17 Jun 2023, 18:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Butterworth – Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H/2023M (MTHQK) yang berlangsung selama enam hari bermula pada 11 hingga 16 Jun 2023 telah melabuhkan tirainya malam tadi. Majlis tersebut berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, Pulau Pinang.

MTHQK merupakan program tahunan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang dianjurkan bersama-sama dengan kerajaan negeri. Penganjuran MTHQK pada tahun ini dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang. Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak. MTHQK 2023 melibatkan penyertaan 112 peserta dari seluruh negeri.

Secara umumnya, setiap negeri diwakili oleh lapan peserta, iaitu dua orang peserta dalam pertandingan Tilawah Al-Quran manakala enam peserta dalam pertandingan Hafazan Al-Quran. Pelibatan seluruh negeri dalam pertandingan pada tahun ini menjadikan jumlah peserta tilawah sebanyak 29 orang, iaitu 14 orang qari dan 14 orang qariah dan seorang Johan Menunggu Qari. Hafazan pula menyaksikan sebanyak 80 orang perserta, dengan para huffaz lelaki dan wanita bertanding dalam 3 kategori seperti yang berikut:

Kategori Pertama = 10 Juzuk (14 lelaki dan 13 wanita)

Kategori Kedua = 20 Juzuk (14 lelaki dan 14 wanita)

Kategori Ketiga = 30 Juzuk (13 lelaki dan 12 wanita)

Kesemua peserta berumur antara 10 hingga 25 tahun.

Sebanyak 32 hakim yang terlibat, iaitu 17 orang untuk menilai bacaan para peserta tilawah, manakala para huffaz pula dinilai oleh 15 orang hakim. Jemaah hakim telah dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusoff.  Aspek bacaan yang dinilai oleh para hakim ini termasuklah kelancaran bacaan (fasohah), hukum tajwid, suara, persembahan dan taranum.

Johan peserta MTHQPK pada tahun ini akan mewakili Malaysia pada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa yang akan diadakan pada 19 hingga 24 Ogos  2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Muhammad Qayyim Nizar Sarimi yang mewakili negeri Kelantan memenangi kategori qari terbaik manakala Nor Hidayah Abd Rahman dari negeri Terengganu memenangi kategori qariah terbaik. Kategori hafazan 30 juzuk pula menyaksikan Ahmad Ikmal Mohd Ridhuan dan Dian Karisma Mohd Japar mengungguli kategori tersebut. Muhammad Fakhrurazi Yahaya dan Dina Hadfina Mohd Umarul Hisyam muncul johan dalam kategori hafazan 20 juzuk. Muhammad Fahim Shaari dan Siti Nabilah Zamri pula mengungguli kategori hafazan 10 juzuk. Negeri Sembilan pula muncul selaku johan keseluruhan bagi penganjuran MTHQK kali ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.