9 Ogos 2023, 22:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seoul – Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap agar institusi agama di negara ini sentiasa diberikan ruang yang selayaknya untuk melaksanakan peranan dan fungsi seperti yang telah diperuntukkan dalam Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut baginda, kuasa pengurusan hal ehwal agama Islam yang diperuntukkan dalam jadual 9 sewajarnya mengangkat semangat yang dibawa dalam Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan kedudukan agama Islam.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menyarankan agar sebarang isu yang tidak selaras dalam perkara berkaitan dengan bidang kuasa atau pelaksanaan diselesaikan dengan mengambil kira prinsip asas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Titah baginda lagi, usaha memartabatkan peranan institusi pengurusan hal ehwal Islam harus sentiasa menjadi agenda bersama yang perlu dipertahankan.

Demikian titah Tuanku Pemangku Raja menurut siaran media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan zakat MAIPs kepada Seoul Central Mosque di Korea Selatan yang diterima oleh imam merangkap Pengerusi Komuniti Syariah, Persekutuan Muslim Korea, A. Rahman Lee, Ju-Hwa.

Untuk rekod, A. Rahman juga merupakan Duta Pelancongan Islam bagi negara Uzbekistan.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda bongsu baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Foto: Ihsan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.