Oleh Firdaus Mul
14 September 2023, 21:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Harta pusaka dan faraid merupakan dua perkara yang saling berkaitan rapat walaupun “pusaka” menjadi sesuatu yang sensitif di sisi masyarakat.

Oleh sebab itu, perlunya solusi terbaik untuk mengurus harta pusaka berkenaan.

Demikian menurut Tuan Haji Mohammad Salleh Abdul Saha, Ketua Bahagian Dakwah dan Pemasaran, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam siri temu bual rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran RTM baru-baru ini.

Menurut beliau, setiap individu dituntut untuk memahami perihal ilmu mengurus harta pusaka dan faraid kerana dengan menghayati dua perkara tersebut akan membawa kepada jambatan silaturahim.

Tambahnya, MAIS sedang mengadakan bulan faraid bagi negeri Selangor sepanjang bulan Safar untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat tentang peri pentingnya memahami ilmu faraid supaya tidak menafikan hak waris yang lain.

Sementara itu, beliau juga turut berkongsi pendekatan yang dilakukan oleh MAIS menerusi Subseksyen 5 (4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, iaitu MAIS diberikan bidang kuasa dan amanah untuk bertindak sebagai wasi sesuatu wasiat atau sebagai pentadbir harta pusaka si mati atau sebagai pemegang amanah mana-mana amanah.

Tuan Haji Mohammad Salleh Abdul Saha, Ketua Bahagian Dakwah dan Pemasaran, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Antara pendekatan yang dilakukan oleh MAIS termasuklah mengadakan seminar dan membuat hebahan dan penerangan di media sosial kerana penyebarannya begitu pantas berbanding dengan medium fizikal yang lebih bersifat terhad.

Menurut Mohamad Salleh lagi, harta pusaka dan faraid juga berkaitan dengan harta sepencarian, hibah dan wasiat.

Pihak yang menetapkan status sah atau tidak sesuatu hibah ataupun wasiat itu bergantung pada mahkamah syariah.

“Apabila hendak mengurus harta pusaka, waris perlu bekerjasama dan tidak ada isu lain ataupun berebut-rebut,” jelas beliau.

Untuk maklumat lanjut berkaitan dengan perkhidmatan MAIS, orang awam boleh melayari laman web www.mais.gov.my ataupun menghubungi MAIS di talian 03-55143400.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.