Oleh Abd Razak Osman
7 Oktober 2023, 15:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perlis – Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) kini membuka peluang pengajian kepada pelajar Chongraksat Wittaya School, Pattani, Thailand.

Timbalan Rektor Akademik dan Antarabangsa (TRAA) KUIPs, Profesor Madya Dr. Abdul Basir Awang @ Mohd Ramli berkata, mereka boleh mengikuti program yang  ditawarkan untuk sesi pengambilan Februari dan September pada setiap tahun.

Beliau berkata demikian selepas membuat kunjungan di sekolah itu baru-baru ini.

“Mereka boleh melanjutkan pengajian di Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Al- Quran dan Sunnah, Fakulti Muamalat dan Kewangan Islam dan Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan.

“Bagi pelajar-pelajar yang memenuhi syarat pula, KUIPs menaja sepenuhnya yuran pengajian, wang sara diri dan juga penginapan,” katanya.

Dr. Abdul Basir Awang berharap kunjungan tersebut mengeratkan lagi hubungan antara mereka terutama pelajar-pelajar yang akan menyambung pelajaran ke KUIPs.

Pada majlis tersebut, Dr. Abdul Basir Awang turut menyerahkan buku dan majalah sumbangan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur kepada Pengerusi Sekolah Chongraksat Wittaya, Encik Waeda-oh Waeduereh.

Profesor Madya Dr. Abdul Basir Awang (empat dari kanan) menyerahkan buku dan majalah sumbangan daripada DBP kepada Encik Waeda-oh Waeduereh.

Chongraksat Wittaya School yang mempunyai 3512 pelajar sekolah rendah dan menengah ini terletak di Pattani.

KUIPs pula yang ditubuhkan pada Mac 2013 dengan pengambilan pertamanya pada 15 Mei 2014 mempunyai pelajar seramai 61 orang dan kini jumlah meningkat kepada 1088 pelajar dari Malaysia, manakala pelajar antarabangsa pula berjumlah 171 orang dari lebih 15 negara.

Pelajar antarabangsa terdiri dari Indonesia, Nigeria, Myanmar, Sudan, Bangladesh, Vietnam, Mali, Kemboja, Palestin, Tunisia, Ghana, Algeria, Jordan dan Yemen.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.