Diterbitkan pada 20 Jun 2026, 14:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Para ulama begitu teliti menjaga setiap lafaz yang disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW, maka pengamal media pada hari ini wajar mengambil semangat yang sama dengan cara menjaga setiap fakta yang disandarkan kepada seseorang, kerajaan, agensi atau sesuatu peristiwa.

Wartawan moden berperanan merekodkan dan melaporkan pelbagai aspek kehidupan masyarakat, termasuk peristiwa semasa, ucapan pemimpin, isu rakyat, kejayaan dan cabaran negara, serta aspirasi dan suara pelbagai golongan seperti belia, usahawan, petani dan nelayan.

Jika perawi hadis menjaga sanad, wartawan menjaga sumber.
Jika perawi hadis menjaga matan, wartawan menjaga fakta.
Jika perawi hadis menghindar pendustaan, wartawan mengelak fitnah.
Jika perawi hadis menguatkan ketelitian, wartawan menuntut pengesahan.

Ilmu tradisi Islam dan kewartawanan moden mempunyai perkaitan yang rapat antara satu dengan lain. Warisan al-Quran dan sunah harus diikat kemas dengan etika komunikasi semasa. Oleh itu, tradisi tersebut menyediakan asas nilai yang kukuh untuk membina industri media yang benar, adil dan bertanggungjawab.

 

Kepantasan Digital dan Bahaya Ketergesaan

Dalam dunia digital, masyarakat sering terperangkap dalam perlumbaan dan kelajuan. Siapa-siapa yang paling cepat, dianggap paling cekap. Siapa-siapa yang paling awal memuat naik kandungan, dianggap paling tangkas. Siapa-siapa yang paling dahulu memecahkan berita, dianggap paling berpengaruh.

Islam mengingatkan bahawa kelajuan tanpa ketepatan boleh membawa kesan yang buruk. Maklumat yang disampaikan perlu bukan sahaja cepat, tetapi juga benar dan sahih. Oleh itu, prinsip tepat, cepat dan sahih perlu bergerak seiring.

Ketepatan tanpa kecepatan boleh menyebabkan maklumat yang benar lambat sampai kepada masyarakat. Sebaliknya, kecepatan tanpa ketepatan boleh mengundang fitnah dan kekeliruan. Kesahihan pula perlu disertai penyampaian yang jelas agar maklumat dapat difahami dengan baik oleh masyarakat.

Dalam hal ini, peranan seni kewartawanan amat signifikan. Wartawan perlu menyampaikan maklumat dengan pantas, benar, jelas dan berimbang. Mereka perlu membaca suasana, memahami latar, menimbang kesan dan memilih bahasa yang tidak mengelirukan khalayak.

 

Empat Nilai Kenabian dalam Etika Media

Dalam tradisi Islam, kita mengenal sifat siddiq, amanah, tabligh dan fatanah sebagai sifat yang wajib bagi Nabi Muhammad SAW dan para rasul. Empat nilai ini sangat relevan dalam pembinaan media berintegriti.

Siddiq bermaksud benar. Wartawan perlu benar dalam fakta, petikan dan konteks. Kebenaran tidak hanya terletak pada angka atau kenyataan rasmi, malah turut mencakupi cara sesuatu maklumat dibingkaikan supaya tidak menyesatkan pembaca.

Amanah bermaksud bertanggungjawab. Wartawan memikul amanah terhadap sumber, pembaca dan masyarakat. Maklumat yang diperoleh tidak boleh dimanipulasikan bagi kepentingan sempit, sensasi murahan atau agenda yang merosakkan kepercayaan awam.

Tabligh bermaksud menyampaikan. Wartawan tidak wajar menyembunyikan kebenaran yang perlu diketahui masyarakat. Namun begitu, penyampaian perlu dilaksanakan secara berhikmah, beradab dan mengikut pertimbangan maslahat. Kebenaran yang disampaikan tanpa kebijaksanaan boleh mencetuskan mudarat baharu.

Fatanah bermaksud kebijaksanaan. Wartawan bukan mesin penyalin kenyataan. Mereka perlu memahami konteks, membaca gerak sosial, meneliti kesan komunikasi, dan menulis dengan kepekaan terhadap suasana masyarakat. Media perlu berpegang pada kebenaran, amanah, penyampaian yang jelas dan kebijaksanaan agar dapat mengekalkan maruah, kepercayaan serta berfungsi dengan baik dalam masyarakat.

 

Menghargai Penjaga Fakta dan Memori Bangsa

Dalam suasana masyarakat yang semakin terdedah kepada maklumat tidak sahih, kewujudan media yang berintegriti menjadi semakin penting. Wartawan yang berpegang pada etika; jurugambar yang merakam realiti dengan jujur; penyunting yang teliti terhadap bahasa; dan penyampai yang bertanggungjawab terhadap setiap patah kata ialah benteng utama yang mempertahankan kredibiliti maklumat.

Sejarah ialah guru alami yang membuktikan tamadun menjadi lestari lantaran amalan menghargai ilmu, tulisan dan maklumat. Tiga elemen ini saling berkait rapat dan memiliki peluang yang lebih besar untuk bertahan lama. Tamadun yang meminggirkan peranan pencatat sejarah pula mudah kehilangan arah, jati diri dan kebijaksanaan kolektif.

Menghargai penulis ialah pengiktirafan terhadap kerja sunyi yang menjaga memori bangsa daripada dilenyapkan oleh sifat lupa, fitnah dan kecuaian zaman. Pada akhirnya, bangsa yang membaca catatan dengan jujur akan lebih mengenal dirinya. Bangsa yang menghargai penulis akan lebih mampu memahami sejarahnya. Bangsa yang menjaga kebenaran maklumat akan lebih bersedia menghadapi masa hadapannya.

Di tengah-tengah hiruk-pikuk dunia yang sarat dengan pelbagai suara, tulisan yang berpaksikan kebenaran kekal menjadi cahaya yang menerangi kehidupan. Demikian lambang maruah penulis, amanah wartawan dan martabat sesebuah tamadun.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi