9 Ogos 2023, 04:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nilai – Masyarakat Malaysia perlu menjadikan amalan membaca sebagai satu budaya dan pada masa yang sama, golongan cerdik pandai hendaklah berusaha untuk menjadikan penulisan buku sebagai satu daripada wadah penyebaran ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat.

Dekan Pusat Pengajian Teras (PPT), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr. Zoraida Mustafa menyatakan bahawa Malaysia boleh mencontohi negara maju di Asia seperti Jepun yang mempunyai budaya membaca dan menulis yang lebih luas berbanding dengan Malaysia.

“Jepun mempunyai industri penerbitan yang besar dan amalan membaca juga telah lama menjadi budaya masyarakat mereka sehinggakan kita dapat lihat pencapaian dan kemajuan negara matahari terbit itu jauh meninggalkan kita pada hari ini,” katanya ketika berucap dalam bengkel “Bagaimana Menerbitkan Manuskrip dan Karya dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)” anjuran PPT USIM, semalam.

Barisan penceramah bengkel “Bagaimana Menerbitkan Manuskrip dan Karya dengan Dewan Bahasa dan Pustaka” bersama-sama peserta yang terdiri daripada pensyarah Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia.

Profesor Madya Dr. Zoraida yang juga merupakan seorang pakar dalam bidang bahasa dan kebudayaan Jepun menyatakan, penganjuran bengkel ini penting bagi meneruskan kesinambungan penulisan yang telah dirintis oleh penulis-penulis terdahulu dan pada masa yang sama juga dapat memajukan negara dan bangsa kita.

Beliau berharap bengkel ini dapat memberikan manfaat kepada peserta melalui penerbitan karya-karya penulisan yang bermutu bersama-sama DBP.

Bengkel selama setengah hari di Bilik Mesyuarat Utama, PPT, yang dihadiri oleh kakitangan akademik PPT USIM ini merupakan satu ruang perkongsian yang bermanfaat tentang peluang penerbitan daripada pegawai penerbitan dari DBP, iaitu Editor Kanan DBP, Dr. Faezah Muhayat dan Editor majalah Dewan Tamadun Islam, Puan Syaza Wardina Abd Khalik.

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.