Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCatatan menjadikan peristiwa bermakna dan mengangkat pengalaman harian menjadi memori kolektif. Tanpa penulis, jurutulis, wartawan, pengarang dan pencatat maklumat, sejarah akan tinggal sebagai suara yang bergema di udara, mudah hilang apabila saksi terakhir menutup mata.
Tamadun dikenang kerana ada pihak yang mencatat, mentafsir, menyusun dan mewariskan pengalaman zaman kepada generasi berikutnya. Sejarah tamadun Islam memperlihatkan kedudukan tinggi golongan yang menguasai kemahiran menulis. Mereka diberikan tanggungjawab penting dalam urusan pentadbiran, penyebaran ilmu dan pengurusan maklumat negara.
Sejak zaman Rasulullah SAW, kemahiran menulis menjadi amanah besar. Tokoh yang sering disebut ialah Zaid bin Thabit r.a. Beliau berperanan sebagai penulis wahyu, kemudian diberikan tanggungjawab mengumpulkan al-Quran serta mengurus pelbagai urusan pentadbiran. Peranan ini menunjukkan bahawa tulisan dalam Islam bukanlah kerja pinggiran. Kemahiran menulis terkait langsung dengan pemeliharaan wahyu, pengurusan negara dan kesinambungan ilmu.
Pada zaman khulafa al-Rasyidin, khususnya ketika pemerintahan Sayidina ‘Umar al-Khattab r.a., pentadbiran negara berkembang secara lebih tersusun lantaran golongan jurutulis (katib) yang mengurus surat-menyurat rasmi, rekod pentadbiran dan catatan kewangan diberikan elaun daripada Baitulmal. Pemberian itu menggambarkan pengiktirafan negara terhadap kepakaran mereka. Tugas mencatat dan mengurus dokumen dianggap sebahagian daripada amanah pentadbiran, bukannya kerja teknikal yang boleh dipandang ringan.
Diwan: Institusi Awal Pengurusan Maklumat
Peranan jurutulis terus berkembang pada zaman Umawiyah melalui pembentukan institusi pentadbiran seperti Diwan al-Rasa’il dan Diwan al-Khatam. Diwan al-Rasa’il mengurus surat-menyurat kerajaan, manakala Diwan al-Khatam bertanggungjawab menyemak serta mengesahkan dokumen rasmi.
Pada waktu itu, jawatan katib al-rasa’il atau jurutulis kanan memiliki kedudukan tinggi dalam pentadbiran. Mereka bukan sekadar menulis surat rasmi, bahkan memahami dasar, diplomasi, bahasa kuasa dan sensitiviti politik negara. Tidak hairan apabila sebahagian daripada mereka kemudian diangkat menjadi wazir atau gabenor.
Kemuncak penghormatan terhadap golongan penulis dapat dilihat pada era Abbasiyah. Institusi Diwan al-Insha’ berfungsi hampir menyerupai kementerian komunikasi dan penerangan moden. Di institusi tersebut, bahasa negara dibentuk, maklumat rasmi disusun, hubungan diplomatik diuruskan, dan wibawa kerajaan diterjemahkan melalui tulisan.
Tokoh persuratan seperti Abd al-Hamid al-Katib dan Ibn al-Amid dihormati kerana keupayaan mereka mengurus maklumat negara dengan cermat dan berpengaruh. Muncul ungkapan masyhur “seni persuratan bermula dengan Abd al-Hamid dan mencapai kemuncaknya pada Ibn al-Amid”. Ungkapan ini memperlihatkan kemahiran menulis pernah dianggap aset strategik yang menentukan kekuatan pentadbiran.
Tradisi yang sama diteruskan pada zaman Uthmaniyah. Golongan jurutulis diraja diberikan pakaian kebesaran, mohor rasmi dan kedudukan penting dalam struktur kerajaan. Jawatan Nişancı, iaitu pegawai yang bertanggungjawab menyediakan titah sultan serta mengurus dokumen rasmi merupakan antara posisi berpengaruh dalam pemerintahan.
Wartawan Moden dan Warisan Katib
Jika diteliti secara kritis, wartawan moden pada hari ini mewarisi sebahagian daripada fungsi yang pernah dimainkan oleh golongan katib dan institusi barid dalam tamadun Islam. Barid berperanan menyampaikan maklumat daripada wilayah kepada pemerintah pusat. Pegawainya mengumpul laporan, menilai keadaan semasa, dan memastikan maklumat penting sampai kepada pemerintah dengan tepat.
