25 Ogos 2023, 15:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Sebanyak 47 orang kakitangan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) menerima anugerah yang disampaikan dalam Majlis Apresiasi Staf 2021 dan 2022 Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) di Kangar, Perlis, semalam.

Majlis yang berlangsung di Hotel Putra Regency, Kangar itu telah disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Sebanyak enam anugerah disampaikan dalam majlis yang diadakan bagi mengiktiraf dan menghargai jasa kakitangan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2021 dan 2022 ini, iaitu Anugerah Khidmat Setia 10 Tahun, Anugerah Staf Sokongan Cemerlang 2021 dan 2022, Anugerah Pentadbir Cemerlang 2021 dan 2022, Anugerah Pendidik Cemerlang 2021 dan 2022, Anugerah Jabatan/Fakulti Cemerlang 2021 dan 2022 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 dan 2022 yang membawa pulang wang tunai berserta dengan sijil penghargaan.

Anugerah khas yang baharu sahaja diperkenalkan pada tahun ini, iaitu Anugerah Khidmat Setia 10 Tahun bersempena dengan sedekad KUIPs dianugerahkan kepada lima kakitangan terpilih, iaitu Encik Norhafiz Zullkeffli, Encik Zahrol Izwan Ahmad, Encik Safrul Hisham Hashim, Puan Rifhan Syafinaz Shabri dan Puan Norasliza Rojamil atas kesetiaan dan sumbangan mereka sepanjang berkhidmat di KUIPs.

Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kiri), Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (tiga dari kiri) dan Sahibus Samahah Dato’ Ariff Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (kiri) bergambar bersama-sama para penerima Anugerah Khidmat Setia 10 Tahun.

Para penerima memperoleh hadiah berupa wang tunai dan sijil penghargaan mengikut kategori yang terpilih, iaitu RM1000 berserta sijil penghargaan bagi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, manakala RM500 berserta sijil penghargaan diberikan kepada Anugerah Pendidik Cemerlang, Anugerah Pentadbir Cemerlang serta Anugerah Staf Sokongan Cemerlang, dan RM2000 berserta sijil penghargaan pula diberikan kepada Jabatan/Fakulti Cemerlang.

Turut hadir ialah Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil; Sahibus Samahah Dato’ Ariff Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis; YBhg. Profesor Datuk Emeritus Dr. Kamarudin Husin, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU); YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs); dan YBrs. Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle, Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.