Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangTasek Gelugor – “Komitmen yang lebih, khususnya terhadap ilmu agama perlu diberikan kerana kejayaan generasi sekarang didapati berbeza daripada keadaan aktiviti generasi terdahulu,” kata Mufti Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor.
Katanya, generasi sekarang boleh berjaya dalam kehidupan dengan baik setelah mereka pandai dalam lapan perkara, iaitu al-Quran, akidah, ibadat, sirah, adab, bahasa Arab, Jawi, khat dan hafazan al-Quran.
“Ibu bapa perlu menghantar anak ke Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) ketika berusia tujuh hingga 12 tahun sekiranya ingin menikmati kejayaan anak sendiri pada peringkat permulaan itu.”
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ihtifal Hari Anugerah Kecemerlangan Murid KAFA dan Kelas Prep Malam 2023 anjuran Zakat Negeri Pulau Pinang di Madrasah Al-Ibtidaiyyah Pekan Tasek Gelugor, semalam.
Sebanyak 167 orang pelajar sekolah rendah dan menengah menerima sijil dan anugerah pada majlis itu.
Kata Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim lagi, “Apabila memiliki ilmu secukupnya, mereka pandai membawa diri di mana-mana sahaja dan tidak melakukan perkara yang melanggar pantang-larang sebaliknya lebih mengutamakan, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian, dan alah bisa tegal biasa.”
Setiausaha majlis tersebut, Mohd Amir Syazwan Mohd Nazeri berkata, ramai ibu bapa hadir bagi melihat anak masing-masing menerima sijil, anugerah, hadiah cabutan nombor bertuah dan lain-lain yang disediakan.
Turut hadir menyaksikan majlis ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang, Mohamad Kairi Ghazali.