31 Julai 2023, 13:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Allah mewajibkan setiap orang beriman untuk berfikir dan berbuat baik bukan hanya untuk kepentingan hari ini, tetapi juga untuk masa akan datang.

Oleh itu, Allah mengecam mereka yang berorientasikan kehidupan duniawi semata-mata sehingga melupakan kehidupan akhirat.

“Kita memiliki tanggung jawab yang besar untuk membangunkan tatakehidupan global yang adil, damai dan sejahtera bagi sama-sama  menampilkan wajah Islam yang benar-benar menjadi rahmat bagi seluruh alam tanpa memandang perbezaan bangsa,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) siri ke-22 dengan tajuk “Transformasi Risalah Islam Berkemajuan” yang dianjurkan oleh YTF dengan kerjasama Universiti Muhammadiyah Malaysia semalam.

Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Penasihat DiRaja YTF mengalu-alukan kehadiran Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) ke Perlis yang akan menjadi sebahagian daripada pendorong kepada Islam Berkemajuan berlandaskan al-Quran dan sunah.

“Islam Berkemajuan” merupakan langkah ke hadapan negeri Perlis bagi memastikan wanita berperanan dalam semua sektor pembangunan negeri.

“Sebagaimana kita semua sedia maklum, manhaj atau cara diperlukan untuk memahami dan memaknakan ajaran agama, dan mengembangkan pemikiran agama secara benar.”

“Manhaj Islam Berkemajuan, iaitu al-Islam al-Taqaddumi bermaksud agar pemahaman dan pemaknaan hujah, iaitu nas dan pengembangan pemikiran yang diperoleh daripada al-Quran dan sunah dapat dipertanggungjawabkan,” jelas Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Terdahulu daripada itu, Naib Canselor Universiti Muhammadiyah Malaysia, Associate Profesor Ir. Dr. Waluyo Adi Siswanto menyampaikan kata-kata aluan.

Majlis Penutup Webinar dirasmikan oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku, Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah.

Foto : Ihsan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.