19 Mei 2023, 15:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ungkapan “Belia: Harapan bangsa dan negara” sering kali diucapkan. Secara umumnya, belia merujuk kepada golongan yang berusia antara 15 hingga 30 tahun. Berdasarkan perangkaan pada tahun 2023, sebanyak 9.1 juta orang, menyamai satu pertiga penduduk negara ini yang berjumlah 33.2 juta orang, berada dalam usia lingkungan 15 hingga 30 tahun.

Oleh itu, belia bukanlah golongan yang boleh dipinggirkan. Sesungguhnya belia pada hari ini ialah penyambung warisan kepimpinan negara. Oleh sebab itu, mereka perlu dilibatkan secara langsung – secara aktif − dalam urusan dan agenda pembangunan negara.

Para belia lazimnya memiliki sifat sedia menerima pemikiran baharu, sedia melakukan pengembaraan sama ada secara pemikiran begitu juga secara fizikal, bersifat segar lagi dinamik, berani mengambil risiko, berani meneroka dunia baharu, berani melakukan pelbagai percubaan, serta berani keluar daripada kepompong kehidupan dan kaedah kerja yang dianggap statik, usang, kuno dan jumud.

Orang muda bersedia menerima pembaharuan dan berani melakukan perubahan seperti yang digambarkan dalam firman Allah SWT:

Maksudnya: “Maka itu, tidak ada yang beriman kepada Musa melainkan sebilangan kecil (pemuda) daripada kaumnya, sekalipun dalam keadaan takut bahawa Firaun dan pembesar-pembesar kaumnya akan menyeksa mereka; sesungguhnya Firaun itu bermaharajalela di muka bumi.”

(Surah Yunus 10:83).

Demikian juga firman Allah dalam ayat 13 Surah al-Kahfi:

Maksudnya: “Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (wahai Muhammad) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itulah para pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka hidayah petunjuk.”

Kisah Ashabul Kahfi menceritakan beberapa orang pemuda yang beriman. Mereka melarikan diri dengan berlindung di dalam gua untuk beribadat kepada Allah yang Maha Esa, sambil berdoa, semoga mereka diberikan hidayah petunjuk dan beroleh keselamatan daripada raja yang menindas orang yang beriman.

Kisah yang berlaku ini memperingatkan bahawa anak muda lebih bersedia menerima kebenaran dan lebih berani melakukan perubahan. Hakikat ini bertambah jelas apabila terbukti semasa Nabi Muhammad SAW menyebarkan Islam, para pemuda yang terdiri daripada Sayidina Umar r.a. (berusia 28 tahun), Sayidina Ali r.a. (berusia 10 tahun), Jaafar bin Abi Talib (berusia 18 tahun), Qudhamah bin Mazu’un (berusia 19 tahun) dan Abdullah bin Mas’ud (berusia 18 tahun), merupakan barisan pemuda yang mula-mula beriman kepada Allah SWT dan kumpulan penggerak yang berada di barisan hadapan menjulang panji-panji Islam.

Sayidina Ali r.a. mengungkapkan,

Jika kamu ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.

Kata-kata tersebut menunjukkan bahawa jatuh bangun sesebuah negara terletak pada tangan pemuda masa kini kerana mereka merupakan waris kepimpinan negara pada masa akan datang.

Belia ialah khazanah dan mutiara yang bernilai kepada negara. Pada hakikatnya, sebahagian besar daripada peranan dan tanggungjawab membangunkan negara dilunaskan oleh para belia, melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan pembentukan kemahiran diri. Namun begitu, perlu disedari bahawa kecerdasan akal dan kekuatan fizikal amat penting untuk menjamin keupayaan sesuatu bangsa kekal berdaya saing. Oleh itu, aspek kesihatan mental dan fizikal hendaklah diberikan keutamaan dalam kehidupan seharian para belia.

Para belia hendaklah mengamalkan gaya hidup berdisiplin, mengamalkan pemakanan yang sihat, dan mengamalkan riadah secara harian, di samping memperkukuh jati diri agar selari dengan tuntutan agama dan budaya bangsa. Orang muda perlu memiliki nilai moral, akhlak dan peribadi yang unggul berlandaskan nilai-nilai murni Islam, serta berupaya membawa keharmonian ummah dan mengukuhkan hubungan persaudaraan.

Para belia hendaklah menggunakan kesempatan masa muda ini dengan sebaik-baiknya; berusaha melakukan kebaikan yang akan mempertemukan kalian dengan kejayaan dunia dan akhirat, serta mengerjakan amal bakti dan amal jariah yang boleh membawa manfaat kepada diri, ummah serta negara.

Dunia sedang menghadapi pelbagai krisis yang mempunyai kesan langsung terhadap kehidupan dan masa hadapan para belia. Krisis tersebut tercetus kerana dasar dan kegiatan yang dilakukan oleh para pemimpin hari semalam dan hari ini, antaranya termasuklah krisis iklim, bencana alam, pencemaran alam, bekalan air dan bekalan makanan.

Krisis yang paling menzalimi kehidupan para belia ialah krisis politik dan krisis kepimpinan yang mencetuskan persengketaan dan peperangan. Sebagai akibatnya, ratusan juta belia terpaksa tinggal di dalam khemah pelarian, menghadapi pengalaman ngeri, dinafikan peluang mengalami suasana persekolahan seperti yang dinikmati oleh anak-anak yang membesar di negara yang aman, apatah lagi peluang pendidikan tinggi sebagai keperluan untuk membina kerjaya yang cemerlang. Mereka yang mengalami trauma dan kepahitan hidup di khemah pelarian turut dinafikan peluang untuk membangunkan keluarga bahagia secara yang diidamkan.

Lima perkara yang wajib diberikan perhatian demi menjamin kelestarian dan kebahagiaan masa hadapan para belia

  • Pertama: Memberikan peluang bersuara agar hasrat hati dan impian mereka dapat diberikan perhatian, difahami dan dipenuhi.
  • Kedua: Memikirkan kesan terhadap masa hadapan mereka dalam apa-apa juga dasar dan program yang dilaksanakan pada hari ini, supaya mereka tidak menghadapi kesengsaraan menanggung beban dan hutang disebabkan oleh sifat tamak dan nafsu haloba pemimpin pada hari ini.
  • Ketiga: Menyediakan peluang pendidikan, latihan, kerjaya, perniagaan dan ekonomi yang saksama dan boleh dicapai oleh setiap anak muda.
  • Keempat: Memastikan sumber alam tidak dimusnahkan dan nikmat daripada sumber alam akan terus dapat dinikmati oleh generasi akan datang.
  • Kelima: Memastikan generasi muda mewarisi negara yang aman dan makmur yang mengamalkan budaya tadbir urus yang amanah, telus, berintegriti, dan bebas daripada rasuah dan amalan kronisme.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadah, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Muliakan kami dengan takwa dan istiqamah. Kurniai belia kami jiwa yang kuat, iman yang teguh, akal yang cergas lagi bijaksana. Lindungi anak muda kami daripada terjebak melakukan perkara yang mengundang kemurkaan-Mu.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka. Jauhi golongan fuqara’ dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhilah kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan oleh perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.


Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 19 Mei 2023, bertajuk “Belia Pewaris Negara Bangsa” bersempena dengan Hari Belia Negara yang disambut pada 15 Mei 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.