25 Ogos 2023, 17:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa Islam dan bangsa Melayu mempunyai hubungan yang erat, dan hal tersebut diakui melalui pengamalan dan penghayatan nilai Islam dalam kalangan masyarakat yang sudah menjadi identiti orang Melayu.

“Islam dan bangsa Melayu tidak boleh dipisahkan terutamanya dalam kehidupan anak Melayu, sama ada dalam sektor pekerjaan, kesenian ataupun perniagaan.

“Sejauh mana pun dia tersasar atau dipengaruhi, tidak pernah terbayang dalam fikiran seorang anak Melayu bahawa dia akan beragama selain daripada Islam,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Apresiasi Staf Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) tahun 2021 dan tahun 2022 di Hotel Putra Regency, di sini semalam.

Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bergambar bersama-sama tetamu kehormat dan para penerima anugerah.

Titah Pemangku Raja Perlis, “Meskipun Tanah Melayu pernah dijajah oleh bangsa yang bukan beragama Islam seperti Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun pada suatu ketika dahulu, namun tidak ada bangsa Melayu yang menukar agama mereka secara terbuka.”

“Apa-apa pun halangan yang ditempuh, mereka tetap sebagai Muslim hingga ke akhirnya, demikianlah kuatnya jati diri Islam dalam tubuh bangsa Melayu,” titah baginda lagi.

Sehubungan dengan itu, baginda yang juga merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah bahawa MAIPs akan melancarkan slogan “Islam Itu Identiti Bangsa Melayu” dan satu seminar besar akan dianjurkan pada peringkat rantau Melayu tidak lama lagi.

Keberangkatan tiba baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Rektor KUIPs, Profesor Dr. Muhd Rozaimi Ramle.

Turut hadir ialah Mufti Negeri Perlis merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah KUIPs Sdn. Bhd., Profesor Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Profesor Emeritus Ts. Dr. Kamarudin Hussin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.