23 Ogos 2023, 18:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Liqa’ Ahlil Quran anjuran Persatuan Madrasah Tahfiz al-Quran Malaysia (PERMATA) dan Sekretariat Majlis Tahfiz Asia Tenggara (MATA) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merupakan suatu program yang amat bermanfaat bagi pendidik, pelajar dan pencinta al-Quran kerana berpeluang untuk bertemu dengan para pakar dan masyaikh al-Quran dari pelbagai negara di dunia, di samping menjadikannya sebagai tempat rujukan dan pengembangan ilmu al-Quran.

Program tersebut menampilkan masyaikh al-Quran yang juga merupakan anggota jemaah hakim luar negara Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-63 yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, iaitu Syeikh Ahmad Isa Maasarawi dari Mesir, Syeikh Rashid Ali Sufi dari Qatar, Syeikh Samih Athamneh dari Jordan dan Syeikh Atofay dari Morocco sebagai ahli panel forum.

Barisan ahli panel forum yang terdiri daripada anggota jemaah hakim luar negara Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-63.

Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata bahawa Program Liqa’ Ahlil Quran yang turut disertai oleh peserta dari negara jiran di Asia Tenggara ini secara tidak langsung akan menjadikan Malaysia sebagai tempat rujukan dalam ilmu pendidikan al-Quran.

Justeru, beliau berharap program yang menjadi nilai tambah kepada penganjuran Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ini akan dapat diteruskan pada setiap tahun seiring dengan berlangsungnya Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa yang berjaya mendatangkan ahli al-Quran dari pelbagai negara.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perasmian Penutup Program Liqa’ Ahlil Quran yang berlangsung di Masjid Negara, Kuala Lumpur, tengah hari tadi.

Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Datuk Hakimah Mohd Yusoff ketika merasmikan Penutup Program Liqa’ Ahlil Quran di Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Selain itu, beliau juga berharap melalui program ini, Malaysia akan terus dikenali dan diiktiraf sebagai negara yang maju ke hadapan dalam usaha untuk memartabatkan al-Quran dan sentiasa menekankan aspek meningkatkan mutu bacaan al-Quran.

“Program ini nanti diharap dapat melahirkan natijah besar dalam menggemblengkan tenaga dan pemikiran ilmuwan dan pencinta institusi al-Quran di rantau ini untuk berada dalam satu wadah dan gagasan yang berkesan dalam meningkatkan ilmu dan syiar al-Quran di seluruh rantau Asia Tenggara.

“JAKIM sebagai badan kerajaan yang menjaga agenda dan hal ehwal agama Islam akan terus menghulurkan segala bentuk kerjasama dan bantuan yang boleh kepada PERMATA AL-QURAN dan Sekretariat Majlis Tahfiz Asia Tenggara untuk menjayakan aktiviti pemesatan ilmu al-Quran di negara ini,” katanya.

Pengerusi Majlis Tahfiz Asia Tenggara (MATA), YBhg. Dato’ Dr. Haji Zulkifle Haji Ali al-Hafiz ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Sementara itu, Pengerusi MATA, YBhg. Dato’ Dr. Haji Zulkifle Haji Ali al-Hafiz dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa MATA juga sedang merancang pelbagai program dalam kalangan negara Asia Tenggara dalam bidang ilmu al-Quran dan hafazan.

“Kalau boleh, kami ingin menjadikan rantau Asia Tenggara ini sebagai hab bagi memacu ketinggian ilmu al-Quran dan melahirkan kelompok huffaz professional dan komited untuk menjadi pemangkin pembangunan umat Islam serantau dan sedunia impaknya,” katanya.

Turut hadir ialah Penasihat MATA, YBhg. Datuk Wan Muhammad Dato’ Sheikh Abdul Aziz; Pengarah Darul Quran JAKIM, Tuan Haji Mohd Ansarullah Mohd Hisam; Imam Besar Masjid Negara, Tuan Haji Ehsan Mohd Hasni;  dan Presiden PERMATA  Al-Quran Malaysia, Ustaz Haji Manolito Mohd Dahlan, serta deligasi dari Indonesia, Thailand, Myanmar dan Cambodia sebagai peserta.

Foto: Khairul Azhar Baharuddin

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.