30 Jun 2023, 16:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Sejarah membuktikan bahawa kehadiran Islam telah mengangkat darjat keistimewaan wanita yang sebelumnya dipinggirkan serta berlaku diskriminasi dan penindasan, malah dalam Islam, wanita itu disanjung dan diletakkan pada tempat yang tinggi.

Demikian titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan merasmikan Webinar Wanita Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Perlis berjudul “Ketokohan Wanita Melalui Pedoman al-Quran dan al-Sunah”.

“Islam sebagai agama fitrah memberikan keadilan kepada semua golongan manusia.

“Islam juga ialah agama dan cara hidup yang telah ditentukan oleh Allah SWT bagi memastikan kehidupan manusia berada dalam keadaan yang harmoni, teratur dan aman sejahtera tanpa sebarang penindasan,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Penasihat DiRaja YTF berharap penganjuran program yang diadakan secara maya tersebut mampu memberikan gambaran yang lebih jelas tentang peranan wanita dalam agama Islam melalui pedoman al-Quran dan sunah.

“Semoga webinar YTF pada kali ini mampu mengikis sebarang salah faham atau tohmahan segelintir pihak yang berpandangan bahawa Islam telah menyekat kebebasan dan memberikan penindasan terhadap wanita, sedangkan martabat dan kemuliaan wanita itu tinggi dalam agama,” titah baginda.

Sesi penutupan webinar berkenaan disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pengerusi YTF.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.