Dalam konteks moden, fungsi itu diterjemahkan melalui peranan media yang melaporkan perkembangan semasa kepada masyarakat. Perbezaannya terletak pada keluasan khalayak. Media pada hari ini berhubung secara langsung dengan pemimpin negara atau pentadbiran negeri. Pengamal media juga berkhidmat kepada rakyat yang memerlukan maklumat sahih, jelas dan boleh dipercayai.
Wartawan menjadi penyaring maklumat, penjaga fakta dan pengawal naratif masyarakat. Dalam keadaan tertentu, wartawan menjadi benteng terakhir sebelum kekeliruan berubah menjadi fitnah. Demikian amanah besar dunia komunikasi moden.
Hari ini, berita bergerak lebih pantas daripada kenderaan rasmi. Satu hantaran media sosial boleh sampai kepada jutaan orang dalam beberapa saat. Satu tajuk mampu mengubah persepsi. Satu ayat yang tersasar boleh menimbulkan keresahan. Satu fakta yang tidak disemak boleh mencederakan nama baik seseorang, menggugat kepercayaan terhadap institusi, serta mengganggu ketenteraman awam.
Tabayun sebagai Asas Integriti Media
Dalam tradisi Islam, penyampaian maklumat dianggap perkara besar. Al-Quran mengajar prinsip tabayun, iaitu menyemak dan meneliti sesuatu berita sebelum disebarkan. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini disebabkan kejahilan kamu, lalu kamu menyesal atas apa-apa yang telah kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat 49:6).
Ayat ini mempunyai hubungan yang akrab dengan dunia media. Dalam bahasa kewartawanan moden, tabayun ialah verifikasi. Dalam disiplin komunikasi awam, tabayun ialah asas integriti maklumat. Dalam bahasa masyarakat umum, prinsip ini boleh diringkaskan dengan ungkapan mudah: tidak pasti, jangan kongsi.
Namun begitu, tabayun dalam Islam tidak lahir daripada pertimbangan profesional semata-mata. Prinsip ini berakar daripada wahyu, berkembang dalam disiplin ilmu dan membentuk tamadun yang sangat teliti terhadap kesahihan maklumat. Ketelitian ini dapat dilihat dengan jelas melalui tradisi periwayatan hadis.
Hadis Mutawatir dan Disiplin Kesahihan Maklumat
Satu tamsilan penting daripada khazanah ilmu Islam ialah konsep hadis mutawatir. Hadis mutawatir merujuk hadis yang diriwayatkan oleh kumpulan perawi yang sangat banyak pada setiap lapisan sanad sehingga mustahil mereka berpakat untuk berdusta.
Dalam disiplin ilmu hadis, mutawatir dianggap antara bentuk kesahihan tertinggi dalam penyampaian maklumat. Berita yang sampai melalui jalur mutawatir memberikan keyakinan yang kuat kerana maklumat tersebut disampaikan melalui rangkaian perawi yang banyak, berautoriti, dan tidak munasabah untuk bersepakat mencipta kepalsuan.
Melalui hadis mutawatir, Islam memperlihatkan kepada dunia bahawa kesahihan maklumat memerlukan sistem, kaedah dan etika. Sesuatu berita tidak diterima secara semberono. Perawinya diperiksa. Rantaian penyampaiannya diteliti. Kandungannya dibandingkan. Kredibiliti sumbernya dinilai. Tiada ruang untuk kecuaian, apatah lagi pemalsuan.
Antara contoh hadis mutawatir yang masyhur termasuklah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barang siapa yang sengaja berdusta atas namaku, maka siaplah tempat duduknya di neraka.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 110).
Hadis ini diriwayatkan oleh begitu banyak sahabat sehingga menjadi peringatan keras bahawa berdusta atas nama Rasulullah SAW ialah dosa besar. Dalam konteks komunikasi yang lebih luas, hadis ini mendidik manusia betapa bahayanya berdusta dalam penyampaian maklumat, khususnya apabila pendustaan itu disandarkan kepada sumber yang mulia, institusi yang dihormati atau tokoh yang dipercayai masyarakat.