7 Ogos 2023, 21:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Los Angeles – Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa masjid merupakan institusi yang begitu penting untuk membangunkan masyarakat setempat.

“Antara peranan institusi masjid termasuklah sebagai ejen perantara untuk menyatupadukan masyarakat dan membantu menyelesaikan, serta memudahkan segala urusan mereka yang berkaitan dengan keagamaan Islam,” titah baginda.

Titah baginda lagi, dalam usaha melahirkan masyarakat berakhlak, amat penting sikap profesionalisme diterapkan dalam pengurusan program dan aktiviti dakwah agar setiap kakitangan atau pendakwah melaksanakan tanggungjawab dengan lebih gigih dan berdedikasi.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada pihak masjid The Islamic Center of Southern California di Los Angeles, California, Amerika Syarikat.

Sumbangan zakat tersebut diterima oleh pegawainya, Puan Norhayaty Kassim, yang berasal dari Malaysia dan bermastautin di Los Angeles.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada pihak Masjid The Islamic Center of Southern California di Los Angeles, California, Amerika Syarikat.

Menurut Tuanku Pemangku Raja, setiap Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah perlu menjadi sebuah entiti yang benar-benar menjalankan fungsinya dan beroperasi secara optimum dalam melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.

Baginda turut mengingatkan bahawa institusi keluarga yang baik dapat memelihara akhlak, tatasusila dan kemuliaan manusia melalui ikatan perkahwinan yang sah dengan berpandukan Undang-undang Keluarga Islam.

Baginda yang diiringi oleh anakanda bongsu, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail berkenan menunaikan solat jamak zohor dan asar ketika singgah di pusat Islam berkenaan yang mempunyai pelbagai kemudahan, termasuklah sekolah rendah, tadika, dewan serbaguna, kelas serta kuliah keagamaan, perkhidmatan seperti urusan perkahwinan, urusan kematian, kaunseling, kerohanian, pengurusan zakat dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan urusan keagamaan Islam.

Foto: Ihsan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.