Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sebanyak 23 orang kakitangan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) termasuk dua bekas kakitangan KUIPs dianugerahkan Diploma Penterjemahan Profesional PPM-DBP-KUIPs bagi Sesi Khas Modul Komunikasi 5/2022 baru-baru ini.
Majlis yang berlangsung di Hotel Grand Millennium, Kuala Lumpur itu merupakan anjuran Unit Terjemahan Suntingan dan Transkripsi (UTST) di bawah kendalian Pusat Bahasa dan Pengajian Umum (PBPU).
Penyampaian Diploma Profesional kepada semua peserta Kursus Diploma Penterjemahan Profesional PPM-DBP-KUIPs KM 5/2022 telah disempurnakan oleh Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), Profesor Emeritus Abdullah Hassan.
Kesemua peserta dan penerima Diploma Profesional ini terdiri daripada enam pusat tanggungjawab yang berbeza, iaitu Pusat Bahasa dan Pengajian Umum (PBPU), Fakulti Pengajian Islam, Fakulti al-Quran dan Sunnah, Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan, Pusat Pengurusan Ehwal Pelajar serta Pusat Pengajaran dan Teknologi Pembelajaran.
Dengan adanya Diploma Penterjemahan Profesional ini, semua penerima layak menawarkan perkhidmatan terjemahan, suntingan dan transkripsi kepada mana-mana Institusi Pengajian Tinggi dan institusi lain yang berkaitan seperti Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), majlis agama, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), agensi kerajaan dan swasta serta orang perseorangan.
Pengiktirafan ini juga dapat menjamin kredibiliti dan profesionalisme individu yang dilantik sebagai penterjemah, penyunting dan pentranskrip kepada mana-mana pihak di samping dapat menaikkan nama KUIPs.
Oleh itu, pihak KUIPs akan terus komited untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan kakitangan agar dapat menghasilkan karya terjemahan yang bermutu tinggi, serta menjadi institusi yang mampu mengintegrasikan pelbagai ilmu melalui penterjemahan, penyuntingan dan transkripsi dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Arab.