuan Ilahi yang mengandungi pelbagai hikmah ujian dan pelajaran untuk menguji tahap keimanan insan. Ummah yang bijak ialah ummah yang sentiasa memanfaatkan usia dengan baik tanpa disia-siakan, tidak berputus asa, tidak melihat kegagalan pada masa lalu sebagai penamat jalan, di sebaliknya gigih bangkit melakukan perubahan, berusaha dari hari ke hari untuk memperbaik sebarang kelemahan dan kekurangan, sehingga pada akhirnya berjaya mencipta kejayaan.

Ayat 18 Surah al-Hashr menunjukkan bahawa Allah SWT memerintahkan hamba-Nya agar sentiasa memerhatikan perbuatan yang pernah dilakukan untuk dinilai dan terus dibaiki sebagai persediaan bagi memperoleh kejayaan dunia dan akhirat.

Tahun 2023 Masihi bakal melabuhkan tirai. Tiga hari lagi kita akan melangkah masuk ke Tahun 2024 Masihi. Begitu cepat rasanya waktu berjalan. Rasulullah SAW mengingatkan ummah bahawa pada saat hayat dunia menghampiri penghujungnya, masa seakan-akan terasa begitu pantas berlalu sepertimana sabda Baginda yang bermaksud,

Tidak akan berlaku kiamat sehingga waktu terasa begitu pantas, maka setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu sambaran api.

(Hadis riwayat al-Tirmdizi)

Menurut sebahagian ulama, maksud hadis ini membayangkan hilangnya keberkatan masa kerana manusia lebih cenderung mengerjakan perkara yang tidak mendatangkan faedah serta tidak membangunkan jiwa dan akal. Oleh itu, ummah wajib memastikan setiap detik yang berlalu, dipenuhi dengan amalan soleh yang boleh mendampingkan diri kita dengan Allah SWT, juga melakukan perkara yang mendatangkan faedah selagi hayat dikandungi badan.

Rasulullah SAW mengingatkan ummah akan kepentingan beramal kebaikan sebelum tibanya waktu yang membatasi seperti hadis Baginda yang bermaksud, “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa mudamu sebelum datang masa tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin), masa lapang sebelum tiba masa sibuk, dan masa hidup sebelum tiba mati.”

Semoga dengan ihsan Ilahi, kita bukan sahaja dapat melangkah masuk ke tahun baharu, tetapi turut dikurniakan rahmat, rezeki dan kesihatan merentasi perjalanan hidup sepanjang tahun 2024.

Umat Islam disarankan agar sentiasa bermuhasabah diri dan memperbanyak amal soleh dalam kehidupan.

Kesimpulan dan Saranan Menjelang Tahun 2024

  • Pertama: Melafazkan kesyukuran ke hadrat Ilahi yang telah mengurniakan kita usia, rezeki, kesihatan dan pelbagai nikmat-Nya.
  • Kedua: Insaf bahawa usia kita semakin tua, ajal kita semakin hampir. Oleh itu, banyakkan melakukan yang makruf dengan meningkatkan amal jariah, beribadat berwakaf, berinfak dan bersedekah; di samping lebih gigih menjauhkan diri dengan perkara-perkara mungkar dan tabiat-tabiat buruk. Perbanyakkan taubat memohon keampunan Allah SWT akan kesilapan lalu, seterusnya berdoa bersungguh-sungguh memohon taufik dan bimbingan-Nya agar dapat istiqamah dalam ketaatan kepada-Nya, menyempurnakan pelbagai ibadat yang difardukan.
  • Ketiga: Lakukan muhasabah diri dengan mengenal pasti dan menyenaraikan kelemahan dan kekurangan serta amalan soleh dan kegiatan berfaedah yang boleh dilakukan demi kebaikan diri, agama, bangsa dan negara.
  • Keempat: Berazam dan berusaha untuk meningkatkan penguasaan pelbagai ilmu, pengetahuan dan kemahiran untuk meningkatkan daya saing agar berupaya mengikuti arus kemajuan dan pembaharuan.
  • Kelima: Dikembarkan segala usaha dan amal dengan iman yang kukuh agar kehidupan lebih seimbang dan mendapat keredaan Allah SWT.

 

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Bimbing kehidupan kami agar setiap saat dimanfaatkan dengan melakukan amal makruf sebagai bekalan menuju ke syurga-Mu. Kami mohon agar segala amal kami diterima, dan kami pohonkan keampunan-Mu atas segala kecuaian dan kesilapan disebabkan oleh sifat kami yang lemah.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka. Jauhi golongan fuqara’ dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.


Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 29 Disember 2023, bertajuk “Muhasabah Diri Menjelang Akhir Tahun”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.