Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBaca Bahagian 1.
Gandingan puasa Tasuʻa’ dengan puasa Asyura memperlihatkan keluasan dan hikmah syariat Islam untuk membezakan amalan umat Islam dengan ahli kitab.
Puasa Asyura merupakan antara ibadah sunat yang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam Islam berdasarkan dalil al-Quran, hadis dan huraian para ulama muktabar. Amalan ini menjadi satu bentuk ibadah yang sarat dengan nilai sejarah, pengajaran dan penghayatan terhadap sunah para nabi.
Gandingan Puasa Tasuʻa’ dengan Puasa Asyura
Selain saranan Rasulullah SAW agar berpuasa pada 10 Muharam, Baginda turut menggalakkan agar amalan itu ditambah dengan puasa pada 9 Muharam yang dikenali sebagai hari Tasuʻa’. Amalan ini bertujuan untuk membezakan ibadah umat Islam dengan amalan ahli kitab, di samping menzahirkan kesempurnaan untuk mengikuti sunah Baginda. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Jika aku masih hidup hingga tahun hadapan, nescaya aku akan berpuasa pada hari kesembilan (Muharam).” (Hadis riwayat Muslim, no. 1134).
Ibn Hajar al-Asqalani (w. 852H) dalam Fath al-Bari, ketika mensyarahkan hadis ini menjelaskan bahawa keinginan Rasulullah SAW untuk berpuasa pada hari kesembilan itu, sama ada untuk menambahnya bersama dengan hari kesepuluh sebagai langkah berhati-hati atau tanda perbezaan dengan ahli kitab. Hujah ini dianggap lebih kuat berdasarkan sebahagian daripada riwayat Muslim.
Para ulama membincangkan hikmah disunatkan puasa pada hari Tasuʻa’ (9 Muharam) bersama dengan hari Asyura (10 Muharam). Imam al-Nawawi menyebut bahawa para ulama Syafiiyah dan selain mereka mengemukakan beberapa hikmah utama dalam perkara ini. Antaranya termasuklah:
Muhammad Hasan bin Ali al-Fayyumi dalam kitabnya, Fath al-Qarib al-Mujib ‘ala al-Targhib wa al-Tarhib menjelaskan bahawa Rasulullah SAW mempunyai empat keadaan dalam amalan puasa Asyura, iaitu:
Secara keseluruhannya, para ulama menyebut bahawa terdapat tiga tingkatan dalam amalan puasa Asyura:
Susunan ini menunjukkan keluasan syariat Islam yang memberikan ruang kepada umatnya untuk beramal mengikut kemampuan tanpa mengabaikan tuntutan sunah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Hikmah dan Pengajaran Puasa Asyura
Pensyariatan puasa hari Asyura merupakan satu bentuk tarbiah rohani yang mendidik jiwa Muslim agar sentiasa dekat kepada Allah SWT, serta menghayati nilai keimanan dalam kehidupan. Antara hikmah utamanya termasuklah:
Puasa Asyura mengajar umat Islam untuk sentiasa bersyukur dengan nikmat keselamatan dan pertolongan Allah SWT, khususnya bagi memperingati peristiwa penyelamatan Nabi Musa a.s. dan Bani Israel daripada firaun.
Puasa Asyura menghubungkan umat Islam dengan peristiwa penting dalam sejarah kenabian, sekali gus mengukuhkan kefahaman bahawa Allah SWT sentiasa menolong hamba-Nya yang beriman.
Amalan ini menjadi kesinambungan kepada ibadah yang pernah diamalkan oleh para nabi terdahulu, lalu disempurnakan dalam syariat Nabi Muhammad SAW.
Puasa mendidik seseorang untuk menahan diri, mengawal nafsu dan membina kekuatan dalaman dan rohani ketika menghadapi ujian kehidupan.
Berdasarkan hadis yang disabdakan oleh Rasulullah SAW, puasa Asyura menjadi sebab penghapusan dosa kecil setahun yang lalu sebagai tanda keluasan rahmat Allah SWT.
Puasa Asyura juga menjadi simbol bahawa umat Islam lebih berhak mengikuti Nabi Musa a.s. berbanding dengan kaum Yahudi dalam aspek ketaatan kepada Allah SWT, sekali gus menzahirkan kesempurnaan syariat Islam.
Kesimpulannya, perbahasan para ulama menunjukkan bahawa puasa Asyura mempunyai kelebihan yang besar, selain tanda kesyukuran kepada Allah SWT atas nikmat dan pertolongan-Nya kepada para nabi terdahulu. Gandingan puasa Tasuʻa’ dengan puasa Asyura juga memperlihatkan keluasan dan hikmah syariat Islam untuk membezakan amalan umat Islam dengan ahli kitab. Pendek kata, puasa Asyura ternyata menjadi wasilah tarbiah ruhiyyah yang menghubungkan seorang Muslim dengan keimanan, dan memperbaharu hubungan seorang hamba dengan Allah SWT.
Penulis merupakan Pensyarah Akademi Pengajian Islam, Pusat Pendidikan Universiti Malaya Bachok, Kelantan.