16 Ogos 2023, 17:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil serius sebarang usaha untuk mempromosikan buku yang boleh mendorong kanak-kanak terpengaruh dengan budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) seperti yang dipaparkan dalam video yang tular baru-baru ini.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata bahawa jabatannya telah menerima aduan berkaitan video tular oleh Cordova Media tentang beberapa buku yang didakwa mendorong anak-anak agar terpengaruh dengan LGBT, dan penelitian pihaknya mendapati buku-buku tersebut diambil di luar negara.

Katanya, JAKIM tetap mengambil serius terhadap sebarang usaha mempromosi buku berkenaan dalam kalangan masyarakat negara ini, khususnya umat Islam walaupun tiada buku seperti dipaparkan dalam video tersebut di mana-mana kedai buku tempatan.

“Kandungan buku seumpama ini bukan sahaja mempromosikan budaya homoseksual di Malaysia, malah melanggar sensitiviti agama, undang-undang serta budaya negara ini,” katanya  dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Beliau menasihati orang ramai, khususnya golongan ibu bapa agar sentiasa memantau anak-anak serta tidak membeli bahan bacaan yang mempunyai unsur negatif yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Tambahnya, pemantauan dan pencegahan yang konsisten amat penting bagi mengelakkan anak-anak terjebak dengan aktiviti tidak bermoral yang boleh merosakkan masa depan mereka.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memantau sebarang terbitan bahan bercetak yang mempromosi LGBT. Buku-buku berkenaan boleh dianggap melanggar Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, moral dan kepentingan awam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.