23 Jun 2023, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Syukur ke hadrat Ilahi atas ihsan kurniaan-Nya, membolehkan kita sekali lagi dipertemukan dengan bulan Zulhijah, bulan yang terkandung padanya banyak kelebihan amalan ibadat. Kelebihan bulan Zulhijah, terutamanya 10 hari terawalnya, terkandung dalam Surah al-Fajr ayat 1 dan 2;

Maksudnya: “Demi waktu fajar. Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).”

Ibn Abbas mentafsirkan ayat tentang malam yang sepuluh dengan merujuk sepuluh malam pertama bulan Zulhijah. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani pula berpendapat bahawa sepuluh hari terawal Zulhijah mempunyai kelebihan tersendiri kerana terhimpun padanya beberapa ibadat utama yang besar nilainya. Kelebihan sepuluh hari terawal Zulhijah diperkukuh dengan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:

Maksudnya: “Tiada hari yang amalan soleh paling disukai oleh Allah untuk dilakukan, melainkan hari-hari ini (Baginda memaksudkan): 10 hari terawal Zulhijah.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, walaupun jihad pada jalan Allah (tidak dapat menandinginya)?” Baginda bersabda, “Walaupun jihad pada jalan Allah melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama-sama jiwa dan hartanya, kemudian harta dan jiwanya tidak kembali (syahid).” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Di samping kelebihan ganjaran terhadap ibadat yang dilakukan, perbuatan maksiat hendaklah dijauhi. Ahli tafsir, Ibn Kathir dan al-Razi memperingatkan:

Maksudnya: “Sesungguhnya maksiat (yang dilakukan) padanya (hari tersebut) lebih berat akibatnya (dosa), dan ketaatan (yang dilakukan) padanya (hari tersebut) pahalanya berganda.”

Oleh itu, ummah sangat dianjurkan menghidupkan 10 hari ini dengan amalan kebajikan. Sebahagian daripada sarjana Islam berpandangan bahawa 10 hari awal Zulhijah lebih baik daripada 10 siang hari terakhir Ramadan kerana pada bulan Zulhijah terdapat Hari Arafah, manakala terdapat keistimewaan lailatulqadar pada 10 malam terakhir Ramadan.

Ibadat haji merupakan kemuncak amal pada bulan Zulhijah. Golongan yang dikurniakan rezeki dengan terpilih menjadi tetamu Allah untuk mengerjakan rukun haji, pada ketika ini sedang berhimpun di tanah suci Makkah al-Mukarramah. Semoga urusan mereka untuk menyempurnakan Rukun Islam kelima dipermudahkan oleh Allah SWT.

Ibadat haji merupakan kemuncak amal pada bulan Zulhijah.

Ibadat haji sangat istimewa kerana umat Islam dari segenap penjuru dunia, berlatarbelakangkan pelbagai bangsa, budaya dan negara, berhimpun di tanah suci Makkah al-Mukarramah, dengan tujuan beribadat yang satu. Ummah bersedia mengorbankan wang simpanan, pekerjaan, perniagaan dan masa, berpisah dengan keluarga dan meninggalkan rumah kediaman serta kampung halaman, menahan nafsu, semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Allah yang Maha Esa. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “… Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji (dengan mengunjungi Baitullah), iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya … .” (Surah Ali ‘Imran 3:97).

Kemuncak penyempurnaan ibadat haji ialah wuquf di Arafah pada tanggal 9 Zulhijah. Pada ketika itu, seluruh kawasan Arafah dibanjiri lautan manusia. Tanpa mengira darjat, keturunan atau pangkat; kaya mahupun miskin, kesemuanya berpakaian ihram yang sama, iaitu dua helai kain putih; masing–masing dengan penuh rasa keinsafan mendambakan diri, berdoa memohon keampunan dan keredaan Ilahi. Berwuquf di Arafah merupakan rukun haji yang sangat agung sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, ”Haji itu ialah (berwuquf di) Arafah.”

Umat Islam diingatkan dengan perkara berikut:

Pertama: Rebutlah peluang kelebihan beribadat semasa 10 hari pertama bulan Zulhijah; banyakkan solat berjemaah, tadabur al-Quran, berselawat dan berzikir.

Kedua: Berpuasa sunat pada sembilan hari pertama bulan Zulhijah, setidak-tidaknya dan diutamakan untuk berpuasa sunat pada hari ke-9 Zulhijah, iaitu pada Hari Arafah kerana ganjarannya sangat besar. Sabda Baginda SAW yang bermaksud, “Puasa Hari Arafah, aku berharap kepada Allah supaya puasa pada hari tersebut dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga tahun sesudahnya.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi).

Ketiga: Hindari maksiat kerana sebagaimana bergandanya pahala amalan kebaikan pada bulan haram, begitu juga berganda dosa akibat maksiat dan kejahatan yang dilakukan pada bulan haram.

Keempat: Menyemaikan niat dan azam untuk menunaikan ibadat haji, iaitu Rukun Islam yang kelima yang wajib atas semua Muslim yang mukalaf. Lakukan perancangan awal melalui tabungan bulanan secara tetap, serta mendaftar awal dengan Lembaga Urusan Tabung Haji.

Kelima: Beramal baik sesama makhluk; menyantuni ahli keluarga terutama mereka yang lebih tua; hulurkan bantuan dan derma kepada orang yang dalam kesusahan, orang yang sedang sakit dan uzur, fakir miskin, ibu tunggal dan anak yatim.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” (Surah al-Zalzalah 99:7-8).

Rebutlah peluang pada 10 hari awal bulan Zulhijah untuk melakukan sebanyak mungkin amal ibadat.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Dengan keberkatan 10 hari awal bulan Zulhijah, Engkau ampuni segala dosa kami, dosa kedua-dua ibu bapa kami, dosa ahli keluarga kami, dosa guru-guru kami, dan dosa umat Islam keseluruhannya. Mudahkan urusan kami dan bimbinglah kami untuk memperbanyak amal soleh. Hindari kami daripada melakukan perkara yang tidak bermanfaat, apatah lagi yang mengundang kemurkaan-Mu.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka. Jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan oleh perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

 

(Disesuaikan daripaada Khutbah Jumaat, 23 Jun 2023, bertajuk “Zulhijah: Mengandungi Ganjaran Ibadah”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.